PROMO - KUNCI DIMENSI



“Kisah yang akan atuk ceritakan adalah kisah moyang atuk. Atuk panggil dia Yang Mail. Yang Mail menceritakan pada atuk satu kisah yang dilaluinya semasa zaman kanak-kanak. Yang Mail suka bersendirian. Pada zaman itu, tidak ramai orang yang tinggal di dalam kampung ini. Rumah penduduk juga jauh jaraknya. Jadi Yang Mail tak banyak kawan. Suatu hari Yang Mail ke hutan. Dia mahu menjerat burung. Yang Mail leka seketika dan akhirnya dia tersesat. Yang Mail tidak jumpa jalan keluar. Yang Mail sedaya-upaya mencari jalan keluar tetapi usahanya itu gagal. Dia akhirnya memasuki sebuah penempatan.”

“Penempatan? Penempatan buniankah, atuk?” soal Imran yang tidak sabar menanti Atuk meneruskan ceritanya.

“Entahlah… menurut Yang Mail, tempat itu tidak seperti kampung ini. Rumah-rumah penduduk di sana besar-besar belaka dan dibina dari batu dan kaca. Yang Mail merasa pelik kerana pada zaman itu, orang kampung Yang Mail hanya tahu membina rumah daripada kayu. Yang Mail tidak pernah melihat rumah berdinding batu apa lagi kaca. Jadi, dia kagum. Penduduk di situ menyambut kedatangan Yang Mail dengan mesra. Yang Mail dijamu makanan yang sedap-sedap yang belum Yang Mail rasa sepanjang hayatnya. Atuk ingat lagi, Yang Mail pernah ceritakan pada atuk yang dia melihat satu benda pelik di tempat tersebut. Benda tersebut berbentuk empat segi. Ada gambar yang keluar dan boleh bergerak-gerak dan bersuara dari benda tersebut. Yang Mail tidak tahu apa nama benda itu. Sekarang Atuk sedar benda pelik yang dimaksudkan Yang Mail itu sudah tentu televisyen.” Atuk berhenti bercerita seketika. Dia meneguk secawan kopi. Cucu-cunya kelihatan berminat dengan cerita yang disampaikannya.

“Yang Mail juga bagitahu atuk tentang makanan yang terasa sejuk dan segar apabila diletakkan di dalam sebuah peti. Kanak-kanak di situ juga berpakaian cantik dan kemas. Mereka menghabiskan masa dengan menuntut ilmu di sekolah. Di rumah pula, mereka banyak menghabiskan masa dengan melakukan pelbagai ujikaji. Yang Mail kagum dengan kebijaksanaan mereka. Semasa di sana jugalah, Yang Mail mendakwa dia pertama kali menaiki sebuah kenderaan yang sangat laju. Kenderaan tersebut boleh terbang di udara. Atuk yakin itulah kapal terbang.”

“Berapa lama Yang Mail berada di sana?” soal Imran yang kagum mendengar cerita Atuk mengenai moyangnya, Yang Mail.

“Yang Mail tidak pasti berapa lama dia di situ. Dia terlalu seronok berada di sana sehingga lupa akan kampung halamannya sendiri. Suatu hari banjir besar melanda tempat itu. Yang Mail sempat menyelamatkan diri bersama kawan barunya. Namanya… er nama…” Atuk menggaru kepalanya yang sudah separuh botak itu. “Ah, lupa! Atuk sudah lupa nama kawan Yang Mail. Mereka sempat menyelamatkan diri ke kawasan tanah tinggi. Malangnya, kawan Yang Mail meninggal sebelum banjir surut. Dia sempat menghadiahkan benda yang seperti telefon bimbit itu pada Yang Mail sebagai tanda persahabatan.”

“Lepas itu, apa yang berlaku atuk?” soal Sofea.

0 ulasan: