PROMO MENJEJAK MEMORI : BAB 2 DAN 3


2

DIA handsome gila! Badannya tough, tentu selalu pergi gym.” Gadis berambut perang itu terus memuji lelaki idamannya.
Terasa ingin sahaja Elisa menekup telinga rakan serumahnya itu. Namun pasti sahabatnya itu akan terasa. Jika dia bertindak begitu, tak beradab namanya. Tetapi telinganya sudah letih mendengar puji-pujian yang dilemparkan kepada Kapten Bola Sepak Kolej. Lelaki itu memang bertuah. Baru sahaja mendaftar di kolej sejak dua bulan yang lalu, sudah diberi kepercayaan untuk mengemudi Pasukan Bola Sepak Kolej Indera Jaya.
“Dia bukan saja hebat dalam bidang pelajaran, malah juga dalam bidang sukan. Bayangkan, baru dua bulan dia di sini, dia dah diberi kepercayaan untuk menjadi kapten bola sepak. Minggu lepas, dia telah mengharumkan nama kolej kita. Dia berjaya menjaringkan dua gol untuk membantu pasukan memenangi pertandingan bola sepak antara kolej.”
Cerita yang sama diulang-ulang lagi. Ingin sahaja Elisa menjerit pada gadis yang tak henti-henti berbicara tentang kapten bola sepak itu supaya menghentikan saja siaran ulangannya itu. Telinga Elisa sudah sakit. Telinganya juga sudah jemu mendengar. Sekali dua, dia tidak kisah. Ini sudah berpuluh kali. Dia juga ada kerja lain, bukan setakat menjadi pendengar saja. Tugasannya masih bertimbun yang belum siap. Sama juga dengan Aliya. Bezanya, Aliya ramai kawan. Dia boleh minta tolong atau upah sesiapa sahaja bagi menyiapkan tugasannya. Terutama kawan-kawan lelakinya. Soal duit, Aliya tiada masalah. Elisa pula lebih suka bersikap jujur pada diri sendiri.
“Setahu aku, dia masih single. Peluang aku untuk mendekatinya masih cerah.”
Aliya menaruh harapan tinggi. Itulah matlamatnya kini. Hati Rifqi harus dimiliki.
Elisa menggeleng. Aliya sudah sangkut dengan rupa paras Rifqi, lelaki yang entah bagaimana rupanya. Elisa tidak pasti sama ada dia pernah bertemu lelaki itu. Mungkin mereka pernah bertembung. Selama ini dia hanya mendengar nama lelaki itu sahaja dari mulut Aliya yang sudah gila bayang. Hebat sangatkah Rifqi sehingga membuatkan Aliya dan para pelajar perempuan tergila-gilakannya? Sana sini orang bercakap pasal Rifqi. Namanya naik mendadak kerana berjaya membawa pasukan bola sepak kolej ke mercu kejayaan.
“Eh, Elisa! Kau tolong aku boleh tak?”
“Tolong? Kau ada apa-apa masalah ke?” Elisa sedikit tersentak.
“A’ha... aku ada masalah besar.”
“Masalah besar?”
Berkerut kening Elisa. Setahunya, Aliya memiliki segalanya. Dan gadis itu tidak pernah ditimpa masalah besar.
“Kena saman?” duga Elisa.
Aliya selalu kena saman kerana memandu laju dan melanggar lampu isyarat. Dalam sebulan, sekurang-kurangnya sekali dia akan melakukan kesalahan jalan raya. Tapi itu bukan satu masalah buat Aliya kerana dia mampu membayar denda andai dikenakan dua kali ganda sekalipun. Ibu bapa Aliya bukan orang sembarangan. Bapanya berpangkat Tan Sri.
“Bukan... ni, masalah di sini.” Aliya meletakkan tangannya di dada.
“Kau...”
Bicara Elisa terhenti apabila pintu terkuak. Maria dan Laili melangkah masuk. Kedua gadis itu menghadiahkan senyum hambar lalu melangkah masuk ke dalam bilik utama. Elisa dan Aliya tidak begitu rapat dengan Maria dan Laili walaupun tinggal serumah. Jurusan yang berlainan membuatkan mereka tidak rapat. Elisa lebih rapat dengan Aliya walaupun usia mereka berbeza. Aliya muda dua tahun darinya. Tetapi mereka berada di semester yang sama, iaitu semester kedua tahun pertama. Elisa lambat mendaftar kerana dia terpaksa membuat persiapan sebelum bergelar pelajar.
