Sedutan Novel Siapa Nombor Satu?

“TAHUN ini, sekolah kita telah dipilih menjadi tuan rumah karnival bahasa. Pelbagai program telah diatur semasa hari karnival nanti. Antaranya ialah pertandingan bercerita Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk tahap satu dan dua, pertandingan mendeklamasikan sajak, action songs serta choral speaking,” terang Cikgu Munirah yang baru sahaja selesai menghadiri mesyuarat di Pejabat Pendidikan Daerah. Mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan mengenai karnival bahasa yang menjadi agenda setiap tahun. Setiap sekolah akan menghantar wakil dalam setiap pertandingan. Pemenang akan mewakili zon dan jika menang, mereka akan mewakili daerah. Seterusnya mereka akan bertanding di peringkat negeri dan kebangsaan.
            Seorang kanak-kanak teruja mendengar penerangan Cikgu Munirah. Inilah saat yang dinantikan saban tahun. Dia mengangkat tangan kerana persoalan yang bermain di fikirannya.
            “Ya, Nurina?”
            “Kami boleh sertai tak acara tersebut?” soal Nurina yang sedikit waswas. Biasanya, murid tahun enam yang akan diberi peluang untuk menyertai sebarang acara. Murid-murid tahun lima biasanya disisihkan, maklumlah mereka masih mempunyai setahun lagi untuk menunjukkan bakat.
            “Sudah tentu. Sesiapa yang berminat untuk menyertai acara yang dipertandingkan, sila datang hari Khamis untuk uji bakat. Kita akan buat pemilihan. Murid terpilih akan mewakili sekolah.” Jelas Cikgu Munirah yang tidak peduli soal umur. Yang penting adalah bakat. Sebab itu dia mencadangkan uji bakat diadakan bagi memilih yang terbaik. Cadangannya diterima oleh guru besar dan guru-guru lain.
            “Esok ke cikgu?” soal Nurina lagi, berdebar-debar. Jika esok uji bakat diadakan, bererti dia tidak boleh tidur malam ini. Dia mahu mengadakan latihan segera. Bermula daripada mencari buku cerita menarik sehinggalah selesai menghafalnya berserta dengan gaya sekali.
            “Khamis minggu depan. Kalau esok, manalah sempat kamu nak menghafal.” Cikgu Munirah tersenyum sambil menggeleng kepala.
            Nurina menarik nafas lega. ‘Sempatlah aku ke perpustakaan untuk pinjam buku cerita,’ bisik hatinya yang melonjak gembira. Sebenarnya, sejak tahun lepas lagi dia menantikan karnival bahasa. Impiannya adalah untuk mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita Bahasa Melayu. 
            “Bila karnival bahasa akan diadakan, cikgu?” Khalif, ketua kelas tahun 5 Amanah mengajukan pertanyaan.
            “Hujung bulan depan. Jadi peserta yang terpilih mempunyai banyak masa untuk berlatih. Kena berlatih bersungguh-sungguh. Tahun lepas, tentu kamu masih ingat juara pertandingan bercerita tahap dua iaitu Nur Farahin. Selain itu, sekolah kita juga menjuarai pertandingan choral speaking sehingga berjaya ke peringkat negeri. Badri pula mendapat tempat kedua pertandingan mendeklamasikan sajak.”
            Di tempat duduk bahagian tengah, ingatan seorang murid yang bertocang satu itu sudah terbang melayang. Syifa tidak dapat melupakan kenangan indah ketika menyertai choral speaking peringkat negeri yang diadakan di Pulau Pangkor tahun lepas. Mereka mendapat tempat ketiga. Sijil yang diterima masih elok berada dalam simpanannya. Piala pula diletakkan di sekolah. Lebih membanggakan Syifa kerana dia salah seorang murid tahun empat yang terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan tersebut. Hanya dia dan Khalif sahaja murid tahun empat yang terpilih. Selebihnya adalah murid tahun lima dan enam.
            “Cikgu, murid tahun enam boleh menyertai atau tidak pertandingan yang diadakan untuk tahap dua?” aju Syifa.
            “Eh, mestilah boleh. Selain murid tahun lima, murid tahun enam dan tahun empat juga akan turut menyertai pertandingan andai mereka berbakat,” ujar Cikgu Munirah sambil melihat jam di tangan. “Sesiapa nak menyertai uji bakat, sila berikan nama pada cikgu selewat-lewatnya esok.”
            Cikgu Munirah meninggalkan kelas.