PROMO - KALUNG



Bilik bercat biru muda itu memeningkan kepalaku. Mulanya aku sangkakan bilik tersebut adalah salah satu wad di hospital. Aku sangkakan ada orang yang telah menjumpaiku lalu menghantarku ke hospital. Namun, melihat pada katil pelaminnya yang dihiasi cadar berbunga ros besar, dan ketiadaan perkakasan hospital, aku mula menyedari bilik tersebut bukan sebahagian dari hospital.

Selain katil, bilik tersebut juga dihiasi dengan sebuah almari antik di bahagian penjuru. Terdapat juga sekeping lukisan tergantung di dinding. Lukisan pemandangan sebuah pondok di tepi sungai yang berbatu-batu…. indah dan mengasyikkan jika ditenung lama-lama. Di hujung kaki katil terdapat tiga buah kerusi rotan yang mengelilingi sebuah meja.

Mungkinkah aku sudah dibawa ke dunia orang bunian?

Sebuah cermin besar yang melekat di dinding telah menarik perhatianku. Aku lantas menghampiri cermin tersebut dan memerhati diriku. Aku masih memakai pakaian yang sama. Hanya tudungku sahaja yang hilang entah ke mana. Ada calar kecil di pipi sebelah kananku. Leher kananku ditampal plaster. Begitu juga dengan lengan kiriku. Siapa yang telah merawat luka di badanku?

Kalung yang entah kepunyaan siapa itu masih tergantung di leherku. Rambutku kusut-masai. Belum sempat aku hendak membetulkan rambut, sebuah pintu yang terletak bersebelahan cermin tiba-tiba terkuak.

Seorang lelaki berjambang putih muncul di sebalik pintu! Jantungku kembali berdegup kencang. Manusia atau orang bunian? Mukanya bengis memandangku.

PROMO - KUNCI DIMENSI



“Kisah yang akan atuk ceritakan adalah kisah moyang atuk. Atuk panggil dia Yang Mail. Yang Mail menceritakan pada atuk satu kisah yang dilaluinya semasa zaman kanak-kanak. Yang Mail suka bersendirian. Pada zaman itu, tidak ramai orang yang tinggal di dalam kampung ini. Rumah penduduk juga jauh jaraknya. Jadi Yang Mail tak banyak kawan. Suatu hari Yang Mail ke hutan. Dia mahu menjerat burung. Yang Mail leka seketika dan akhirnya dia tersesat. Yang Mail tidak jumpa jalan keluar. Yang Mail sedaya-upaya mencari jalan keluar tetapi usahanya itu gagal. Dia akhirnya memasuki sebuah penempatan.”

“Penempatan? Penempatan buniankah, atuk?” soal Imran yang tidak sabar menanti Atuk meneruskan ceritanya.

“Entahlah… menurut Yang Mail, tempat itu tidak seperti kampung ini. Rumah-rumah penduduk di sana besar-besar belaka dan dibina dari batu dan kaca. Yang Mail merasa pelik kerana pada zaman itu, orang kampung Yang Mail hanya tahu membina rumah daripada kayu. Yang Mail tidak pernah melihat rumah berdinding batu apa lagi kaca. Jadi, dia kagum. Penduduk di situ menyambut kedatangan Yang Mail dengan mesra. Yang Mail dijamu makanan yang sedap-sedap yang belum Yang Mail rasa sepanjang hayatnya. Atuk ingat lagi, Yang Mail pernah ceritakan pada atuk yang dia melihat satu benda pelik di tempat tersebut. Benda tersebut berbentuk empat segi. Ada gambar yang keluar dan boleh bergerak-gerak dan bersuara dari benda tersebut. Yang Mail tidak tahu apa nama benda itu. Sekarang Atuk sedar benda pelik yang dimaksudkan Yang Mail itu sudah tentu televisyen.” Atuk berhenti bercerita seketika. Dia meneguk secawan kopi. Cucu-cunya kelihatan berminat dengan cerita yang disampaikannya.

