Lelaki Misteri - Sedutan dari novel Kalung


Sebuah pacuan empat roda berhenti tiba-tiba di hadapanku. Kecut perutku melihat pemandunya. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan. Aku berharap pemandu Pajero tersebut tidak menyedari keberadaanku di situ dan juga tidak mengecam raut wajahku. Kali terakhir aku melihatnya ialah ketika di hutan, saat aku tanpa sengaja telah menceroboh tanahnya kerana mahu mencari kayu api. Sejak hari itu, aku tidak pernah melihatnya lagi.

“Nak balik?”

Teguran lelaki itu menunjukkan yang dia cam akan wajahku. Dan dia juga tahu aku mahu pulang ke kampung. Aku lantas mengangguk biarpun sebenarnya aku tak ingin mengiyakannya.

“Saya nak beli barang dulu. Kalau awak nak tumpang, bolehlah.”

Aku tidak menyangka kata-kata itu keluar dari mulut seorang lelaki misteri yang suka menyendiri. Dia mempelawa aku pulang bersama? Aku lantas menolak pelawaannya walaupun dalam hati melonjak ingin menerima pelawaannya itu. Aku terdesak untuk pulang segera kerana matahari kian jatuh ke barat. Namun aku takut hendak menumpang keretanya. Silap haribulan aku akan menjadi mangsanya yang seterusnya. Lebih baik aku sediakan payung sebelum hujan.

“Kalau awak nak tunggu kereta atau motor orang kampung, jangan haraplah. Sampai ke malam pun belum tentu ada.” Pembunuh tersebut seakan marah kerana aku menolak pelawaannya. Dia melangkah masuk ke kedai hardware selang dua buah dari kedai Ah Choi.

Aku terdiam memikirkan kata-kata pembunuh itu. Memang betul apa yang dicakapkannya. Silap haribulan aku terpaksa bermalam di pekan. Oh tidak! Aku tidak boleh biarkan Irfan dalam keresahan. Dia tentu sedang menanti kepulanganku di beranda.

Sebentar kemudian pembunuh misteri itu melangkah keluar dari kedai hardware. Aku menarik nafas. Mahu tak mahu aku terpaksa menerima pelawaan lelaki itu. Aku harus berfikiran positif. Mungkin dia ikhlas ingin membantuku. Lagi pun, selama ini aku hanya dengar cerita dari orang kampung yang dia pembunuh kejam. Namun begitu, tak ada seorang pun yang memberitahu aku siapa yang telah dibunuh lelaki tersebut dan apakah cara yang digunakannya untuk membunuh. Terdetik di hatiku yang dia mungkin hanya dituduh membunuh. Dituduh bukan bererti dialah pembunuh sebenar. Aku memujuk hati supaya bertenang.

Sepuluh minit kemudian aku sudah berada di dalam kenderaan pembunuh!

“Muka awak pucat seperti nampak hantu.”

“Hah?” terpinga-pinga aku dengan pertanyaannya. Aku segera meraba kedua-dua belah pipiku. Selama hampir setengah jam aku berada di dalam keretanya, tak sepatah pun perkataan keluar dari bibirku. Badanku juga tak bergerak, keras macam batu. Dalam hati sentiasa membaca doa keselamatan. Pembunuh itu juga tak mengeluarkan suara. Dia terus memandu dan sesekali menjeling padaku.

“Kenapa awak nampak macam takut saja? Saya ni bukannya hantu.” Pembunuh itu menggeleng kepala. Tidak pernah terlintas di fikiranku yang dia adalah hantu. Aku jadi begini kerana dia adalah pembunuh sakit jiwa.

“Saya... saya bukannya takut, tapi... segan. Sebab saya tak kenal awak. Er... maksud saya, tak kenal rapat.” Sedaya upaya aku tenangkan diri supaya dapat berbicara lancar namun suaraku masih juga tersekat-sekat. Ketakutan gagal dilenyapkan kerana dalam fikiran hanya membayangkan perkara yang bukan-bukan. Dia mungkin akan mengeluarkan senapang dan mengacukan ke kepalaku. Dia mungkin juga akan menghentikan keretanya secara tiba-tiba lalu mengheret aku masuk ke dalam hutan. Leher aku akan dikelarnya. Darah membuak-buak mengalir keluar.

