Hanya PadaMu



Sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan matanya. Izhanie terpaksa berundur selangkah ke belakang, bimbang air lopak memercik ke arahnya. Dia cukup kenal siapakah pemilik kereta tersebut. Ops, silap! Dia tidak mengenali pemiliknya. Dia hanya mengenali siapakah peminjamnya. Apa hal dia ke sini? Fakultinya di sebelah sana, bukan di sini. Takkanlah dia ke sini untuk menemuiku? Izhanie kehairanan.
Izhan melangkah turun dari kereta. Izhanie tidak dapat lari dari mengerling ke arah lelaki itu. Lelaki yang sudah hampir dua minggu tidak dilihat kelibatnya sekitar kampus. Izhan langsung tidak memandangnya biarpun dia berdiri tidak jauh dari lelaki itu. Ah, sombongnya! Dia segera mengalihkan pandangan, pura-pura tidak menyedari kehadiran Izhan.
Izhan melambai tangan. Dadanya berdebar-debar. Senyuman terukir di bibir Izhan. Mimpi apa Izhan kali ini? Dia ingat aku ni seorang gadis yang mudah dipermainkah? Izhan menapak menghampirinya. Dia masih keliru. Namun dia tidak dapat menolak kegembiraan di hati kecilnya. Perlukah aku membalas senyumannya? Bibirnya menggigil. Mungkinkah Izhan mahu meminta maaf dariku di atas penipuannya selama ini? Dia berharap sangat agar Izhan datang memohon maaf darinya. Dan dia bersedia memberi kemaafan kerana dia tak ingin berjauhan dengan lelaki itu lagi. Seksa!
“Hai, lama tunggu!” tegur Izhan.
Lidahnya kelu. Walaupun hujan turun, badannya tiba-tiba terasa panas dan berpeluh. Dia terus menundukkan kepala, segan untuk bertatapan mata dengan Izhan. Suatu perasaan yang sukar dimengertikan bermain di lubuk hatinya apabila mendengar suara Izhan. Suara yang sudah lama dirinduinya…
“Hampir sepuluh minit.” Terdengar suara seorang gadis menyambut sapaan Izhan. Erin?
“Sorry, aku ada hal tadi.”
Izhan langsung tak memandangnya walaupun jarak kedudukan mereka tak sampai satu meter. Izhanie mengawal perasaan sedih, kecewa, geram dan bermacam-macam lagi.
“Tak apa.” Suara Erin kedengaran manja.
Izhan dan Erin melangkah ke arah kereta. Siap berpimpin tangan lagi!
Ya Allah, malunya aku! Nasib baik aku tak balas sapaan Izhan. Izhanie menggigit bibir. Geram! Marah! Benci! Dia buat aku macam tunggul kayu! Seolah-olah dia tak kenal aku langsung! Izhan memang kejam! Sampai hati kau buat aku macam ni. Izhanie mahu melepaskan perasaan yang terbuku di hati dengan menangis. Namun, tempat tersebut tidak mengizinkan dia untuk mengalirkan air mata.
Jangan menangis! Kau tak seharusnya menangis kerana lelaki yang tak reti mengenang budi. Izhan boleh buat-buat tak kenal aku. Aku pun boleh buat macam tu juga. Dia tidak tahu sejak bila pulak Izhan bercinta dengan Erin. Erin atau nama penuhnya Ezrin Hanningson adalah seorang gadis kacukan Melayu Irish. Orangnya memanglah cantik. Ramai lelaki yang mahu mendampinginya tetapi Erin jual mahal. Tak sangka Erin sangkut pada Izhan, lelaki yang akan berkahwin tak lama lagi. Dia simpati pada Erin. Dia juga simpati pada dirinya sendiri, yang masih gagal melupakan Izhan biarpun dia telah berusaha melakukannya.

Tajuk Novel : Hanya PadaMu
Penerbit : Buku Prima
Harga : RM17.90
Keluaran : Julai 2008