Sedutan dari Novel Hanya Padamu

"Hai Hanie, lama tak jumpa."
Berderau darah Izhanie bila mendengar suara itu. Dia segera menoleh ke sisi. Izhan! Dia menyangka tidak akan bertemu dengan Izhan lagi. Selepas Izhan belanja dia makan tempoh hari, dia telah berusaha melarikan diri dari Izhan. Namun hanya seminggu dia berjayamenjauhkan diri dari Izhan. Kini, Izhan berdiri betul-betul di hadapan matanya. Izhan menghadiahkan senyuman manis.
"Dah habis kuliah?" soal Izhan, sopan sekali.
Susah benar hendak berjumpa dengan Izhanie. Saban hari dia menunggu gadis itu di hadapan perpustakaan tetapi hampa.
Terasa seperti luruh jantung Izhanie mendengar bicara Izhan. Dia mengangguk.
Sofea, cepatlah keluar dari kedai. Aku tak sanggup lagi berhadapan dengan lelaki ini. Renungannya yang tajam melemaskan aku. Aku tak tahu nak cakap apa dengan dia, detik hatinya.
Izhanie cuba berlagak biasa, seolah-olah kehadiran Izhan langsung tidak memberi kesan dalam hatinya. Padahal hanya TUHAN sahaja yang tahu debaran di hatinya tatkala mata mereka bertatapan. Izhan berdiri betul-betul di sebelahnya. Dia tidak dapat berganjak lagi. Bau minyak wangi yang dipakai lelaki itu menusuk hidungnya.
"Tunggu seseorang?" soal Izhan pada gadis di sebelahnya yang nampak gelisah.
Izhan tidak mahu kehadirannya itu menyebabkan Izhanie berkeadaan seperti sekarang. Dia mahu kehadirannya akan menceriakan hari-hari gadis itu.
Izhanie mengangguk tanpa memandang wajah Izhan. Imannya cair nanti dengan senyuman yang terukir di bibir Izhan. Dia akui Izhan memiliki senyuman yang menggoda.
Eh, ke situ pulak aku! Alahai Sofea... dah berjam-jam kau kat dalam koperasi. Bila nak keluar ni? detik hatinya.
"Siapa?" Izhan harus tahu. Jika yang ditunggu Izhanie adalah teman lelakinya, dia tidak akan mengganggu lagi gadis itu. Hanya hari itu sahaja. Esok-esok, dia akan datang mengganggu lagi selagi hatinya masih terpaut pada gadis itu.
"Kawan," balas Izhanie.
Dia dah mula dah... menyiasat itu ini. Izhanie menggerutu.
Hendak menggerakkan sedikit anggota badannya pun dia sudah tidak mampu. Terasa semuanya kaku. Lemah. Nak bertentang mata dengan Izhan, lagilah. Sebab itu dia hanya memandang fail Sofea dan sekali sekala memandang lantai ketika bercakap dengan Izhan. Panahan mata lelaki itu terus menusuk ke hati.
"Lelaki?" soal Izhan.
Biasanya seorang gadis tidak mahu mengaku bahawa 'kawan' yang dimaksudkan adalah teman lelaki. Ah, apa nak malu! Berterus-terang saja. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar kawan Izhanie itu seorang perempuan.
Itu pun nak tahu ke? Izhanie terasa jengkel dengan kelakuan Izhan yang mahu mengambil tahu semua tentang dirinya. Dia dan Izhan tidak menjalinkan sebarang perhubungan yang membolehkan lelaki itu berhak untuk bertanya itu ini kepadanya. Lantak akulah jika kawan aku tu lelaki ke perempuan. Buat apa kau nak menyibuk pulak? Getusnya.
"Tak apalah kalau macam tu. Saya minta diri dulu. Nanti kawan lelaki awak tu marah pulak bila dia lihat awak bersama lelaki lain. Tak pasal-pasal nanti korang bergaduh disebabkan saya. Saya tak suka dituduh perampas."
"Hisy, mengada-ngada! Kawan saya tu perempuanlah!"
Ah, kenapa aku berterus-terang? Lagi bagus kalau Izhan tinggalkan aku. Izhanie bermain dengan perasaan. Hatinya seolah-olah terbahagi dua. Sebahagian suka bertemu Izhan,sebahagian lagi tidak.
Izhan mengukir senyuman.
"Saya ingat kan awak sedang tunggu seseorang tadi."
Gembira Izhan mendengar jawapan dari Izhanie. Dia cuma mengacah saja tadi. Tak sangka lakonannya berjaya meraih simpati dari Izhanie.
Sayang intan payung oi, takkanlah aku nak tinggalkan kau macam tu saja selepas seminggu tercari-cari, getus Izhan.

