Selamat Hari Guru

PROMO MENJEJAK MEMORI : BAB 2 DAN 3


2

DIA handsome gila! Badannya tough, tentu selalu pergi gym.” Gadis berambut perang itu terus memuji lelaki idamannya.
Terasa ingin sahaja Elisa menekup telinga rakan serumahnya itu. Namun pasti sahabatnya itu akan terasa. Jika dia bertindak begitu, tak beradab namanya. Tetapi telinganya sudah letih mendengar puji-pujian yang dilemparkan kepada Kapten Bola Sepak Kolej. Lelaki itu memang bertuah. Baru sahaja mendaftar di kolej sejak dua bulan yang lalu, sudah diberi kepercayaan untuk mengemudi Pasukan Bola Sepak Kolej Indera Jaya.
“Dia bukan saja hebat dalam bidang pelajaran, malah juga dalam bidang sukan. Bayangkan, baru dua bulan dia di sini, dia dah diberi kepercayaan untuk menjadi kapten bola sepak. Minggu lepas, dia telah mengharumkan nama kolej kita. Dia berjaya menjaringkan dua gol untuk membantu pasukan memenangi pertandingan bola sepak antara kolej.”
Cerita yang sama diulang-ulang lagi. Ingin sahaja Elisa menjerit pada gadis yang tak henti-henti berbicara tentang kapten bola sepak itu supaya menghentikan saja siaran ulangannya itu. Telinga Elisa sudah sakit. Telinganya juga sudah jemu mendengar. Sekali dua, dia tidak kisah. Ini sudah berpuluh kali. Dia juga ada kerja lain, bukan setakat menjadi pendengar saja. Tugasannya masih bertimbun yang belum siap. Sama juga dengan Aliya. Bezanya, Aliya ramai kawan. Dia boleh minta tolong atau upah sesiapa sahaja bagi menyiapkan tugasannya. Terutama kawan-kawan lelakinya. Soal duit, Aliya tiada masalah. Elisa pula lebih suka bersikap jujur pada diri sendiri.
“Setahu aku, dia masih single. Peluang aku untuk mendekatinya masih cerah.”
Aliya menaruh harapan tinggi. Itulah matlamatnya kini. Hati Rifqi harus dimiliki.
Elisa menggeleng. Aliya sudah sangkut dengan rupa paras Rifqi, lelaki yang entah bagaimana rupanya. Elisa tidak pasti sama ada dia pernah bertemu lelaki itu. Mungkin mereka pernah bertembung. Selama ini dia hanya mendengar nama lelaki itu sahaja dari mulut Aliya yang sudah gila bayang. Hebat sangatkah Rifqi sehingga membuatkan Aliya dan para pelajar perempuan tergila-gilakannya? Sana sini orang bercakap pasal Rifqi. Namanya naik mendadak kerana berjaya membawa pasukan bola sepak kolej ke mercu kejayaan.
“Eh, Elisa! Kau tolong aku boleh tak?”
“Tolong? Kau ada apa-apa masalah ke?” Elisa sedikit tersentak.
“A’ha... aku ada masalah besar.”
“Masalah besar?”
Berkerut kening Elisa. Setahunya, Aliya memiliki segalanya. Dan gadis itu tidak pernah ditimpa masalah besar.
“Kena saman?” duga Elisa.
Aliya selalu kena saman kerana memandu laju dan melanggar lampu isyarat. Dalam sebulan, sekurang-kurangnya sekali dia akan melakukan kesalahan jalan raya. Tapi itu bukan satu masalah buat Aliya kerana dia mampu membayar denda andai dikenakan dua kali ganda sekalipun. Ibu bapa Aliya bukan orang sembarangan. Bapanya berpangkat Tan Sri.
“Bukan... ni, masalah di sini.” Aliya meletakkan tangannya di dada.
“Kau...”
Bicara Elisa terhenti apabila pintu terkuak. Maria dan Laili melangkah masuk. Kedua gadis itu menghadiahkan senyum hambar lalu melangkah masuk ke dalam bilik utama. Elisa dan Aliya tidak begitu rapat dengan Maria dan Laili walaupun tinggal serumah. Jurusan yang berlainan membuatkan mereka tidak rapat. Elisa lebih rapat dengan Aliya walaupun usia mereka berbeza. Aliya muda dua tahun darinya. Tetapi mereka berada di semester yang sama, iaitu semester kedua tahun pertama. Elisa lambat mendaftar kerana dia terpaksa membuat persiapan sebelum bergelar pelajar.
“Kau ada masalah kesihatan?” Elisa menyambung pertanyaannya.
“Kau ni... lambat benar nak fahamlah!” rungut Aliya. “Aku dah jatuh cinta pada Rifqi. Setiap malam aku mesti termimpikannya. Tolonglah aku, Elisa... sehari kalau tak menatap wajahnya, aku tak boleh hidup. Aku jadi gila bayang. Tolonglah aku, Elisa...”
Tak guna!’ kutuk Elisa. Jantungnya masih berdegup kencang kerana menyangka Aliya menghadapi masalah besar.
“Aku tak boleh buat apa-apa kalau soal tu. Kau sendiri yang kena luahkan pada Rifqi.”
Elisa menolak mentah-mentah permintaan Aliya. Dia tidak mahu masuk campur soal hati dan perasaan Aliya. Biarlah Aliya yang uruskan sendiri. Lagipun, apa yang dia boleh buat... dia bukannya pandai hendak berkomunikasi dengan kaum Adam. Soal itu, Aliya lebih pakar. Bukankah kawan lelaki Aliya keliling pinggang?
“Kau nak aku dapat malu ke? Rifqi tu bukan lelaki sembarangan. Dia jenis yang tak beri muka pada perempuan. Gina pernah luahkan perasaan pada dia, tapi dia tolak mentah-mentah! Kartika pun terima nasib yang sama. Aku tak nak jadi seperti mereka. Menangis tak berlagu bila cinta ditolak.”
“Dah tu? Kenapa masih terhegeh-hegeh lagi? Janganlah buang masa. Lupakanlah dia.”
“Aku dah cuba lupakan dia... tapi gagal. Semakin hari semakin aku sayang pada Rifqi. Aku bukannya bodoh macam Gina dan Ika yang terus luahkan perasaan mereka. Aku kena atur strategi. Kau kena tolong aku, Elisa. Mesti!”
Elisa menelan liur. Perit!


ELISA terjaga dari tidur tengah malam itu. Perutnya memulas-mulas. Jam sudah melewati angka satu. Dia harus ke tandas segera. Entah kenapa bulu romanya tiba-tiba sahaja meremang. Terasa seperti ada yang sedang memerhatikannya. Dia segera bangun dan memetik suis lampu. Cahaya terang benderang. Tiada sesiapa dalam biliknya. Tetapi entah kenapa perasaan takut menguasai dirinya. Tentu tidak lain dan tidak bukan dek penangan filem seram yang ditonton sebelum tidur. VCD itu ditontonnya seorang diri. Dia mengajak Aliya menemaninya, tetapi Aliya sibuk dengan aktiviti malamnya.
Aduhhh...’ Elisa memegang perutnya yang memulas-mulas. Dia harus berani!
Elisa terus melangkah keluar dari bilik. Dia berhenti seketika. Menarik nafas. Gelap. Untuk memetik suis lampu dapur, dia harus berjalan empat lima langkah. Matanya merawang sekitar dapur. Akhirnya, mata Elisa tertancap ke bilik Aliya di sebelah biliknya. Kelihatan cahaya terpancar dari celah bawah pintu. Dia menarik nafas lega. Pasti Aliya sedang mengulang kaji pelajaran atau melayari Internet. Perasaan takut terus hilang menyedari Aliya masih belum tidur.
Elisa memetik suis lampu bilik air. Dia menolak daun pintu. Teringat dia cerita yang dibawa Laili. Menurut Laili, dia ternampak kelibat lembaga hitam berdiri di tepi bilik air sekitar jam 2.00 pagi. Ketika kejadian tersebut, Laili baru pulang selepas mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakannya di aras lima. Namun sebaik sahaja Laili memasang lampu, kelibat lembaga hitam terus hilang dari pandangan. Terus sahaja Laili menyusup masuk ke dalam bilik kerana tiba-tiba sahaja dia berasa seram sejuk.
Sepuluh minit kemudian Elisa melangkah keluar. Perutnya masih terasa sakit dan memulas-mulas. Tengah hari tadi dia telah membeli nasi di gerai tepi jalan. ‘Argh... inilah akibatnya! Elisa menggosok-gosok perutnya.
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi air yang sedang mengalir. Matanya terus tertancap ke arah singki dapur. Paip terbuka. Air sedang mengalir. Terus meremang bulu romanya. Siapa yang membuka paip air???
Matanya merawang lagi. Nun di balik pintu menuju balkoni dapur, dia ternampak kelibat seseorang.
“Siapa? Laili ke?” Dia beranikan diri menyapa kelibat seseorang di balik pintu.
Diam. Tiada balasan.
“Maria?”
Senyap.
“Aliya? Aliya ke tu?”
Diam. Lemah lutut Elisa kerana sapaannya tiada balasan.
“Hoi! Kau bercakap dengan siapa?”
“Makkk!!!” Elisa menjerit kuat.
Aliya ketawa terkekek-kekek. Dia terjengul di muka pintu biliknya.
Kus semangat, aku.’ Elisa mengurut dada.
“Aku ingatkan kau kat belakang pintu tu.”
“Laili?”
Elisa menjongket bahu. “Diam aje bila aku tanya.”
Aliya terus menapak menuju ke balkoni dapur. Dia menolak daun pintu. Tiada sesiapa yang kelihatan di situ.
“Tak de sesiapapun.”
Elisa telan liur! Bulu romanya terus meremang.
3

ELISA menghampiri padang bola dengan seribu satu macam perasaan. Takut,  segan dan geram silih berganti mengambil tempat di hatinya. Namun, demi sebuah persahabatan dia teruskan langkah. Dia kuatkan semangat. Dia ketepikan fikiran negatif. Yang penting tugas harus dijalankan sebaik mungkin. Tugas berat yang mungkin akan berjaya dan mungkin juga tidak.
            Dua orang lelaki berpakaian sukan dengan muka berpeluh dalam raut keletihan melangkah meninggalkan padang tempat latihan. Terus pandangan mereka tertumpu ke arahnya yang sedang berdiri di garaj keseorangan. Elisa yakin mereka bukan lelaki yang dicarinya. Wajah mereka biasa-biasa sahaja. Sedangkan Rifqi seorang lelaki kacak seperti mana yang sering didengar dari mulut Aliya. Sekali terpandang wajah Rifqi, pasti ingin menoleh kali kedua. Hmm... ada-ada saja!
“Rifqi masih berlatih?” aju Elisa dengan penuh debar.
“Erm... ye...” balas salah seorang lelaki tersebut. “Kenapa?”
“Ada hal nak jumpa dia. Yang mana satu Rifqi?” aju Elisa sambil mata jatuh ke tengah padang.
“Awak tak kenal lelaki yang awak nak jumpa?” soal lelaki itu kembali dengan dahi berkerut.
Elisa geleng kepala. Dia bukan nak tunjuk berlagak, tapi dia memang tidak mengenali Rifqi.
“Tu, sana!” Lelaki tersebut memuncungkan mulut ke tengah padang.
“Baju-T hijau?”
“Hitam kuning.”
Mata Elisa terus tertumpu ke arah lelaki yang memakai baju-T berwarna hitam dan kuning. Ketinggian lelaki itu melebihi pemain-pemain yang lain.
“Terima kasih,” ucap Elisa dengan harapan kedua lelaki tersebut akan beredar segera. Elisa mahu bercakap sendirian dengan Rifqi tanpa ada sesiapa.
“Awak ada urusan dengan dia?”
Elisa mengangguk.
“Urusan apa?”
“Kalau setakat nak berkenalan dengan dia, baik lupakan saja. Dia takkan layan. Buang masa saja,” pesan lelaki yang sedang melambung-lambung kunci kereta. Sejak tadi dia hanya berdiam diri. Nampak seperti lelaki sombong.
“Saya bukan nak berkenalan dengan dia. Saya ada urusan lain.”
Elisa menggigit bibir. Belum apa-apa lagi kedua lelaki tersebut sudah tahu niat di dalam hatinya.
“You ada urusan apa dengan dia?”
“Adalah.” Rimas Elisa kerana kedua lelaki tersebut enggan berganjak. Mereka tentu sahabat-sahabat Rifqi.
“You pelajar baru ke?”
Elisa menggeleng. “Dah masuk tahun akhir.”
Selamba Elisa berbohong. Kedua lelaki tersebut yang tentu menyimpan niat hendak membulinya andai dia mengaku sebagai pelajar baru. Para senior tak pernah beri muka dengan pelajar tahun pertama.
“Ye ke? Kenapa tak pernah nampak you pun sebelum ni?”
“Betullah. I pun tak pernah nampak you sebelum ni. Betul ke you dah lama belajar di kolej ni?” aju lelaki yang berwajah sombong.
Dahi Elisa berkerut. Macam mana dia mahu menyelesaikan tugas andai dia terus disakat kedua lelaki tersebut?
“Jom minum.”
Elisa menggeleng. Dia terus beredar dari kawasan tersebut. Sebelum tembelangnya pecah, lebih baik dia beredar terlebih dulu.
“Intan payung, tunggu!”
Elisa tidak mengendahkan panggilan kedua lelaki tersebut. Dia terus melangkah meninggalkan kawasan padang. Di kafeteria, dia menghabiskan masa. Sesekali dia memanjangkan leher memandang ke bawah. Rifqi masih berlatih di bawah panas terik mentari petang. Kedua lelaki yang menyakatnya tadi sudah tidak kelihatan di kawasan parkir tepi padang.
Setengah jam kemudian barulah kelibat Rifqi kelihatan meninggalkan padang. Elisa bergegas meninggalkan kafeteria. Tugasnya sudah bermula. Dia berharap tiada halangan lagi untuk dia mendekati Rifqi yang digilai Aliya itu. Dia tidak akan membantu Aliya andai Aliya tidak jatuh sakit. Begitu teruk sekali penangan yang diterima Aliya kerana terlalu mencintai Rifqi. Sampai demam!
Dari jauh Elisa melihat Rifqi sedang mengelap lehernya dengan tuala di bawah sepohon pokok rendang di tepi padang. Elisa beranikan diri menapak, selangkah demi langkah menghampiri lelaki itu. Bukan mudah untuk menghadapi lelaki ego itu. Sebab itulah Elisa telah membuat beberapa persediaan. Dia berharap persediaannya itu mencukupi untuk berhadapan dengan lelaki itu.
            Kalau bukan kerana Aliya, dia tidak akan berada di situ sekarang! Dia tentu berada di perpustakaan, menelaah pelajaran. Aliya terus mendesak dan mendesak. Dia terpaksa akur akhirnya dengan permintaan sahabat baiknya itu. Aliya ingin berkawan dan seterusnya bercinta dengan Rifqi. Sudah lama Aliya memendam perasaannya itu. Sejak hari pertama Rifqi melangkah kaki ke Kolej Indera Jaya, Aliya sudah jatuh hati pada Rifqi. Rupa paras Rifqi telah berjaya menawan hatinya. Tapi Aliya tidak berani meluahkan perasaannya apabila terdengar banyak cerita negatif mengenai lelaki itu. Dia bimbang menerima nasib yang sama dengan gadis-gadis lain.
Lalu, rancangan pun diatur. Aliya meminta supaya Elisa mendekati Rifqi terlebih dahulu. Elisa harus menjadi kawan Rifqi. Setelah berkawan, Elisa harus memainkan peranan dengan memuji Aliya di depan Rifqi sehingga Rifqi akhirnya akan tertarik untuk mengenali Aliya lebih dekat. Rancangan itu tidak disetujui oleh Elisa. Elisa sedar setakat mana bakat lakonannya. Namun Aliya terus merayu. Elisa tidak sampai hati menghampakan permintaan Aliya apabila Aliya jatuh sakit.
            Elisa yakin Rifqi menyedari kehadirannya. Rifqi sengaja pura-pura tidak melihat kelibatnya. Sikap ego yang ada dalam diri lelaki itulah yang membuatkan lelaki itu enggan berpaling atau menegurnya. Elisa meniup kekuatan dalam diri. Debaran masih terus melanda dirinya. Dia bimbang penerimaan Rifqi ke atasnya. Sudikah lelaki itu menjadi sahabatnya? Mungkinkah Rifqi akan menolak tali persahabatan yang ingin dihulurkannya? Jika begitu, Elisa yang akan menerima tamparan malu. ‘Ah, aku dan Rifqi sahaja yang tahu, bukannya seluruh warga kolej. Elisa memberanikan diri.
            Resah terus melanda Elisa. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Walaupun kata-kata sudah disusun, namun sebaik sahaja berhadapan dengan Rifqi, terus hilang segala kata-kata yang disusun itu. Patutlah Aliya tak dapat tidur malam gara-gara angaukan Si Rifqi. Lelaki itu memang kacak. 
            “Ehem!” Elisa pura-pura batuk supaya Rifqi menoleh ke arahnya seperti yang sering ditonton di kaca televisyen. Malangnya, lakonannya itu tidak berjaya. Rifqi langsung tidak menoleh ke arahnya. Lelaki itu sibuk mengikat tali kasut yang dipakainya. Elisa terasa diri bak patung tak bernyawa. Mustahil Rifqi tidak menyedari kehadirannya. Hanya mereka berdua sahaja di bawah pokok rendang ketika itu.
Pandanglah aku, Rifqi agar aku boleh memulakan bicara. Takkanlah kau tak perasan kehadiran aku. Aku bukannya semut kecil. Mustahil kau tak perasan kehadiran aku.
            “Dah habis berlatih untuk hari ni?” Percubaan kedua Elisa diharapkan berjaya. Dia mahu selesaikan segera rancangannya bersama Aliya. Hari sudah merangkak senja. Namun, Elisa sedar bukan mudah hendak menjayakan rancangan tersebut. Sebab itulah dia awal-awal lagi sudah menolak, tetapi Aliya enggan mengalah dan terus mendesaknya.
            Rifqi menghela nafas. Dia mencabut kemuncup yang melekat pada kaki seluar sukannya. Dia enggan mempedulikan kehadiran gadis tersebut kerana yakin gadis tersebut tentu ingin menjalin persahabatan yang tidak ikhlas dengannya, sama seperti dengan gadis-gadis yang ditemuinya sebelum ini. Sudah acap kali dia berhadapan dengan gadis yang menghulurkan persahabatan dengan niat lain. Cintanya yang ingin dimiliki gadis-gadis tersebut sebenarnya, bukannya sebuah tali persahabatan yang jujur dan ikhlas.
            “Maaflah, saya tak ada mood nak berkenalan sekarang,” ujar Rifqi, bingkas berdiri setelah selesai mencabut kemuncup.
Rifqi mencapai tuala yang tersangkut pada dahan pokok lalu disumbatkan ke dalam beg sukannya.
            “Saya bukan nak berkenalan!” pintas Elisa walaupun itulah rancangannya yang sebenar.
Demi mendengar kata-kata Rifqi yang berbaur sombong dan menyakitkan hati, dia rasa tercabar. Elisa terus menafikan niatnya yang ingin berkenalan dengan Rifqi. Niat ingin berkenalan demi menjayakan rancangan Aliya terus terpadam.
            Rifqi terpana! “Kalau bukan nak berkenalan, dah tu apa? Kita ada sebarang urusan ke?” aju Rifqi dengan nada tinggi sambil otak ligat berfikir jika dia pernah menemui gadis itu sebelum ini.
Tidak, dia tidak pernah bertemu dengan gadis itu sebelum ini. Jadi, dia tiada apa-apa urusan dengan gadis itu.
            Elisa menggeleng. Hatinya terhiris dengan nada suara Rifqi. Mukanya terasa tebal. Dia malu sangat saat itu dengan layanan Rifqi ke atasnya. Lelaki itu melayannya seolah-olah dia adalah musuh. Sedangkan mereka saling tidak mengenali sebelum ini. Dia sepatutnya sudah menjangkakan sikap Rifqi yang sombong itu. Kalau tak suka pun, cakaplah elok-elok.
            “Jadi?” Langsung tiada garis senyuman di bibir Rifqi.
            “Kawan saya yang nak berkenalan dengan awak.”
Elisa berterus terang. Tak kuasa dia hendak meneruskan rancangan Aliya. Lebih baik dia berterus terang agar Rifqi tidak menghinanya lagi. Ah, aku pun tak ingin berkenalan dengan kau! Perasan!
            “Kawan awak nak berkenalan dengan saya?” ajuk Rifqi kembali.
Sebentar kemudian dia tersenyum sinis. Elisa bengang dengan sikap Rifqi yang menyakitkan hati itu.
            “Tak payahlah nak berlakon. Berterus terang saja... awak sebenarnya yang mahu berkenalan dengan saya. Kan senang! Tak payahlah nak kaitkan kawan awak pulak.”
Sindir Rifqi yang pernah menghadapi situasi tersebut sebelum ini. Ada seorang gadis datang menemuinya. Konon mahu menjadi orang tengah kepada kawannya. Alih-alih sebulan kemudian, gadis itu terus meluahkan perasaannya. Rifqi pantang dengan gadis yang suka menipu dan tak berani hendak berterus terang.
            “Saya nak berkenalan dengan awak? Tolonglah... saya pun tak ingin ada kawan yang ego tak bertempat macam awak! Perasan!” bentak Elisa di luar kesedarannya.
Dia terus mengayun langkah meninggalkan gelanggang tersebut dengan api kemarahan yang sedang marak membakar seluruh tubuhnya.
            Rifqi terpana dengan bicara dari mulut mungil gadis itu! Dia tidak pernah menerima tempelak dari seorang gadis sebelum ini. Rifqi toleh kiri dan kanan. Dia menarik nafas lega kerana menyedari yang hanya dia sahaja yang berada di kawasan tersebut. Sial! Dia menggenggam penumbuk.
            Gadis kurang ajar itu sudah melangkah pergi. Lenggok gadis tersebut tiba-tiba mengingatkan Rifqi pada seseorang. Dada Rifqi berombak keras. Dia tergamam seketika. Itulah gadis yang sering menghantui mimpinya.
            “Hei, awak!” jerit Rifqi.
            Namun gadis itu yang sudah berada jauh terus berlalu tanpa mempedulikan panggilannya.             Rifqi terus mengejar gadis yang sedang membelok ke bangunan pentadbiran itu. Sebaik sahaja tiba di hadapan bangunan pentadbiran, kelibat gadis itu sudah hilang!
Rifqi meraup mukanya. Mimpikah aku? Dia mendongak ke barat. Matahari sudah hampir terbenam.

