Apa kaitan novel kanak-kanak Alia dengan novel dewasa Menjejak Memori? Sebenarnya, Menjejak Memori yang diterbitkan pada tahun 2009 ada...


Mempamerkan sinopsis dan beberapa sedutan daripada novel yang kini berada di pasaran...


Rifqi tersenyum. Esok, mereka akan bermain lagi. Rifqi berharap kali ini dia berjaya menjatuhkan menara tin.
Rifqi, Azizul dan Rahmat bergerak meninggalkan padang. Mereka menyusur denai untuk menuju ke jalan bertar. Rifqi sibuk memerhati kanan dan kiri. Mulutnya sibuk bertanya itu ini.
“Eh, ada orang tinggal di pondok tu?” Rifqi sedikit terkejut. Sewaktu dalam perjalanan menuju ke padang, pondok itu kelihatan usang dan daif. Rifqi terus menyangka yang pondok tersebut tidak berpenghuni.
“Itulah tempat tinggal Alia dengan neneknya.” Ujar Azizul.
“Apa? Tempat tinggal Alia?” soal Rifqi yang seperti tidak percaya dengan apa yang telah diberitahu Azizul. Tak mungkin Alia, murid yang bijak tinggal di pondok yang hampir roboh itu. Dindingnya bukan dinding papan dan atapnya juga bukan atap zink.
“Ha... buat apa aku nak bohong. Tu nenek dia yang sedang bagi ayam makan.”
Rifqi memerhati gerak-geri nenek Alia. Dia sedang asyik memberi ayam makan. Mulutnya pula becot menghalau ayam lain yang sudah tentu bukan miliknya. Dia memakai kain batik separas dada sahaja. Kulitnya berkedut sana sini. Sanggul sebesar siput terlekat kemas di kepalanya.
“Mak, abah, adik-beradik dia tak tinggal sini ke?” soal Rifqi yang merasa simpati melihat keadaan tempat tinggal Alia.
Azizul menjungkit bahu.
“Jom kita singgah. Boleh aku berkenalan dengan nenek Alia tu.”
“Ish, jangan cari nahas!” Rahmat mengheret baju Rifqi dan beredar dari situ segera.
“Eh, dengar tu... dia gelak lagi!” Jamilah meletakkan tangan di telinga, supaya pendengarannya lebih jelas.
“Sikit hari nanti pasti kita akan dengar dia mengilai pulak. Eee... takut!” Dalila mengosok-gosok lengannya.
“Syss... dia dengar nanti. Habislah kita kalau mak dia datang ganggu malam ni.” Jamilah menyimpan kasut di rak yang disediakan di luar perpustakaan. Dia terus ke pintu masuk.
Ciku Rasyidah yang sedang bersila di lantai terus menoleh ke pintu masuk apabila terdengar derapan langkah. “Eh Jamilah... Dalila pun ada? Eloklah... marilah bantu cikgu balut buku ni.”
“Er... kami ada kelas tambahan jam lima cikgu.” Dalila cuba mengelak. “Kami datang sebab nak pinjam buku. Minta maaf sebab tak dapat bantu cikgu. Lagipun, Alia dan Rifqi kan ada....” Dalila menjeling ke arah Alia dan Rifqi. Mereka sedang bersila di lantai sambil membalut buku.
“Baru pukul 4.30 sekarang. Ha, mari tolong cikgu dulu. Lepas tu pinjamlah buku apa saja yang kamu nak pinjam.” Cikgu Rasyidah bangun dan terus menghampiri meja. Dia menarik laci meja lalu mengeluarkan gunting dan salotep.
Dalila terus bersila berdekatan Alia. Alia terus menjadi pasif. Suaranya tidak kedengaran lagi. Mentang-mentanglah Rifqi masih belum tahu siapa dirinya yang sebenar, pandai pulak nak berlakon. Dalila mengomel. Dalila tidak akan membiarkan Rifqi terus bersahabat dengan orang seperti Alia. Dia tidak mahu hidup Rifqi terganggu. Akan dicari masa yang sesuai untuk berterus-terang pada Rifqi siapa sebenarnya Alia.
Persahabatan yang baru terjalin di antara Rifqi dan Alia telah mengundang rasa bimbang dalam hati Dalila dan rakan-rakan. Rifqi, murid baru itu harus diselamatkan sebelum terlambat. Jika dibiarkan pasti Rifqi akan menerima padah kerana berkawan dengan Alia, murid yang disisihkan itu. Lalu, rancangan pun diatur oleh Dalila dan rakan-rakan. Rifqi harus diberitahu tentang rahsia Alia. Kanak-kanak itu sebenarnya bukan manusia biasa… Kehadiran Rifqi menceriakan hari-hari Alia yang selama ini kelam. Saat melangkah ke sekolah, semangatnya berkobar-kobar kerana dia sudah punya kawan yang baik. Erti sebuah persahabatan mula diselami dan dihayati. Namun kegembiraan Alia hanya seketika. Rifqi tiba-tiba menjauhkan diri darinya tanpa diketahui kenapa….