“Yang Mail juga bagitahu atuk tentang makanan yang terasa sejuk dan segar apabila diletakkan di dalam sebuah peti. Kanak-kanak di situ juga berpakaian cantik dan kemas. Mereka menghabiskan masa dengan menuntut ilmu di sekolah. Di rumah pula, mereka banyak menghabiskan masa dengan melakukan pelbagai ujikaji. Yang Mail kagum dengan kebijaksanaan mereka. Semasa di sana jugalah, Yang Mail mendakwa dia pertama kali menaiki sebuah kenderaan yang sangat laju. Kenderaan tersebut boleh terbang di udara. Atuk yakin itulah kapal terbang.”

“Berapa lama Yang Mail berada di sana?” soal Imran yang kagum mendengar cerita Atuk mengenai moyangnya, Yang Mail.

“Yang Mail tidak pasti berapa lama dia di situ. Dia terlalu seronok berada di sana sehingga lupa akan kampung halamannya sendiri. Suatu hari banjir besar melanda tempat itu. Yang Mail sempat menyelamatkan diri bersama kawan barunya. Namanya… er nama…” Atuk menggaru kepalanya yang sudah separuh botak itu. “Ah, lupa! Atuk sudah lupa nama kawan Yang Mail. Mereka sempat menyelamatkan diri ke kawasan tanah tinggi. Malangnya, kawan Yang Mail meninggal sebelum banjir surut. Dia sempat menghadiahkan benda yang seperti telefon bimbit itu pada Yang Mail sebagai tanda persahabatan.”

“Lepas itu, apa yang berlaku atuk?” soal Sofea.

PROMO - ALIA


Rifqi tersenyum. Esok, mereka akan bermain lagi. Rifqi berharap kali ini dia berjaya menjatuhkan menara tin.

Rifqi, Azizul dan Rahmat bergerak meninggalkan padang. Mereka menyusur denai untuk menuju ke jalan bertar. Rifqi sibuk memerhati kanan dan kiri. Mulutnya sibuk bertanya itu ini.

“Eh, ada orang tinggal di pondok tu?” Rifqi sedikit terkejut. Sewaktu dalam perjalanan menuju ke padang, pondok itu kelihatan usang dan daif. Rifqi terus menyangka yang pondok tersebut tidak berpenghuni.

“Itulah tempat tinggal Alia dengan neneknya.” Ujar Azizul.

“Apa? Tempat tinggal Alia?” soal Rifqi yang seperti tidak percaya dengan apa yang telah diberitahu Azizul. Tak mungkin Alia, murid yang bijak tinggal di pondok yang hampir roboh itu. Dindingnya bukan dinding papan dan atapnya juga bukan atap zink.

“Ha... buat apa aku nak bohong. Tu nenek dia yang sedang bagi ayam makan.”

Rifqi memerhati gerak-geri nenek Alia. Dia sedang asyik memberi ayam makan. Mulutnya pula becot menghalau ayam lain yang sudah tentu bukan miliknya. Dia memakai kain batik separas dada sahaja. Kulitnya berkedut sana sini. Sanggul sebesar siput terlekat kemas di kepalanya.

“Mak, abah, adik-beradik dia tak tinggal sini ke?” soal Rifqi yang merasa simpati melihat keadaan tempat tinggal Alia.

Azizul menjungkit bahu.

“Jom kita singgah. Boleh aku berkenalan dengan nenek Alia tu.”

“Ish, jangan cari nahas!” Rahmat mengheret baju Rifqi dan beredar dari situ segera.


P/S : Alhamdulillah, Alia sudah mencecah cetakan ketiga. Sesiapa yg pernah mendapatkan novel ni, jangan lupa dapatkan sambungannya (Menjejak Memori) untuk mengetahui kisah selanjutnya mengenai Alia..

Promo Menjejak Memori



KENAPA awak terus mencari saya?” nada suaranya tinggi.


“Saya nak minta maaf. Saya tak sepatutnya memungkiri janji,” luah Rifqi bersungguh-sungguh.