*Novel MM boleh dibeli terus dari saya atau dapatkannya di KarnaDya


PROMO MENJEJAK MEMORI - PROLOG & BAB 1

PROMO MENJEJAK MEMORI - PROLOG & BAB 1

 PROLOG RIFQI memasukkan biji getah yang dikutip bersama Azizul dan Rahmat ke dalam balang. Mulutnya kumat-kamit mengira biji getah. 1...

ALIA & MENJEJAK MEMORI

Journal Of My Life: ALIA & MENJEJAK MEMORI

Apa kaitan novel kanak-kanak Alia dengan novel dewasa Menjejak Memori? Sebenarnya, Menjejak Memori yang diterbitkan pada tahun 2009 ada...


PROMO KALUNG : BAB 2 & 3



BAB 2
“Nah tetap tak setuju!”
“Takkanlah abang nak halau mereka Nah. Ke mana mereka nak pergi lagi kalau abang halau mereka?”
“Ke rumah mak bapak merekalah!  Mereka bukannya anak yatim piatu. Mereka masih ada orang tua!”
“Kan Nia dah bagitahu yang Yah mintak mereka ke sini. Yah dan suaminya akan menyusul kemudian.”
“Mula-mula dua orang datang. Lepas ni dua orang lagi. Jenuhlah kalau macam ni bang. Rumah kita bukannya besar. Dah le nak makan pun tak cukup! Nah tak kira, abang kena suruh budak dua orang tu keluar segera esok pagi dari rumah kita ni.”
“Nah… nak keluar dari sini bukannya mudah.”
“Macam mana mereka nak keluar dari sini tu masalah mereka bang. Bukan masalah kita. Tapi sebaliknya kalau mereka terus tinggal sini, itulah masalahnya. Selama ni kita bertiga pun tak cukup, ini nak tambah dua lagi! Teruklah kalau macam ni!”
“Mereka duduk sini sementara saja Nah. Bila Yah dengan suaminya menyusul nanti mereka akan pergi. Nah kena bersabar. Mereka tu bukan orang lain. Anak saudara kita juga.”
“Anak saudara abang sorang saja tau! Bukan anak saudara Nah! Nah tak nak bertanggungjawab kalau sesuatu berlaku pada mereka!”
Malam itu aku terdengar perbalahan mulut antara Pak Long dan isterinya dari bilik sebelah. Kehadiran aku dengan Irfan yang tak diundang rupa-rupanya tidak disenangi oleh Mak Long. Kalaulah aku tidak berjanji pada ibu untuk menunggu kehadirannya, pasti saat ini juga aku mengajak Irfan untuk meninggalkan rumah Pak Long segera. Aku tidak mahu perbalahan Pak Long dan Mak Long berlanjutan.
Irfan sudah dibuai mimpi saat aku terdengar perbalahan Pak Long dan Mak Long. Irfan asyik merungut sejak tiba di rumah Pak Long. Televisyen tak ada, radio pun tak ada. Bilik air pula di luar. Aku hanya mampu meminta Irfan supaya bersabar untuk sedikit hari lagi. Bila ibu sudah datang, kami akan kembali ke bandar.
Setelah tidak terdengar lagi perbalahan dari bilik sebelah, aku lantas menarik bantal yang diserahkan Pak Long kepadaku sebelum aku masuk bilik. Bantal tersebut tidak bersarung. Bau hapak menusuk ke hidung. Aku menepuk-nepuk bantal tersebut untuk membuang habuk yang melekat. Aku tidur di tengah-tengah antara Irfan dan nenek.
Nenek sedang terbaring lena. Mukanya berkedut seribu. Aku tidak menyangka dapat berkenalan dengan nenek. Ibu juga tidak pernah menyebut tentang nenek sehingga aku menyangkakan yang aku tidak mempunyai nenek sebelah ibu. Sayangnya ingatan nenek sudah pudar. Banyak yang nenek sudah tidak ingat. Penglihatannya juga lemah. 
Kesejukan mencengkam sehingga ke tulang. Aku membuka beg pakaian lalu mengeluarkan kain batik untuk dijadikan selimut. Malam itu aku tidur dengan lena kerana terlalu letih.
*          *          *          *          *          *
Pertengahan Februari….
“Kak!”
            Aku terpinga! Segera aku toleh ke belakang. Irfan tersengih-sengih, menayang dua batang gigi kapaknya yang baru tumbuh.
            “Fan nak kakak mati ke?” kus semangatku diterjah Irfan dari belakang. Sudahlah aku waktu itu sedang asyik melayan perasaan sambil mengamati banglo biru di puncak bukit dengan khayalan yang pelbagai memenuhi ruang kotak imaginasiku.
            “Kakak janganlah cakap macam tu… Fan tak nak duduk sorang….”
Muka Irfan berubah muram. Irfan baru balik dari sekolah kerana menghadiri aktiviti kokurikulum. Setelah seminggu berada di kampung, akhirnya aku mendaftar nama Irfan di sekolah rendah berhampiran. Itulah pesanan ibu, supaya aku mendaftar Irfan di sekolah berhampiran sebaik sahaja tiba di kampung. Seminggu berlalu barulah aku mendaftar nama Irfan. Aku sengaja tunggu kedatangan ibu dan abah yang berjanji hendak menyusul. Setelah seminggu, ibu dan abah masih tidak kelihatan batang hidup mereka. Aku terpaksa mendaftar Irfan di sekolah rendah berhampiran. Kelas Irfan hanya ada 12 orang pelajar sahaja.
            “Lain kali jangan kejutkan kakak macam tu lagi.” Aku memberi peringatan. Aku memang tidak suka dikejutkan dari arah belakang. Semangatku lemah.
            “Maafkan Fan…. Kakak termenung apa tadi sampai Fan datang pun kakak tak sedar? Kakak teringatkan ibu dengan abah ke?” aju Irfan. “Fan pun selalu ingatkan mereka. Bila ibu dengan abah nak datang kak? Fan dah penat menunggu. Dah lebih sebulan kita di sini… tapi ibu dengan abah tak muncul-muncul juga.” Rungut Irfan.
            Orang tuaku masih belum muncul seperti yang dijanjikan mereka. Setiap detik aku teringatkan mereka. Namun aku enggan luahkan pada Irfan. Aku tidak mahu fikiran Irfan terganggu. Aku sendiri sebenarnya tidak dapat memberi jawapan kepada Irfan. Walaupun kepalaku hampir pecah memikirkan mengapa aku dan Irfan dipaksa pulang ke kampung, jawapan munasabah masih belum juga ditemui.
            Tak mungkin ibu dan abah tidak sanggup lagi menjaga aku dan Irfan… Kalau ibu dan abah tak sanggup memikul tanggungjawab, tentu sejak kecil lagi aku, Irfan dan kakak telah dibuang. Tetapi kami dibelai dan dijaga sehingga besar. Kalau ibu dan abah tak sanggup memikul beban, tentu aku dipaksa berhenti belajar dan mencari kerja bagi meringankan beban mereka. Namun sebaliknya pula yang berlaku. Selepas tamat STPM, aku mahu mencari kerja tetapi ibu berkeras menghalang. Aku dipujuk ibu meneruskan pelajaran di kolej kerana gagal menempatkan diri di universiti seperti teman-temanku yang lain. Kakak bersetuju dengan pendapat ibu. Kakak berjanji hendak menyaraku.
            “Kak… Fan rindu ibu… abah…..”
“Kakak teringin nak pergi ke banglo besar atas bukit tu.” Aku menukar tajuk perbualan, bimbang air mata menitis. Mataku tertancap pada sebuah banglo yang dicat warna biru. Banglo tersebut dibina di atas salah sebuah bukit yang mengelilingi Kampung Jerai Tua. Tiada rumah lain yang kelihatan berhampiran banglo tersebut. Siapakah pemilik banglo tersebut? Tentunya dia bukan calang-calang orang. Tentunya dia seorang yang berpengaruh di kampung ini. Kediamannya jauh beza dengan kediaman Pak Long dan penduduk Kampung Jerai Tua yang lain.
            “Jangan kak!” halang Irfan. “Mael cakap banglo tu berhantu! Tak ada sesiapa yang berani ke sana. Kalau kita ke sana, kita tak akan kembali ke kampung lagi.” Tukas Irfan bersungguh-sungguh. “Jojo pulak pernah beritahu Fan yang ayahnya terserempak dengan jembalang berbulu tebal kat situ.”
            Berhantu? Aku tersenyum dan menggeleng. Terasa lucu mendengar bicara Irfan. “Mana ada hantu zaman sekarang… Fan.” Aku tidak mahu Irfan terpengaruh dengan cerita karut dari teman sekolahnya. Bukan setakat budak-budak, penduduk kampung pun ramai yang masih percaya dengan cerita tahyul. Sejak menjejakkan kaki ke kampung tersebut, aku sudah dapat merasa sikap sebahagian penduduk kampung yang agak pelik. Mereka terlalu percayakan cerita karut-marut. Sentiasa ada hantu syaitan melingkari hidup mereka. Jadi, apa yang hendak dilakukan mereka harus ada jampi serapah atau memakai tangkal pendinding.
            Aku yakin banglo tersebut berpenghuni. Lampu sentiasa menyinari banglo tersebut pada malam hari. Bererti banglo tersebut memang berpenghuni. Siapakah pemilik banglo tersebut? Kenapa banglo tersebut dikatakan berhantu sedangkan ada penghuni yang tinggal di dalamnya? Jika berhantu tentu tidak ada yang berani tinggal di situ. Aku teringin ke situ untuk melihat banglo tersebut dari jarak dekat namun aku tidak tahu jalan manakah yang harus kulalui. Nampak seperti tiada jalan ke banglo tersebut!