Sedutan dari Novel Kalung

"Nia!!!"
Cawan di tangan hmpir terlepas. Suara nenek kuat macam guruh. Aku mengurut dada.
"Kenapa nek?" aku melangkah menuju ke bilik. Nenek sudah mengecam namaku. Sejak akhir-akhir ini namaku sahaja yang dipanggilnya jika dia perlukan apa-apa. Tidak kedengaran lagi nama Mak Long.
"Aku sakit kepala. Benda tu datang mengganggu aku lagi," dengus nenek sambil memicit kepalanya. "Kau ambil tongkat aku. Aku nak halau benda tu kelaur dari sini."
"Benda apa, nek?" Aku memandang sekeliling. Hampir setiap hari nenek merungut ada 'benda' yang datang mengganggunya. Aku hairan kerana nenek sudah hilang penglihatan. Musykil aku dengan 'benda' yang dilihat nenek. Bila aku ajukan pada Mak Long, dia meminta aku tidak melayan semua bicara atau perbuatan nenek. Orang nyanyuk, begitulah... dakwa Mak Long. Menurut Mak Long lagi, penyakit nenek yang melihat 'benda-benda' pelik selalu datang tak kira masa.
"Benda tulah! Mana tongkat aku?" Nenek meraba-raba mencari tongkat rotannya. Aku yakin ada sesuatu yang mengganggu nenek. Aku capai tongkat di penjuru bilik lalu hulurkannya pada nenek.
"Pergi!" Nenek menghempas kuat tongkatnya ke lantai seolah-olah sedang menghalau sesuatu. Setiap gerak-gerinya aku perhatikan dalam debar. Nampak seperti nenek sedang berusaha keras menghalau sesuatu. Mulutnya kumat-kamit seperti sedang membaca sesuatu. Setelah puas menghalau barulah nenek berhenti memukul lantai.
"Nenek halau apa?" Aku beranikan diri.
"Benda yang selalu datang ganggu aku." Nenek meraba mencari cerana. Di dalam cerana itulah tersimpan makanan kegemaran nenek iaitu sirih dan pinang. Mulut nenek sentiasa merah kerana sering mengunyah pinang dan sirih. Buah pinang dan daun sirih aku kutip di belakang rumah. Menurut Pak Long, pokok sirih dan pinang ditanam sendiri oleh nenek. Kapur dan gambir pula terpaksa dibeli di kedai Pak Malik. Nenek suka makan pinang jeruk. Terpaksalah aku belajar menjeruk buah pinang. Guri menjadi tempat yang sesuai menyimpan pinang jeruk. Baunya... ah, tak tahan!
"Nia, tolong kacip pinang ni." Nenek menghulurkan kacip dan sebiji pinang yang sudah disiat kulitnya.
"Macam mana rupa benda yang selalu mengganggu nenek?" Aku terus selidik sambil mengacip pinang.
"Macam-macam. Ada yang tinggi, ada yang rendah. Ada yang besar, ada yang kecil. Ada yang putih, ada yang hitam. Ada..."
"Nia!!!!!!!"
Suara Mak Long mengejutkan aku.

KUNCI DIMENSI


Empat Sahabat, Farhan, Imran, Sofea dan Anis secara kebetulan telah terperangkap di sebuah kota misteri. Mereka berusaha mencari jalan keluar dengan bantuan Adam, rakan dari kota misteri. Reka bentu bangunan yang sama menyebabkan empat sahabat sukar mengingati jalan keluar. Masa kian suntuk. Mereka tidak boleh terus berada di kota misteri. Air yang lebih berharga daripada emas menjadi penghalang utama untuk mereka bertahan lebih lama di situ. Kunci Dimensi yang menjadi penghubung dunia mereka yang sebenar dan kota misteri harus dicari segera. Kehadiran mereka turut dihidu Kumpulan Pencari Kunci Dimensi. Mereka pasti ditawan kumpulan tersebut andai gagal menemui Kunci Dimensi.

p/s: Ini adalah karya keduaku untuk novel awal remaja (sasaran pembaca berumur 9-15 tahun) selepas Alia. Kunci Dimensi membawa pembaca mengembara ke sebuah alam fantasi di masa hadapan. Berharga RM10.90 (139 m/s), dan diterbitkan oleh KarnaDya Solutions. Dapatkannya segera di pasaran.