“Iye ke awak langsung tak kenal saya? Takkan awak tak pernah dengar cerita dari mulut orang kampung tentang saya?”

Darahku terus terhenti mengalir!



Sedutan dari Novel Hanya Padamu

"Hai Hanie, lama tak jumpa."
Berderau darah Izhanie bila mendengar suara itu. Dia segera menoleh ke sisi. Izhan! Dia menyangka tidak akan bertemu dengan Izhan lagi. Selepas Izhan belanja dia makan tempoh hari, dia telah berusaha melarikan diri dari Izhan. Namun hanya seminggu dia berjayamenjauhkan diri dari Izhan. Kini, Izhan berdiri betul-betul di hadapan matanya. Izhan menghadiahkan senyuman manis.
"Dah habis kuliah?" soal Izhan, sopan sekali.
Susah benar hendak berjumpa dengan Izhanie. Saban hari dia menunggu gadis itu di hadapan perpustakaan tetapi hampa.
Terasa seperti luruh jantung Izhanie mendengar bicara Izhan. Dia mengangguk.
Sofea, cepatlah keluar dari kedai. Aku tak sanggup lagi berhadapan dengan lelaki ini. Renungannya yang tajam melemaskan aku. Aku tak tahu nak cakap apa dengan dia, detik hatinya.
Izhanie cuba berlagak biasa, seolah-olah kehadiran Izhan langsung tidak memberi kesan dalam hatinya. Padahal hanya TUHAN sahaja yang tahu debaran di hatinya tatkala mata mereka bertatapan. Izhan berdiri betul-betul di sebelahnya. Dia tidak dapat berganjak lagi. Bau minyak wangi yang dipakai lelaki itu menusuk hidungnya.
"Tunggu seseorang?" soal Izhan pada gadis di sebelahnya yang nampak gelisah.
Izhan tidak mahu kehadirannya itu menyebabkan Izhanie berkeadaan seperti sekarang. Dia mahu kehadirannya akan menceriakan hari-hari gadis itu.
Izhanie mengangguk tanpa memandang wajah Izhan. Imannya cair nanti dengan senyuman yang terukir di bibir Izhan. Dia akui Izhan memiliki senyuman yang menggoda.
Eh, ke situ pulak aku! Alahai Sofea... dah berjam-jam kau kat dalam koperasi. Bila nak keluar ni? detik hatinya.
"Siapa?" Izhan harus tahu. Jika yang ditunggu Izhanie adalah teman lelakinya, dia tidak akan mengganggu lagi gadis itu. Hanya hari itu sahaja. Esok-esok, dia akan datang mengganggu lagi selagi hatinya masih terpaut pada gadis itu.
"Kawan," balas Izhanie.
Dia dah mula dah... menyiasat itu ini. Izhanie menggerutu.
Hendak menggerakkan sedikit anggota badannya pun dia sudah tidak mampu. Terasa semuanya kaku. Lemah. Nak bertentang mata dengan Izhan, lagilah. Sebab itu dia hanya memandang fail Sofea dan sekali sekala memandang lantai ketika bercakap dengan Izhan. Panahan mata lelaki itu terus menusuk ke hati.
"Lelaki?" soal Izhan.
Biasanya seorang gadis tidak mahu mengaku bahawa 'kawan' yang dimaksudkan adalah teman lelaki. Ah, apa nak malu! Berterus-terang saja. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar kawan Izhanie itu seorang perempuan.
Itu pun nak tahu ke? Izhanie terasa jengkel dengan kelakuan Izhan yang mahu mengambil tahu semua tentang dirinya. Dia dan Izhan tidak menjalinkan sebarang perhubungan yang membolehkan lelaki itu berhak untuk bertanya itu ini kepadanya. Lantak akulah jika kawan aku tu lelaki ke perempuan. Buat apa kau nak menyibuk pulak? Getusnya.
"Tak apalah kalau macam tu. Saya minta diri dulu. Nanti kawan lelaki awak tu marah pulak bila dia lihat awak bersama lelaki lain. Tak pasal-pasal nanti korang bergaduh disebabkan saya. Saya tak suka dituduh perampas."
"Hisy, mengada-ngada! Kawan saya tu perempuanlah!"
Ah, kenapa aku berterus-terang? Lagi bagus kalau Izhan tinggalkan aku. Izhanie bermain dengan perasaan. Hatinya seolah-olah terbahagi dua. Sebahagian suka bertemu Izhan,sebahagian lagi tidak.
Izhan mengukir senyuman.
"Saya ingat kan awak sedang tunggu seseorang tadi."
Gembira Izhan mendengar jawapan dari Izhanie. Dia cuma mengacah saja tadi. Tak sangka lakonannya berjaya meraih simpati dari Izhanie.
Sayang intan payung oi, takkanlah aku nak tinggalkan kau macam tu saja selepas seminggu tercari-cari, getus Izhan.