            Ingin kuajukan misteri banglo tersebut kepada seseorang, tapi tidak tahu siapa yang harus diajukan pertanyaan tersebut. Aku masih belum mengenali lebih rapat penduduk kampung itu. Yang aku kenal hanyalah dua tiga orang jiran Pak Long. Jika aku membuka mulut mengenai banglo tersebut, air muka orang yang diaju pertanyaan akan berubah. Jelas tergambar kebencian di wajah mereka.
Nak ajukan pertanyaan pada Mak Long, jangan harap! Mak Long tak ingin berbual denganku apatah lagi tentang topik tersebut. Mak Long memang tak suka padaku dan juga Irfan. Mak Long hanya tahu mengarahkan aku buat itu ini sahaja. Nak ukir senyum pun susah! Marah benar Mak Long kerana suaminya bersetuju untuk membenarkan kami menetap sementara di rumahnya. Kalau aku sahaja yang menjadi sasaran kemarahan Mak Long, aku tak peduli sangat. Malangnya, Irfan yang belum mengerti apa-apa juga dihentam Mak Long.
            “Fan… kenapa tak balik lagi?” tegurku apabila melihat Irfan masih tak berganjak. Irfan sedang leka merenung arus sungai. Asyik sekali! Di bandar, tiada sungai sejernih air sungai di sini. Sungai di bandar sudah tercemar. Ia menjadi tempat pengumpulan sampah sarap sehingga airnya bertukar keruh dan berbau hanyir.
Sejak tinggal di sini, setiap hari Irfan pasti akan mandi di sungai terutamanya selepas balik sekolah. Air sungai masih belum tercemar. Ikan-ikan yang berenang boleh dilihat dengan jelas. Betapa jernihnya air di sini. Satu sikap orang kampung yang harus dipuji adalah mereka tidak sanggup hendak mencemarkan sungai di kampung mereka dengan sampah sarap. Selain menjadi tempat kanak-kanak bermandi-manda, sungai tersebut juga menjadi tempat orang kampung mencuci pakaian.
            Irfan menggeleng. “Fan nak balik dengan kakak,” ujarnya tanpa memandang wajahku. Benarkah Irfan sedang menikmati keindahan sungai? Atau Irfan sebenarnya sedang terkenangkan ibu dan abah?
            “Kakak nak duduk lama sikit, Fan.” Aku mahu mencari ketenangan di situ. Biarpun ketenangan sementara…. Badanku letih membuat kerja rumah sejak awal pagi. Setelah selesai melipat kain, barulah aku melangkah keluar dari rumah. Ketika aku meninggalkan rumah, Mak Long yang sentiasa mengawal gerak-geriku tiada di rumah. Aku juga perlukan rehat secukupnya. Jika asyik didera dengan membuat macam-macam kerja mungkin lama-kelamaan aku akan jatuh sakit. Jika aku jatuh sakit, tak ada sesiapa lagi yang akan menjaga Irfan. Sebab itu aku curi-curi keluar untuk menghirup udara segar.
Aku sudah maklum jadual harian Mak Long. Dia bangun pagi selepas angka sembilan. Selepas mencuci muka, dia akan mengisi perut. Jika ada yang tidak kena dengan sarapan yang aku buat, mulalah dia mengomel. Dituduhnya orang bandar seperti aku langsung tak pandai memasak. Masinlah, tawarlah dan macam-macam lagi komen yang diberinya. Yang peliknya, kuih atau jemput-jemput yang aku hidangkan padanya tak pernah tak habis walaupun tak sedap!
Selepas perut kenyang, Mak Long akan keluar. Ke mana, aku belum pasti. Yang pasti, dia bukan keluar bekerja. Tengah hari Mak Long akan balik untuk makan. Seperti biasa, ketika sedang menjamu selera, dia akan komen itu ini akan masakan yang aku sediakan. Kemudian Mak Long akan tidur. Sebelah petang Mak Long akan keluar lagi sehingga waktu Maghrib. Entah ke manalah Mak Long menghabiskan masanya.
“Kalau macam tu, Fan akan temankan kakak.”
            “Fan dah siapkan kerja sekolah?” aku tidak mahu Irfan lama-lama di situ. Nanti semua kerja sekolah tak sempat disiapkannya. Aku mahu dia menyiapkan semua kerja sekolahnya sebelum hari gelap. Irfan tentu tidak selesa andai terpaksa menyiapkan kerja sekolahnya di sebelah malam dengan cahaya dari pelita ayan. Lagi pula, pelita ayan hanya ada tiga biji sahaja. Mak Long akan merepek sakan andai Irfan menggunakan pelita ayan untuk menyiapkan kerja sekolah.
            Irfan menggeleng. Keras betul hatinya.
            “Fan?” aku tidak mahu Irfan menjadi pemalas. Hanya pelajaran sahaja yang dapat mengubah kehidupannya suatu hari nanti. Nak harapkan harta warisan orang tua, tak usahlah bermimpi. Ibu dan abah tak punya harta walau seutas rantai emas pun.
            “Fan tak tahan kak. Mak Long asyik membebel aje. Itu tak kena! Ini tak kena!” luah Irfan setelah terdiam seketika. Tergambar kebencian di wajahnya ketika menyebut nama Mak Long.
            “Mak Long tak ada di rumah sekarang. Kan kakak dah pesan, pedulikan apa yang Mak Long cakap.” Aku hanya mampu memberi nasihat kepada Irfan. Untuk bertindak menghalang Mak Long, kudratku lemah. Aku tidak mampu. Aku dan Irfan hanya menumpang di rumahnya. Segala kelakuan harus dijaga supaya Mak Long tidak menghalau kami. Walaupun Pak Long pemilik rumah tersebut, namun Mak Long yang lebih berkuasa. Silap haribulan aku dan Irfan mungkin dihalau Mak Long. Pak Long tak akan dapat menghalang keputusan isterinya. Dia seorang suami yang patuh pada kata-kata isteri.
Entah ke manalah aku dan Irfan hendak melangkah pergi. Hendak pulang ke bandar, aku sudah tidak punya duit. Dan jika mahu keluar dari kampung juga, bukannya mudah. Perlu minta orang kampung untuk menghantar ke pekan. Itu pun jika ada orang kampung yang sudi membantu. Sudah sampai ke pekan, aku harus menumpang teksi pula untuk ke Pekan Manggis. Hanya di Pekan Manggis, perkhidmatan bas ekspres disediakan. Jaraknya bukan dekat dan tambangnya juga bukan murah.
            “Telinga Fan bukannya pekak, kakak. Fan tak tahan lagi tinggal di rumah Mak Long.”
            “Dah, dah....” Aku membelai mesra Irfan. Aku simpati padanya. Dalam usia semuda itu, Irfan telah melalui pelbagai dugaan. Paling aku bimbang, mampukah Irfan menempuhi segala dugaan tersebut. Aku sendiri pun hampir mengalah apa lagi Irfan. Telingaku juga panas setiap kali mendengar cacian Mak Long. Ingin melawan, bimbang aku dan Irfan dihalau. Mak Long memperlakukan aku seperti hamba abdi. Sedangkan dia hanya goyang kaki. Dia sengaja mengambil kesempatan ke atasku. Dipaksanya aku buat kerja itu ini kerana menumpang di rumahnya secara percuma.
            “Kita balik ke bandar kak. Fan tak suka tinggal di sini.” Luah Irfan. “Fan rindukan abah dan ibu. Fan juga rindukan teman-teman sekolah lama. Mereka semua baik. Tak seperti teman sekolah di sini. Mereka hanya tahu membuli Irfan kalau Irfan tak mengikut cakap mereka.”
            “Fan, Fan lupa ke pesan abah dengan ibu? Abah dengan ibu yang suruh kita ke sini. Tentu ada sebabnya mereka minta kita ke sini, kan?” sebab yang aku sendiri masih belum dapat pastikan.
“Ibu janji nak datang dengan abah. Kenapa tak datang-datang lagi? Fan dah bosan tinggal sini. Fan nak balik. Fan tak suka tinggal di sini, kak….” Rengek Irfan.
“Ibu dengan abah dah janji. Pasti ibu dan abah akan datang. Fan jangan bimbang. Kita tunggu saja.” Aku cuba meyakini Irfan walaupun aku sendiri sudah tidak yakin lagi. Harapan ibu dan abah akan menyusul seperti yang dijanjikan kian menipis saban hari. Kalau ibu dan abah mahu menyusul, tentu mereka akan menyusul awal-awal lagi. Ini tidak. Terasa sudah berkurun di situ… di Kampung Jerai Tua, kampung kelahiran ibu…. Hari sudah berganti minggu dan minggu berganti bulan namun kelibat ibu dan abah masih belum kelihatan….
Ibu tidak pernah menceritakan tentang kampung halamannya. Ini membuatkan aku menyangka yang ibu orang bandar yang tidak berkeluarga. Dan aku sangkakan kisah hidup ibu sama seperti abah. Abah dari tanah seberang, datang ke Malaysia untuk mencari rezeki. Kenapa sehingga usiaku mencecah 20 tahun lebih, baru ibu membongkarkan kampung kelahirannya, aku tiada jawapan. Mungkin ibu malu dengan kampung halamannya yang masih belum menerima arus pemodenan…

BAB 3
            Awal Mac….
            Aku melangkah anak tangga kayu satu demi satu. Anak tangga kayu itu yang hampir reput menuntut aku untuk lebih berhati-hati. Mahu minta Pak Long gantikan kayu tersebut, bimbang nanti dituduh mengada-ngada pula.
            “Abang oi, kita nak makan apa malam ni? Beras dah habis.”
            Baru sebelah kakiku melangkah ke beranda, terdengar laungan lantang Mak Long dari arah dapur. Pak Long yang sedang menggulung rokok daun di beranda bingkas bangun. Rokok diselit celah bibir. Pemetik api dihidupkan lalu diacukan ke hujung rokok daun. Muka Pak Long tampak tak bermaya. Aku bimbang akan kesihatannya yang mungkis terjejas kerana terpaksa bekerja lebih keras sejak kedatangan aku dan Irfan.
            “Abang ni tak dengar ke apa Nah cakap?” tengking Mak Long yang sudah tercegat di muka pintu. Dia bercekak pinggang, bergaya seperti seorang boss.
            “Abang dengar... abang nak pergi beli ni,” jawab Pak Long malas sambil menggulung kain pelikat yang hampir londeh.
            “Ayam belakang rumah tu siapa nak bagi makan? Dah nak masuk Maghrib ni, ayam tak bagi makan lagi!” rungut Mak Long sambil menjeling ke arahku.
            “Biar Nia pergi beli beras.” Aku mempelawa diri. Memang itulah tujuan sebenar Mak Long, mahu menyuruh aku ke kedai untuk membeli beras. Mak Long memang tak suka kalau melihat aku dalam keadaan tidak bekerja. Setiap minit kena ada kerja yang aku lakukan. Mak Long menganggap aku dan Irfan seperti bala yang datang untuk menambahkan kesengsaraan keluarganya yang dihimpit kemiskinan.
            Pak Long membuka beg tembakaunya lalu mengeluarkan not sepuluh ringgit.  “Beli tiga kilo beras.” Pak Long menghulurkan duit kepadaku.
            Aku mengambil duit yang dihulurkan Pak Long. Duit yang lembap dan berbau tembakau itu menusuk hidungku. Aromanya menyesak nafasku.
            “Dulu, tiga kilo cukup untuk seminggu. Sekarang ni hanya dua tiga hari je. Jenuh le kalau macam ni setiap hari!” sindir Mak Long.
            Aku terus melangkah menuruni anak tangga. Apa yang dicakapkan Mak Long memang betul. Kedatangan aku dan Irfan hanya membebankan keluargnya. Pendapatan Pak Long tidak seberapa. Pak Long penoreh getah. Jadi, pendapatan Pak Long ikut keadaan cuaca. Jika kemarau, banyaklah sikit pendapatannya. Namun terpaksa dibahagi dua dengan majikan kerana kebun getah bukan milik Pak Long. Pak Long hanya kuli. Mak Long pula tidak bekerja.
            “Kakak nak pergi mana?” Irfan tercegat di kaki tangga dalam keadaan resah. Dia memang tidak suka jika aku keluar. Irfan merasakan yang keselamatannya tidak terjamin.
            “Kedai... nak beli beras.” Aku menyarung selipar buruk. Aku harus segera berangkat ke kedai kerana jam sudah menghampiri angka tujuh.
            “Nak ikut!” muka Irfan penuh mengharap.
            “Tak boleh Fan. Dah nak Maghrib ni. Fan pergi mandi lepas tu solat.” Aku tidak mahu Irfan kehabisan tenaga berjalan jauh. Bukannya dekat kedai runcit Pak Malik. Aku bimbang tenaga Irfan habis di tengah jalan. Hendak ke kedai Pak Malik, aku terpaksa menyeberang sungai dan mengikut jalan tanah merah. Kedainya terletak di sebelah hulu sungai.
            “Tak nak! Fan nak ikut kakak.” Irfan separuh merengek, mengharap agar lakonannya itu berjaya memujukku.
            “Jauh Fan. Nanti Fan penat. Kerja sekolah tak sempat nak siapkan nanti.” Aku tetap takkan membenarkan Irfan mengekoriku. Aku bukannya hendak berlama-lama di kedai, tetapi sekadar untuk membeli beras.
            Irfan menarik muka masam. Aku terus menapak agar segera sampai ke kedai sebelum malam menjengah. Aku terpaksa berjalan hampir dua puluh minit, melalui denai, jambatan kayu dan ke jalan besar tanah merah. Untuk ke kedai runcit, aku harus berjalan jauh ke hulu. Itulah salah satu kedai runcit paling besar yang terdapat di Kampung Jerai Tua. Malangnya tak semua barang ada di kedai Pak Malik. Kalau hendak membeli lima jenis barang, pasti sekurang-kurangnya satu telah kehabisan.
            Otakku ligat memikir cara untuk mendapatkan pendapatan. Sedikit pun jadilah asalkan dapat meringankan beban Pak Long. Ibu dan abah belum tentu datang. Aku tidak mahu mengharap lagi. Aku dan Irfan sengaja dilemparkan ke kampung tersebut kerana ibu dan abah tidak sanggup lagi menanggung kami berdua... sekurang-kurangnya itulah yang bermain di mindaku saat itu. Aku tak dapat memikirkan sebab lain lagi!
Aku tidak boleh bergantung hidup pada rezeki Pak Long semata-mata. Sudah hampir dua bulan aku dan Irfan tinggal di rumah Pak Long. Sesen pun aku masih belum hulurkan pada Pak Long. Wang yang diberi ibu memang tidak cukup. Aku terpaksa berhutang dengan Pak Long untuk membayar yuran persekolahan Irfan. Aku berjanji akan menjelaskannya apabila ibu dan abah datang. Mujurlah Pak Long jenis lelaki yang tidak kisah. Hanya Mak Long yang kurang senang apabila aku meminjam wang suaminya. Dia mendesak aku supaya membayar segera.
Selain Mak Long, Pak Long terpaksa menanggung nenek. Nenek sudah nyanyuk. Kencing dan berak merata-rata. Tidur tak tentu waktu. Sejak ketibaanku ke rumah Pak Long, akulah yang mengambil alih tugas Mak Long menjaga nenek. Kerja yang tidak pernah terfikir akan kulalui. Pertama kali melihat nenek, aku terkejut. Ibu tidak pernah menyebut langsung tentang Nek Esah, sedangkan wanita itulah yang telah membesarkan ibu. Tak seharusnya ibu melupakan nenek begitu saja....
            Ketika sedang mengelamun itulah, tiba-tiba sebuah pacuan empat roda bergerak terus ke arahku. Aku sedang melintas jalan pada masa itu. Kerana terlalu kaget, aku terus kaku di tengah jalan. Lututku menggeletar. Pacuan empat roda berhenti betul-betul di hadapanku! Berdecit bunyi tayar menekan tanah merah yang berbatu kerikil itu. Aku nyaris dilanggar. Jantung berdegup kencang. Pemandu Pajero dengan wajah serius merenung tajam ke arahku seolah-olah mahu menelan. Aku bergerak ke tepi menyedari yang aku sedang menghalang perjalanannya.
            “Maaf!” Hanya perkataan maaf yang keluar dari bibirku. Memang aku yang bersalah. Aku tidak menoleh kiri dan kanan terlebih dulu sebelum melintas kerana pada anggapanku, jalan tersebut tidak sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang.  Peluh di dahi aku kesat dengan lengan baju. Mujurlah pemandu tersebut tidak turun dan memarahiku. Dia hanya merenungku tajam dari dalam kereta. Sebentar kemudian, pacuan empat roda terus meluncur laju, menerbangkan debu sepanjang jalan. Aku segera menekup muka, menghalang debu mengotori muka. Laju benar Pajero itu dipandu.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana aku tidak mengalami sebarang kecederaan. Aku mengurut dada kelegaan. Persoalan menerjah ke fikiranku tentang pemilik pacuan empat roda tersebut. Setahuku, majoriti penduduk kampung tersebut hanya bekerja sebagai penoreh getah. Selebihnya berniaga kedai runcit, kedai kopi, tukang rumah dan membuka kedai memungut getah. Tak mungkin mereka mampu menggunakan pacuan empat roda walaupun hanya kereta tersebutlah yang paling sesuai digunakan di jalan kampung yang tidak bertar dan berbukit-bukau itu.
            Aku melangkah ke kedai runcit Pak Malik yang terletak di depan mata dengan persoalan yang masih berlegar di kepala. ‘Siapakah lelaki yang memandu Pajero itu?’
            “Tak apa-apa ke?” soal Pak Malik yang turut menyaksikan kejadian yang hampir menimpaku di hadapan kedainya itu.
            “Tak, saya okey. Er... siapa pemandu Pajero tu?” aku terus ajukan persoalan yang bermain di fikiran. Yang ada dalam fikiranku saat itu, lelaki tersebut adalah orang luar.  Pak Malik mungkin mengenali lelaki tersebut.
            Pak Malik memandang sekeliling. “Itulah pembunuh sakit jiwa,” bisik Pak Malik setelah yakin tiada sesiapa yang mencuri dengan kata-katanya itu.
            “Pembunuh?” aku melopong. Jantungku kembali berdegup kencang. Aku amati wajah Pak Malik, mengharapkan penjelasan.
            Pak Malik memberi isyarat agar aku memperlahankan suara.
            “Baru keluar penjara?” aku hairan kerana lelaki itu tampak masih muda. Kalau sudah dijatuhi hukuman kerana membunuh, tentu dia dikenakan hukuman mati mandatori atau sekurang-kurangnya meringkuk dalam penjara seumur hidup. Atau... adakah dia bersembunyi di sini supaya tidak dikesan pihak polis? Tempat ini memang sesuai dijadikan kawasan persembunyian.
            Pak Malik menggeleng. Nampak seperti dia gusar dengan pertanyaanku itu.            “Kenapa dia....”
            “Nak beli apa?” Pak Malik memintas pertanyaanku tiba-tiba.
            “Beras... 3 kilo.” Pak Malik keberatan untuk menceritakan kepadaku lebih lanjut mengenai pembunuh sakit jiwa yang hampir melanggarku sebentar tadi. Aku agak hampa. Cerita tentang pembunuh sakit jiwa tersebut menarik perhatianku.
            Seorang lelaki yang hampir sebaya dengan Pak Malik melangkah masuk. “Aku nak beli barang-barang ni.” Dia menghulurkan cebisan kertas kepada Pak Malik. Matanya tiba-tiba merenung ke arahku. Aku hadiahkan senyuman namun tak dibalas lelaki berjambang tebal itu. Aku tarik balik senyuman. Mukanya sentiasa bengis. Akhirnya aku mengalah. Aku tidak berani hendak bertentang mata dengannya lagi. Lelaki itu seperti kurang senang denganku.
            “Nah.” Pak Malik menghulurkan beras yang sudah ditimbang. Aku menghulurkan wang. Sambil menunggu Pak Malik menyerahkan baki wang, aku perhati gerak-geri lelaki berjambang putih itu yang sedikit mencurigakan. Aku tak pernah melihat atau terserempak dengannya sebelum ini. Setiap hari, pasti aku akan berjumpa dengan muka-muka baru di kampung. Ada yang dapat menerima kehadiranku di kampung mereka. Tak kurang juga yang memandang serong padaku. Entah apa yang tak kena pada diriku.  
            “Balik cepat. Dah nak Maghrib ni.” Pesan Pak Malik sambil menghulurkan baki wang. Matanya melirik ke arah lelaki berjambang putih itu. Pak Malik seolah sedang memberi isyarat padaku yang lelaki tersebut berbahaya.
             Aku terpaksa beredar walaupun hatiku melonjak ingin tahu lebih lanjut mengenai pembunuh sakit jiwa dari mulut Pak Malik. Senja kian menghampiri. Jalan tanah merah itu aku redah. Hanya pokok getah dan semak-samun di kiri dan kanan jalan. Selama ini aku hanya melihat di kaca televisyen sahaja tentang kampung yang masih mundur dan ketinggalan dalam arus kemajuan. Kini aku menjadi sebahagian penghuni kampung tersebut.
            Pembunuh sakit jiwa masih menghantui kepalaku. Aku menoleh kiri, kanan dan belakang. Jantungku terus berdegup kencang. Ayunan langkah aku percepatkan. Sesekali aku menoleh ke belakang untuk memastikan yang aku tak diekori. Manalah tahu jika pembunuh tersebut mahu membalas dendam kepadaku!

Hubungi saya atau klik sini  http://store.karnadya.com.my/
untuk mendapatkan novel KALUNG

PROMO KALUNG : BAB 1

Journal Of My Life: PROMO KALUNG : BAB 1

BAB 1           

Ketika kabus tebal masih menyelubungi alam, dan sang mentari belum bersedia untuk menampakkan diri, aku menjejakkan ka...

PROMO KALUNG : PROLOG

Journal Of My Life: PROMO KALUNG : PROLOG:

PROLOG Kosong! Mataku terus terbuka luas. Sah, kerusi rotan itu kosong. Dia sudah pergi. Dia tiada lagi di situ. Aku menarik jam loceng ...

Journal Of My Life: Kalung Novel Istimewa - Review oleh Berita Harian ...

Journal Of My Life: Kalung Novel Istimewa - Review oleh Berita Harian ...

 KALUNG, novel thriller pertama karya pengarang muda berbakat, Zahidah Zarkasi, menampilkan kisah dendam tidak berkesudahan yang mengakibat...

Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 7 & 8

Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 7 & 8
 BAB 7          
Tiba sahaja di bawah, Dean sudah tercegat di luar pagar blok asrama perempuan.    
“Aku mesej Dean, ajak dia...      

Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 5 DAN BAB 6

Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 5 DAN BAB 6
 BAB 5
 “Baik kau berterus terang dengan aku. Sebenarnya, apa perasaan kau pada Dean?” tanya Suhaila yang baru selesai makan nasi lemak ya...


Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 4

Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 4
 BAB 4          
 ‘TALAM DUA MUKA!’          
 Terus Ayra padam mesej yang kesemuanya ditulis dengan huruf besar. Sama seperti komen...


Journal Of My Life: PROMO NOVEL MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 3

Journal Of My Life: PROMO NOVEL MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 3
 BAB 3
             Kasihan pula Ayra dengan Nadira. Bukan dia tak sudi ke majlis perkahwinan kakak Nadira. Masalahnya, dia tiada kawan. S...


Journal Of My Life: Promo MDIC : BAB 2

Journal Of My Life: Promo MDIC : BAB 2

BAB 2           
“Kenapa dengan kau ni? Macam tak sihat aje,” tegur Suhaila.          
“Muka aku macam orang tak sihat ke?” A...


Journal Of My Life: Promo MDIC : BAB 1

Journal Of My Life: Promo MDIC : BAB 1
KOMPUTER riba dari dalam beg dikeluarkan. Komputer riba berjenama Acer itu segera dibuka. Sudah tiga bulan komputer riba itu menjadi mil...


MAK DATIN ISTERI CIKGU




Penerbit : Buku Prima
Tahun : December 2012
Harga : RM19.90


Sinopsis
Ayra, seorang gadis yang ceria mula berubah sikap dengan kehadiran SMS daripada seseorang yang tidak dikenali. SMS yang diterimanya itu jelas menunjukkan bahawa si pengirim itu mengetahui kisah silamnya yang cuba dilenyapkan dari kotak ingatan. Dia bukan pembunuh! Itu hanyalah satu kemalangan! Dia tidak akan membiarkan lelaki itu berlumuran darah dan menanggung kesakitan jika lelaki itu tidak melayannya bak seorang tawanan. Segalanya sudah terlambat. Jalan penyelesaiannya ialah dengan melarikan diri dan cuba membina hidup baru di perantauan. Kehadiran seorang lelaki seiras wajah insan yang paling dibencinya suatu ketika dulu mengeruhkan lagi keadaan. Sudikah Ayra menerima Shahin Adiy kembali setelah segala kekusutan dileraikan? Sanggupkah dia melukakan hati Nadira, teman yang telah banyak membantunya?

P/S : Novel Kedua bersama Buku Prima selepas novel Hanya PadaMu yang diterbitkan pada tahun 2008.