“Kau ada masalah kesihatan?” Elisa menyambung pertanyaannya.
“Kau ni... lambat benar nak fahamlah!” rungut Aliya. “Aku dah jatuh cinta pada Rifqi. Setiap malam aku mesti termimpikannya. Tolonglah aku, Elisa... sehari kalau tak menatap wajahnya, aku tak boleh hidup. Aku jadi gila bayang. Tolonglah aku, Elisa...”
Tak guna!’ kutuk Elisa. Jantungnya masih berdegup kencang kerana menyangka Aliya menghadapi masalah besar.
“Aku tak boleh buat apa-apa kalau soal tu. Kau sendiri yang kena luahkan pada Rifqi.”
Elisa menolak mentah-mentah permintaan Aliya. Dia tidak mahu masuk campur soal hati dan perasaan Aliya. Biarlah Aliya yang uruskan sendiri. Lagipun, apa yang dia boleh buat... dia bukannya pandai hendak berkomunikasi dengan kaum Adam. Soal itu, Aliya lebih pakar. Bukankah kawan lelaki Aliya keliling pinggang?
“Kau nak aku dapat malu ke? Rifqi tu bukan lelaki sembarangan. Dia jenis yang tak beri muka pada perempuan. Gina pernah luahkan perasaan pada dia, tapi dia tolak mentah-mentah! Kartika pun terima nasib yang sama. Aku tak nak jadi seperti mereka. Menangis tak berlagu bila cinta ditolak.”
“Dah tu? Kenapa masih terhegeh-hegeh lagi? Janganlah buang masa. Lupakanlah dia.”
“Aku dah cuba lupakan dia... tapi gagal. Semakin hari semakin aku sayang pada Rifqi. Aku bukannya bodoh macam Gina dan Ika yang terus luahkan perasaan mereka. Aku kena atur strategi. Kau kena tolong aku, Elisa. Mesti!”
Elisa menelan liur. Perit!


ELISA terjaga dari tidur tengah malam itu. Perutnya memulas-mulas. Jam sudah melewati angka satu. Dia harus ke tandas segera. Entah kenapa bulu romanya tiba-tiba sahaja meremang. Terasa seperti ada yang sedang memerhatikannya. Dia segera bangun dan memetik suis lampu. Cahaya terang benderang. Tiada sesiapa dalam biliknya. Tetapi entah kenapa perasaan takut menguasai dirinya. Tentu tidak lain dan tidak bukan dek penangan filem seram yang ditonton sebelum tidur. VCD itu ditontonnya seorang diri. Dia mengajak Aliya menemaninya, tetapi Aliya sibuk dengan aktiviti malamnya.
Aduhhh...’ Elisa memegang perutnya yang memulas-mulas. Dia harus berani!
Elisa terus melangkah keluar dari bilik. Dia berhenti seketika. Menarik nafas. Gelap. Untuk memetik suis lampu dapur, dia harus berjalan empat lima langkah. Matanya merawang sekitar dapur. Akhirnya, mata Elisa tertancap ke bilik Aliya di sebelah biliknya. Kelihatan cahaya terpancar dari celah bawah pintu. Dia menarik nafas lega. Pasti Aliya sedang mengulang kaji pelajaran atau melayari Internet. Perasaan takut terus hilang menyedari Aliya masih belum tidur.
Elisa memetik suis lampu bilik air. Dia menolak daun pintu. Teringat dia cerita yang dibawa Laili. Menurut Laili, dia ternampak kelibat lembaga hitam berdiri di tepi bilik air sekitar jam 2.00 pagi. Ketika kejadian tersebut, Laili baru pulang selepas mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakannya di aras lima. Namun sebaik sahaja Laili memasang lampu, kelibat lembaga hitam terus hilang dari pandangan. Terus sahaja Laili menyusup masuk ke dalam bilik kerana tiba-tiba sahaja dia berasa seram sejuk.
Sepuluh minit kemudian Elisa melangkah keluar. Perutnya masih terasa sakit dan memulas-mulas. Tengah hari tadi dia telah membeli nasi di gerai tepi jalan. ‘Argh... inilah akibatnya! Elisa menggosok-gosok perutnya.
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi air yang sedang mengalir. Matanya terus tertancap ke arah singki dapur. Paip terbuka. Air sedang mengalir. Terus meremang bulu romanya. Siapa yang membuka paip air???
Matanya merawang lagi. Nun di balik pintu menuju balkoni dapur, dia ternampak kelibat seseorang.
“Siapa? Laili ke?” Dia beranikan diri menyapa kelibat seseorang di balik pintu.
Diam. Tiada balasan.
“Maria?”
Senyap.
“Aliya? Aliya ke tu?”
Diam. Lemah lutut Elisa kerana sapaannya tiada balasan.
“Hoi! Kau bercakap dengan siapa?”
“Makkk!!!” Elisa menjerit kuat.
Aliya ketawa terkekek-kekek. Dia terjengul di muka pintu biliknya.
Kus semangat, aku.’ Elisa mengurut dada.
“Aku ingatkan kau kat belakang pintu tu.”
“Laili?”
Elisa menjongket bahu. “Diam aje bila aku tanya.”
Aliya terus menapak menuju ke balkoni dapur. Dia menolak daun pintu. Tiada sesiapa yang kelihatan di situ.
“Tak de sesiapapun.”
Elisa telan liur! Bulu romanya terus meremang.
3

ELISA menghampiri padang bola dengan seribu satu macam perasaan. Takut,  segan dan geram silih berganti mengambil tempat di hatinya. Namun, demi sebuah persahabatan dia teruskan langkah. Dia kuatkan semangat. Dia ketepikan fikiran negatif. Yang penting tugas harus dijalankan sebaik mungkin. Tugas berat yang mungkin akan berjaya dan mungkin juga tidak.
            Dua orang lelaki berpakaian sukan dengan muka berpeluh dalam raut keletihan melangkah meninggalkan padang tempat latihan. Terus pandangan mereka tertumpu ke arahnya yang sedang berdiri di garaj keseorangan. Elisa yakin mereka bukan lelaki yang dicarinya. Wajah mereka biasa-biasa sahaja. Sedangkan Rifqi seorang lelaki kacak seperti mana yang sering didengar dari mulut Aliya. Sekali terpandang wajah Rifqi, pasti ingin menoleh kali kedua. Hmm... ada-ada saja!
“Rifqi masih berlatih?” aju Elisa dengan penuh debar.
“Erm... ye...” balas salah seorang lelaki tersebut. “Kenapa?”
“Ada hal nak jumpa dia. Yang mana satu Rifqi?” aju Elisa sambil mata jatuh ke tengah padang.
“Awak tak kenal lelaki yang awak nak jumpa?” soal lelaki itu kembali dengan dahi berkerut.
Elisa geleng kepala. Dia bukan nak tunjuk berlagak, tapi dia memang tidak mengenali Rifqi.
“Tu, sana!” Lelaki tersebut memuncungkan mulut ke tengah padang.
“Baju-T hijau?”
“Hitam kuning.”
Mata Elisa terus tertumpu ke arah lelaki yang memakai baju-T berwarna hitam dan kuning. Ketinggian lelaki itu melebihi pemain-pemain yang lain.
“Terima kasih,” ucap Elisa dengan harapan kedua lelaki tersebut akan beredar segera. Elisa mahu bercakap sendirian dengan Rifqi tanpa ada sesiapa.
“Awak ada urusan dengan dia?”
Elisa mengangguk.
“Urusan apa?”
“Kalau setakat nak berkenalan dengan dia, baik lupakan saja. Dia takkan layan. Buang masa saja,” pesan lelaki yang sedang melambung-lambung kunci kereta. Sejak tadi dia hanya berdiam diri. Nampak seperti lelaki sombong.
“Saya bukan nak berkenalan dengan dia. Saya ada urusan lain.”
Elisa menggigit bibir. Belum apa-apa lagi kedua lelaki tersebut sudah tahu niat di dalam hatinya.
“You ada urusan apa dengan dia?”
“Adalah.” Rimas Elisa kerana kedua lelaki tersebut enggan berganjak. Mereka tentu sahabat-sahabat Rifqi.
“You pelajar baru ke?”
Elisa menggeleng. “Dah masuk tahun akhir.”
Selamba Elisa berbohong. Kedua lelaki tersebut yang tentu menyimpan niat hendak membulinya andai dia mengaku sebagai pelajar baru. Para senior tak pernah beri muka dengan pelajar tahun pertama.
“Ye ke? Kenapa tak pernah nampak you pun sebelum ni?”
“Betullah. I pun tak pernah nampak you sebelum ni. Betul ke you dah lama belajar di kolej ni?” aju lelaki yang berwajah sombong.
Dahi Elisa berkerut. Macam mana dia mahu menyelesaikan tugas andai dia terus disakat kedua lelaki tersebut?
“Jom minum.”
