Sedutan dari Novel Hanya Padamu

"Hai Hanie, lama tak jumpa."
Berderau darah Izhanie bila mendengar suara itu. Dia segera menoleh ke sisi. Izhan! Dia menyangka tidak akan bertemu dengan Izhan lagi. Selepas Izhan belanja dia makan tempoh hari, dia telah berusaha melarikan diri dari Izhan. Namun hanya seminggu dia berjayamenjauhkan diri dari Izhan. Kini, Izhan berdiri betul-betul di hadapan matanya. Izhan menghadiahkan senyuman manis.
"Dah habis kuliah?" soal Izhan, sopan sekali.
Susah benar hendak berjumpa dengan Izhanie. Saban hari dia menunggu gadis itu di hadapan perpustakaan tetapi hampa.
Terasa seperti luruh jantung Izhanie mendengar bicara Izhan. Dia mengangguk.
Sofea, cepatlah keluar dari kedai. Aku tak sanggup lagi berhadapan dengan lelaki ini. Renungannya yang tajam melemaskan aku. Aku tak tahu nak cakap apa dengan dia, detik hatinya.
Izhanie cuba berlagak biasa, seolah-olah kehadiran Izhan langsung tidak memberi kesan dalam hatinya. Padahal hanya TUHAN sahaja yang tahu debaran di hatinya tatkala mata mereka bertatapan. Izhan berdiri betul-betul di sebelahnya. Dia tidak dapat berganjak lagi. Bau minyak wangi yang dipakai lelaki itu menusuk hidungnya.
"Tunggu seseorang?" soal Izhan pada gadis di sebelahnya yang nampak gelisah.
Izhan tidak mahu kehadirannya itu menyebabkan Izhanie berkeadaan seperti sekarang. Dia mahu kehadirannya akan menceriakan hari-hari gadis itu.
Izhanie mengangguk tanpa memandang wajah Izhan. Imannya cair nanti dengan senyuman yang terukir di bibir Izhan. Dia akui Izhan memiliki senyuman yang menggoda.
Eh, ke situ pulak aku! Alahai Sofea... dah berjam-jam kau kat dalam koperasi. Bila nak keluar ni? detik hatinya.
"Siapa?" Izhan harus tahu. Jika yang ditunggu Izhanie adalah teman lelakinya, dia tidak akan mengganggu lagi gadis itu. Hanya hari itu sahaja. Esok-esok, dia akan datang mengganggu lagi selagi hatinya masih terpaut pada gadis itu.
"Kawan," balas Izhanie.
Dia dah mula dah... menyiasat itu ini. Izhanie menggerutu.
Hendak menggerakkan sedikit anggota badannya pun dia sudah tidak mampu. Terasa semuanya kaku. Lemah. Nak bertentang mata dengan Izhan, lagilah. Sebab itu dia hanya memandang fail Sofea dan sekali sekala memandang lantai ketika bercakap dengan Izhan. Panahan mata lelaki itu terus menusuk ke hati.
"Lelaki?" soal Izhan.
Biasanya seorang gadis tidak mahu mengaku bahawa 'kawan' yang dimaksudkan adalah teman lelaki. Ah, apa nak malu! Berterus-terang saja. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar kawan Izhanie itu seorang perempuan.
Itu pun nak tahu ke? Izhanie terasa jengkel dengan kelakuan Izhan yang mahu mengambil tahu semua tentang dirinya. Dia dan Izhan tidak menjalinkan sebarang perhubungan yang membolehkan lelaki itu berhak untuk bertanya itu ini kepadanya. Lantak akulah jika kawan aku tu lelaki ke perempuan. Buat apa kau nak menyibuk pulak? Getusnya.
"Tak apalah kalau macam tu. Saya minta diri dulu. Nanti kawan lelaki awak tu marah pulak bila dia lihat awak bersama lelaki lain. Tak pasal-pasal nanti korang bergaduh disebabkan saya. Saya tak suka dituduh perampas."
"Hisy, mengada-ngada! Kawan saya tu perempuanlah!"
Ah, kenapa aku berterus-terang? Lagi bagus kalau Izhan tinggalkan aku. Izhanie bermain dengan perasaan. Hatinya seolah-olah terbahagi dua. Sebahagian suka bertemu Izhan,sebahagian lagi tidak.
Izhan mengukir senyuman.
"Saya ingat kan awak sedang tunggu seseorang tadi."
Gembira Izhan mendengar jawapan dari Izhanie. Dia cuma mengacah saja tadi. Tak sangka lakonannya berjaya meraih simpati dari Izhanie.
Sayang intan payung oi, takkanlah aku nak tinggalkan kau macam tu saja selepas seminggu tercari-cari, getus Izhan.