Sedutan dari Novel Kalung

"Nia!!!"
Cawan di tangan hmpir terlepas. Suara nenek kuat macam guruh. Aku mengurut dada.
"Kenapa nek?" aku melangkah menuju ke bilik. Nenek sudah mengecam namaku. Sejak akhir-akhir ini namaku sahaja yang dipanggilnya jika dia perlukan apa-apa. Tidak kedengaran lagi nama Mak Long.
"Aku sakit kepala. Benda tu datang mengganggu aku lagi," dengus nenek sambil memicit kepalanya. "Kau ambil tongkat aku. Aku nak halau benda tu kelaur dari sini."
"Benda apa, nek?" Aku memandang sekeliling. Hampir setiap hari nenek merungut ada 'benda' yang datang mengganggunya. Aku hairan kerana nenek sudah hilang penglihatan. Musykil aku dengan 'benda' yang dilihat nenek. Bila aku ajukan pada Mak Long, dia meminta aku tidak melayan semua bicara atau perbuatan nenek. Orang nyanyuk, begitulah... dakwa Mak Long. Menurut Mak Long lagi, penyakit nenek yang melihat 'benda-benda' pelik selalu datang tak kira masa.
"Benda tulah! Mana tongkat aku?" Nenek meraba-raba mencari tongkat rotannya. Aku yakin ada sesuatu yang mengganggu nenek. Aku capai tongkat di penjuru bilik lalu hulurkannya pada nenek.
"Pergi!" Nenek menghempas kuat tongkatnya ke lantai seolah-olah sedang menghalau sesuatu. Setiap gerak-gerinya aku perhatikan dalam debar. Nampak seperti nenek sedang berusaha keras menghalau sesuatu. Mulutnya kumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu. Setelah puas menghalau barulah nenek berhenti memukul lantai.
"Nenek halau apa?" Aku beranikan diri.
"Benda yang selalu datang ganggu aku." Nenek meraba mencari cerana. Di dalam cerana itulah tersimpan makanan kegemaran nenek iaitu sirih dan pinang. Mulut nenek sentiasa merah kerana sering mengunyah pinang dan sirih. Buah pinang dan daun sirih aku kutip di belakang rumah. Menurut Pak Long, pokok sirih dan pinang ditanam sendiri oleh nenek. Kapur dan gambir pula terpaksa dibeli di kedai Pak Malik. Nenek suka makan pinang jeruk. Terpaksalah aku belajar menjeruk buah pinang. Guri menjadi tempat yang sesuai menyimpan pinang jeruk. Baunya... ah, tak tahan!
"Nia, tolong kacip pinang ni." Nenek menghulurkan kacip dan sebiji pinang yang sudah disiat kulitnya.
"Macam mana rupa benda yang selalu mengganggu nenek?" Aku terus selidik sambil mengacip pinang.
"Macam-macam. Ada yang tinggi, ada yang rendah. Ada yang besar, ada yang kecil. Ada yang putih, ada yang hitam. Ada..."
"Nia!!!!!!!"
Suara Mak Long mengejutkan aku.