Rifqi cuba mencuri tatap wajah gadis berselendang putih itu namun gagal. Gadis itu seperti mahu menyembunyikan wajahnya. Rifqi bergerak ke hadapan dan gadis itu juga turut berpusing, sengaja melindungi wajahnya yang entah bagaimana. Cahaya purnama yang suram gagal menyuluh wajahnya yang disembunyikan di sebalik selendang putih.


“Saya dah maafkan awak. Cukuplah, jangan cari saya lagi.” Gadis itu terus berlalu meninggalkan Rifqi.


"Tunggu!”


Rifqi cuba mengejar gadis itu. Namun gadis itu yang sedang bergerak tanpa menjejakkan kakinya ke tanah itu perlahan-lahan terbang tinggi ke awan biru.


“Tunggu!!!” jerit Rifqi sekuat hati.


Dia tidak mahu kehilangan gadis itu sebelum sempat mengajukan pertanyaan apa sebenarnya yang berlaku pada gadis itu. Ke mana menghilang? Kenapa menghilang?

MENJEJAK MEMORI - ZAHIDA ZARKASI


Sinopsis:
Dua belas tahun sudah berlalu. Ramalan salah seorang bomoh masih lekat di ingatannya... Kanak-kanak tersebut akan kembali selepas 12 tahun. Sekembalinya dia ke alam manusia, dia akan menjadi seseorang yang mempunyai kuasa sakti dan hidup dalam kemewahan. Satu ramalan yang sukar untuk dipercayai tetapi tetap ditunggu. Rifqi berharap penantiannya selama 12 tahun akan berakhir. Dia berharap sangat dapat bertemu semula dengan kanak-kanak yang hilang itu, yang pernah menjadi kawan baiknya.
Di Kolej Indera Jaya, persoalan yang bermain di mindanya kian terungkai. Pencarian hampir menemui titik tamat. Namun, saat rahsia hampir terbongkar, Rifqi terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan penyiasatan. Jika tidak, perhubungannya dengan gadis itu pasti akan terancam. Gadis itu pasti tidak akan memaafkannya andai rahsia itu terbongkar. Rahsia tentang siapa dirinya yang sebenar..

