Sedutan dari Novel Kalung

"Nia!!!"
Cawan di tangan hmpir terlepas. Suara nenek kuat macam guruh. Aku mengurut dada.
"Kenapa nek?" aku melangkah menuju ke bilik. Nenek sudah mengecam namaku. Sejak akhir-akhir ini namaku sahaja yang dipanggilnya jika dia perlukan apa-apa. Tidak kedengaran lagi nama Mak Long.
"Aku sakit kepala. Benda tu datang mengganggu aku lagi," dengus nenek sambil memicit kepalanya. "Kau ambil tongkat aku. Aku nak halau benda tu kelaur dari sini."
"Benda apa, nek?" Aku memandang sekeliling. Hampir setiap hari nenek merungut ada 'benda' yang datang mengganggunya. Aku hairan kerana nenek sudah hilang penglihatan. Musykil aku dengan 'benda' yang dilihat nenek. Bila aku ajukan pada Mak Long, dia meminta aku tidak melayan semua bicara atau perbuatan nenek. Orang nyanyuk, begitulah... dakwa Mak Long. Menurut Mak Long lagi, penyakit nenek yang melihat 'benda-benda' pelik selalu datang tak kira masa.
"Benda tulah! Mana tongkat aku?" Nenek meraba-raba mencari tongkat rotannya. Aku yakin ada sesuatu yang mengganggu nenek. Aku capai tongkat di penjuru bilik lalu hulurkannya pada nenek.
"Pergi!" Nenek menghempas kuat tongkatnya ke lantai seolah-olah sedang menghalau sesuatu. Setiap gerak-gerinya aku perhatikan dalam debar. Nampak seperti nenek sedang berusaha keras menghalau sesuatu. Mulutnya kumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu. Setelah puas menghalau barulah nenek berhenti memukul lantai.
"Nenek halau apa?" Aku beranikan diri.
"Benda yang selalu datang ganggu aku." Nenek meraba mencari cerana. Di dalam cerana itulah tersimpan makanan kegemaran nenek iaitu sirih dan pinang. Mulut nenek sentiasa merah kerana sering mengunyah pinang dan sirih. Buah pinang dan daun sirih aku kutip di belakang rumah. Menurut Pak Long, pokok sirih dan pinang ditanam sendiri oleh nenek. Kapur dan gambir pula terpaksa dibeli di kedai Pak Malik. Nenek suka makan pinang jeruk. Terpaksalah aku belajar menjeruk buah pinang. Guri menjadi tempat yang sesuai menyimpan pinang jeruk. Baunya... ah, tak tahan!
"Nia, tolong kacip pinang ni." Nenek menghulurkan kacip dan sebiji pinang yang sudah disiat kulitnya.
"Macam mana rupa benda yang selalu mengganggu nenek?" Aku terus selidik sambil mengacip pinang.
"Macam-macam. Ada yang tinggi, ada yang rendah. Ada yang besar, ada yang kecil. Ada yang putih, ada yang hitam. Ada..."
"Nia!!!!!!!"
Suara Mak Long mengejutkan aku.