KUNCI DIMENSI


Empat Sahabat, Farhan, Imran, Sofea dan Anis secara kebetulan telah terperangkap di sebuah kota misteri. Mereka berusaha mencari jalan keluar dengan bantuan Adam, rakan dari kota misteri. Reka bentu bangunan yang sama menyebabkan empat sahabat sukar mengingati jalan keluar. Masa kian suntuk. Mereka tidak boleh terus berada di kota misteri. Air yang lebih berharga daripada emas menjadi penghalang utama untuk mereka bertahan lebih lama di situ. Kunci Dimensi yang menjadi penghubung dunia mereka yang sebenar dan kota misteri harus dicari segera. Kehadiran mereka turut dihidu Kumpulan Pencari Kunci Dimensi. Mereka pasti ditawan kumpulan tersebut andai gagal menemui Kunci Dimensi.

p/s: Ini adalah karya keduaku untuk novel awal remaja (sasaran pembaca berumur 9-15 tahun) selepas Alia. Kunci Dimensi membawa pembaca mengembara ke sebuah alam fantasi di masa hadapan. Berharga RM10.90 (139 m/s), dan diterbitkan oleh KarnaDya Solutions. Dapatkannya segera di pasaran.

Hanya PadaMu


Benarkah aku sudah melupai Hafid? Ah, kenapa aku harus membohongi diri aku sendiri? Kehadiran Izhan hanya melupakan seketika aku pada kenangan indah bersama Hafid. Hanya seketika. Bila kesunyian menjelma, Hafid tetap hadir dalam ingatannya. Sampai bila pun dia takkan mungkin dapat melupakan Hafid, kerana lelaki itulah yang telah mengajarnya erti cinta pertama. ~ Izhanie
“Teruslah membohongi diri awak. Saya akan tunggu dan lihat sampai bila awak sanggup menipu
perasaan sendiri.” ~ Izhan

Dia bersyukur jika Izhanie sudah berpunya biarpun jauh di sudut hati perasaan kecewa tetap
ada. Dia tidak boleh merebut cinta Izhanie kembali. Memang mereka ditakdirkan untuk
bersama, namun bukan dalam keadaan seperti yang diharapkannya. Hafid sedang belajar
menerima takdir yang telah tertulis. ~ Hafid

Akan aku pertahankan cinta pertamaku walaupun hati sudah mula goyah sejak kehadirannya
yang telah mengganggu minda dan perasaanku...

ILHAM PENULIS
Cinta sesuatu yang indah, sukar digambarkan dengan kata-kata. Cinta pada keluarga, cinta sesama insan, cinta pada pelajaran dan cinta pada Ilahi, mana satukah yang paling utama? Hadirnya tak tentu masa, di sekolah, di gerai makan atau mungkin di kampus. Hidup berbunga ceria, andai cinta sentiasa mekar. Hidup menjadi derita, andai cinta tak mampu ditangani sebaiknya. HANYA PADAMU terhasil dari pemerhatian penulis dengan apa yang sedang berlaku dalam dunia sekarang. Mungkin kita teralpa seketika andai hati sudah dikaburi perasaaan cinta sesama manusia, hingga terlupa tujuan kita lahir ke dunia. Tidak salah memiliki rasa cinta, namun biarlah berpada. ~ Dannie Sofea ~

p/s : Novel ke5, dan novel pertama bersama Buku Prima. Hanya PadaMu...dengan tajuk asal ialah Izhan Izhanie. Berharga RM17.90. Happy Ending :) Di pasaran Julai 2008.

Akan Datang

Www Myspace Layouts ComWww Myspace Layouts ComWww Myspace Layouts ComWww Myspace Layouts ComWww Myspace Layouts Com
Www Myspace Layouts ComWww Myspace Layouts ComWww Myspace Layouts ComWww Myspace Layouts ComWww Myspace Layouts ComWww Myspace Layouts Com


'Web'Web'Web

'Web'Web'Web'Web'Web
'Web'Web'Web'Web'Web'Web'Web


Glittery texts by minutecity.com