Hanya PadaMu



Sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan matanya. Izhanie terpaksa berundur selangkah ke belakang, bimbang air lopak memercik ke arahnya. Dia cukup kenal siapakah pemilik kereta tersebut. Ops, silap! Dia tidak mengenali pemiliknya. Dia hanya mengenali siapakah peminjamnya. Apa hal dia ke sini? Fakultinya di sebelah sana, bukan di sini. Takkanlah dia ke sini untuk menemuiku? Izhanie kehairanan.
Izhan melangkah turun dari kereta. Izhanie tidak dapat lari dari mengerling ke arah lelaki itu. Lelaki yang sudah hampir dua minggu tidak dilihat kelibatnya sekitar kampus. Izhan langsung tidak memandangnya biarpun dia berdiri tidak jauh dari lelaki itu. Ah, sombongnya! Dia segera mengalihkan pandangan, pura-pura tidak menyedari kehadiran Izhan.
Izhan melambai tangan. Dadanya berdebar-debar. Senyuman terukir di bibir Izhan. Mimpi apa Izhan kali ini? Dia ingat aku ni seorang gadis yang mudah dipermainkah? Izhan menapak menghampirinya. Dia masih keliru. Namun dia tidak dapat menolak kegembiraan di hati kecilnya. Perlukah aku membalas senyumannya? Bibirnya menggigil. Mungkinkah Izhan mahu meminta maaf dariku di atas penipuannya selama ini? Dia berharap sangat agar Izhan datang memohon maaf darinya. Dan dia bersedia memberi kemaafan kerana dia tak ingin berjauhan dengan lelaki itu lagi. Seksa!
“Hai, lama tunggu!” tegur Izhan.
Lidahnya kelu. Walaupun hujan turun, badannya tiba-tiba terasa panas dan berpeluh. Dia terus menundukkan kepala, segan untuk bertatapan mata dengan Izhan. Suatu perasaan yang sukar dimengertikan bermain di lubuk hatinya apabila mendengar suara Izhan. Suara yang sudah lama dirinduinya…
“Hampir sepuluh minit.” Terdengar suara seorang gadis menyambut sapaan Izhan. Erin?
“Sorry, aku ada hal tadi.”
Izhan langsung tak memandangnya walaupun jarak kedudukan mereka tak sampai satu meter. Izhanie mengawal perasaan sedih, kecewa, geram dan bermacam-macam lagi.
“Tak apa.” Suara Erin kedengaran manja.
Izhan dan Erin melangkah ke arah kereta. Siap berpimpin tangan lagi!
Ya Allah, malunya aku! Nasib baik aku tak balas sapaan Izhan. Izhanie menggigit bibir. Geram! Marah! Benci! Dia buat aku macam tunggul kayu! Seolah-olah dia tak kenal aku langsung! Izhan memang kejam! Sampai hati kau buat aku macam ni. Izhanie mahu melepaskan perasaan yang terbuku di hati dengan menangis. Namun, tempat tersebut tidak mengizinkan dia untuk mengalirkan air mata.
Jangan menangis! Kau tak seharusnya menangis kerana lelaki yang tak reti mengenang budi. Izhan boleh buat-buat tak kenal aku. Aku pun boleh buat macam tu juga. Dia tidak tahu sejak bila pulak Izhan bercinta dengan Erin. Erin atau nama penuhnya Ezrin Hanningson adalah seorang gadis kacukan Melayu Irish. Orangnya memanglah cantik. Ramai lelaki yang mahu mendampinginya tetapi Erin jual mahal. Tak sangka Erin sangkut pada Izhan, lelaki yang akan berkahwin tak lama lagi. Dia simpati pada Erin. Dia juga simpati pada dirinya sendiri, yang masih gagal melupakan Izhan biarpun dia telah berusaha melakukannya.

Tajuk Novel : Hanya PadaMu
Penerbit : Buku Prima
Harga : RM17.90
Keluaran : Julai 2008

Sedutan dari Novel Alia


“Eh, dengar tu... dia gelak lagi!” Jamilah meletakkan tangan di telinga, supaya pendengarannya lebih jelas.

“Sikit hari nanti pasti kita akan dengar dia mengilai pulak. Eee... takut!” Dalila mengosok-gosok lengannya.

“Syss... dia dengar nanti. Habislah kita kalau mak dia datang ganggu malam ni.” Jamilah menyimpan kasut di rak yang disediakan di luar perpustakaan. Dia terus ke pintu masuk.

Ciku Rasyidah yang sedang bersila di lantai terus menoleh ke pintu masuk apabila terdengar derapan langkah. “Eh Jamilah... Dalila pun ada? Eloklah... marilah bantu cikgu balut buku ni.”

“Er... kami ada kelas tambahan jam lima cikgu.” Dalila cuba mengelak. “Kami datang sebab nak pinjam buku. Minta maaf sebab tak dapat bantu cikgu. Lagipun, Alia dan Rifqi kan ada....” Dalila menjeling ke arah Alia dan Rifqi. Mereka sedang bersila di lantai sambil membalut buku.

“Baru pukul 4.30 sekarang. Ha, mari tolong cikgu dulu. Lepas tu pinjamlah buku apa saja yang kamu nak pinjam.” Cikgu Rasyidah bangun dan terus menghampiri meja. Dia menarik laci meja lalu mengeluarkan gunting dan salotep.

Dalila terus bersila berdekatan Alia. Alia terus menjadi pasif. Suaranya tidak kedengaran lagi. Mentang-mentanglah Rifqi masih belum tahu siapa dirinya yang sebenar, pandai pulak nak berlakon. Dalila mengomel. Dalila tidak akan membiarkan Rifqi terus bersahabat dengan orang seperti Alia. Dia tidak mahu hidup Rifqi terganggu. Akan dicari masa yang sesuai untuk berterus-terang pada Rifqi siapa sebenarnya Alia.