Lelaki Misteri - Sedutan dari novel Kalung


Sebuah pacuan empat roda berhenti tiba-tiba di hadapanku. Kecut perutku melihat pemandunya. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan. Aku berharap pemandu Pajero tersebut tidak menyedari keberadaanku di situ dan juga tidak mengecam raut wajahku. Kali terakhir aku melihatnya ialah ketika di hutan, saat aku tanpa sengaja telah menceroboh tanahnya kerana mahu mencari kayu api. Sejak hari itu, aku tidak pernah melihatnya lagi.

“Nak balik?”

Teguran lelaki itu menunjukkan yang dia cam akan wajahku. Dan dia juga tahu aku mahu pulang ke kampung. Aku lantas mengangguk biarpun sebenarnya aku tak ingin mengiyakannya.

“Saya nak beli barang dulu. Kalau awak nak tumpang, bolehlah.”

Aku tidak menyangka kata-kata itu keluar dari mulut seorang lelaki misteri yang suka menyendiri. Dia mempelawa aku pulang bersama? Aku lantas menolak pelawaannya walaupun dalam hati melonjak ingin menerima pelawaannya itu. Aku terdesak untuk pulang segera kerana matahari kian jatuh ke barat. Namun aku takut hendak menumpang keretanya. Silap haribulan aku akan menjadi mangsanya yang seterusnya. Lebih baik aku sediakan payung sebelum hujan.

“Kalau awak nak tunggu kereta atau motor orang kampung, jangan haraplah. Sampai ke malam pun belum tentu ada.” Pembunuh tersebut seakan marah kerana aku menolak pelawaannya. Dia melangkah masuk ke kedai hardware selang dua buah dari kedai Ah Choi.

Aku terdiam memikirkan kata-kata pembunuh itu. Memang betul apa yang dicakapkannya. Silap haribulan aku terpaksa bermalam di pekan. Oh tidak! Aku tidak boleh biarkan Irfan dalam keresahan. Dia tentu sedang menanti kepulanganku di beranda.

Sebentar kemudian pembunuh misteri itu melangkah keluar dari kedai hardware. Aku menarik nafas. Mahu tak mahu aku terpaksa menerima pelawaan lelaki itu. Aku harus berfikiran positif. Mungkin dia ikhlas ingin membantuku. Lagi pun, selama ini aku hanya dengar cerita dari orang kampung yang dia pembunuh kejam. Namun begitu, tak ada seorang pun yang memberitahu aku siapa yang telah dibunuh lelaki tersebut dan apakah cara yang digunakannya untuk membunuh. Terdetik di hatiku yang dia mungkin hanya dituduh membunuh. Dituduh bukan bererti dialah pembunuh sebenar. Aku memujuk hati supaya bertenang.

Sepuluh minit kemudian aku sudah berada di dalam kenderaan pembunuh!

“Muka awak pucat seperti nampak hantu.”

“Hah?” terpinga-pinga aku dengan pertanyaannya. Aku segera meraba kedua-dua belah pipiku. Selama hampir setengah jam aku berada di dalam keretanya, tak sepatah pun perkataan keluar dari bibirku. Badanku juga tak bergerak, keras macam batu. Dalam hati sentiasa membaca doa keselamatan. Pembunuh itu juga tak mengeluarkan suara. Dia terus memandu dan sesekali menjeling padaku.

“Kenapa awak nampak macam takut saja? Saya ni bukannya hantu.” Pembunuh itu menggeleng kepala. Tidak pernah terlintas di fikiranku yang dia adalah hantu. Aku jadi begini kerana dia adalah pembunuh sakit jiwa.

“Saya... saya bukannya takut, tapi... segan. Sebab saya tak kenal awak. Er... maksud saya, tak kenal rapat.” Sedaya upaya aku tenangkan diri supaya dapat berbicara lancar namun suaraku masih juga tersekat-sekat. Ketakutan gagal dilenyapkan kerana dalam fikiran hanya membayangkan perkara yang bukan-bukan. Dia mungkin akan mengeluarkan senapang dan mengacukan ke kepalaku. Dia mungkin juga akan menghentikan keretanya secara tiba-tiba lalu mengheret aku masuk ke dalam hutan. Leher aku akan dikelarnya. Darah membuak-buak mengalir keluar.

“Iye ke awak langsung tak kenal saya? Takkan awak tak pernah dengar cerita dari mulut orang kampung tentang saya?”

Darahku terus terhenti mengalir!