PROMO - ALIA


Rifqi tersenyum. Esok, mereka akan bermain lagi. Rifqi berharap kali ini dia berjaya menjatuhkan menara tin.

Rifqi, Azizul dan Rahmat bergerak meninggalkan padang. Mereka menyusur denai untuk menuju ke jalan bertar. Rifqi sibuk memerhati kanan dan kiri. Mulutnya sibuk bertanya itu ini.

“Eh, ada orang tinggal di pondok tu?” Rifqi sedikit terkejut. Sewaktu dalam perjalanan menuju ke padang, pondok itu kelihatan usang dan daif. Rifqi terus menyangka yang pondok tersebut tidak berpenghuni.

“Itulah tempat tinggal Alia dengan neneknya.” Ujar Azizul.

“Apa? Tempat tinggal Alia?” soal Rifqi yang seperti tidak percaya dengan apa yang telah diberitahu Azizul. Tak mungkin Alia, murid yang bijak tinggal di pondok yang hampir roboh itu. Dindingnya bukan dinding papan dan atapnya juga bukan atap zink.

“Ha... buat apa aku nak bohong. Tu nenek dia yang sedang bagi ayam makan.”

Rifqi memerhati gerak-geri nenek Alia. Dia sedang asyik memberi ayam makan. Mulutnya pula becot menghalau ayam lain yang sudah tentu bukan miliknya. Dia memakai kain batik separas dada sahaja. Kulitnya berkedut sana sini. Sanggul sebesar siput terlekat kemas di kepalanya.

“Mak, abah, adik-beradik dia tak tinggal sini ke?” soal Rifqi yang merasa simpati melihat keadaan tempat tinggal Alia.

Azizul menjungkit bahu.

“Jom kita singgah. Boleh aku berkenalan dengan nenek Alia tu.”

“Ish, jangan cari nahas!” Rahmat mengheret baju Rifqi dan beredar dari situ segera.


P/S : Alhamdulillah, Alia sudah mencecah cetakan ketiga. Sesiapa yg pernah mendapatkan novel ni, jangan lupa dapatkan sambungannya (Menjejak Memori) untuk mengetahui kisah selanjutnya mengenai Alia..

0 ulasan: