Sedutan dari Novel Alia


“Eh, dengar tu... dia gelak lagi!” Jamilah meletakkan tangan di telinga, supaya pendengarannya lebih jelas.

“Sikit hari nanti pasti kita akan dengar dia mengilai pulak. Eee... takut!” Dalila mengosok-gosok lengannya.

“Syss... dia dengar nanti. Habislah kita kalau mak dia datang ganggu malam ni.” Jamilah menyimpan kasut di rak yang disediakan di luar perpustakaan. Dia terus ke pintu masuk.

Ciku Rasyidah yang sedang bersila di lantai terus menoleh ke pintu masuk apabila terdengar derapan langkah. “Eh Jamilah... Dalila pun ada? Eloklah... marilah bantu cikgu balut buku ni.”

“Er... kami ada kelas tambahan jam lima cikgu.” Dalila cuba mengelak. “Kami datang sebab nak pinjam buku. Minta maaf sebab tak dapat bantu cikgu. Lagipun, Alia dan Rifqi kan ada....” Dalila menjeling ke arah Alia dan Rifqi. Mereka sedang bersila di lantai sambil membalut buku.

“Baru pukul 4.30 sekarang. Ha, mari tolong cikgu dulu. Lepas tu pinjamlah buku apa saja yang kamu nak pinjam.” Cikgu Rasyidah bangun dan terus menghampiri meja. Dia menarik laci meja lalu mengeluarkan gunting dan salotep.

Dalila terus bersila berdekatan Alia. Alia terus menjadi pasif. Suaranya tidak kedengaran lagi. Mentang-mentanglah Rifqi masih belum tahu siapa dirinya yang sebenar, pandai pulak nak berlakon. Dalila mengomel. Dalila tidak akan membiarkan Rifqi terus bersahabat dengan orang seperti Alia. Dia tidak mahu hidup Rifqi terganggu. Akan dicari masa yang sesuai untuk berterus-terang pada Rifqi siapa sebenarnya Alia.