Elisa menggeleng. Dia terus beredar dari kawasan tersebut. Sebelum tembelangnya pecah, lebih baik dia beredar terlebih dulu.
“Intan payung, tunggu!”
Elisa tidak mengendahkan panggilan kedua lelaki tersebut. Dia terus melangkah meninggalkan kawasan padang. Di kafeteria, dia menghabiskan masa. Sesekali dia memanjangkan leher memandang ke bawah. Rifqi masih berlatih di bawah panas terik mentari petang. Kedua lelaki yang menyakatnya tadi sudah tidak kelihatan di kawasan parkir tepi padang.
Setengah jam kemudian barulah kelibat Rifqi kelihatan meninggalkan padang. Elisa bergegas meninggalkan kafeteria. Tugasnya sudah bermula. Dia berharap tiada halangan lagi untuk dia mendekati Rifqi yang digilai Aliya itu. Dia tidak akan membantu Aliya andai Aliya tidak jatuh sakit. Begitu teruk sekali penangan yang diterima Aliya kerana terlalu mencintai Rifqi. Sampai demam!
Dari jauh Elisa melihat Rifqi sedang mengelap lehernya dengan tuala di bawah sepohon pokok rendang di tepi padang. Elisa beranikan diri menapak, selangkah demi langkah menghampiri lelaki itu. Bukan mudah untuk menghadapi lelaki ego itu. Sebab itulah Elisa telah membuat beberapa persediaan. Dia berharap persediaannya itu mencukupi untuk berhadapan dengan lelaki itu.
            Kalau bukan kerana Aliya, dia tidak akan berada di situ sekarang! Dia tentu berada di perpustakaan, menelaah pelajaran. Aliya terus mendesak dan mendesak. Dia terpaksa akur akhirnya dengan permintaan sahabat baiknya itu. Aliya ingin berkawan dan seterusnya bercinta dengan Rifqi. Sudah lama Aliya memendam perasaannya itu. Sejak hari pertama Rifqi melangkah kaki ke Kolej Indera Jaya, Aliya sudah jatuh hati pada Rifqi. Rupa paras Rifqi telah berjaya menawan hatinya. Tapi Aliya tidak berani meluahkan perasaannya apabila terdengar banyak cerita negatif mengenai lelaki itu. Dia bimbang menerima nasib yang sama dengan gadis-gadis lain.
Lalu, rancangan pun diatur. Aliya meminta supaya Elisa mendekati Rifqi terlebih dahulu. Elisa harus menjadi kawan Rifqi. Setelah berkawan, Elisa harus memainkan peranan dengan memuji Aliya di depan Rifqi sehingga Rifqi akhirnya akan tertarik untuk mengenali Aliya lebih dekat. Rancangan itu tidak disetujui oleh Elisa. Elisa sedar setakat mana bakat lakonannya. Namun Aliya terus merayu. Elisa tidak sampai hati menghampakan permintaan Aliya apabila Aliya jatuh sakit.
            Elisa yakin Rifqi menyedari kehadirannya. Rifqi sengaja pura-pura tidak melihat kelibatnya. Sikap ego yang ada dalam diri lelaki itulah yang membuatkan lelaki itu enggan berpaling atau menegurnya. Elisa meniup kekuatan dalam diri. Debaran masih terus melanda dirinya. Dia bimbang penerimaan Rifqi ke atasnya. Sudikah lelaki itu menjadi sahabatnya? Mungkinkah Rifqi akan menolak tali persahabatan yang ingin dihulurkannya? Jika begitu, Elisa yang akan menerima tamparan malu. ‘Ah, aku dan Rifqi sahaja yang tahu, bukannya seluruh warga kolej. Elisa memberanikan diri.
            Resah terus melanda Elisa. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan. Walaupun kata-kata sudah disusun, namun sebaik sahaja berhadapan dengan Rifqi, terus hilang segala kata-kata yang disusun itu. Patutlah Aliya tak dapat tidur malam gara-gara angaukan Si Rifqi. Lelaki itu memang kacak. 
            “Ehem!” Elisa pura-pura batuk supaya Rifqi menoleh ke arahnya seperti yang sering ditonton di kaca televisyen. Malangnya, lakonannya itu tidak berjaya. Rifqi langsung tidak menoleh ke arahnya. Lelaki itu sibuk mengikat tali kasut yang dipakainya. Elisa terasa diri bak patung tak bernyawa. Mustahil Rifqi tidak menyedari kehadirannya. Hanya mereka berdua sahaja di bawah pokok rendang ketika itu.
Pandanglah aku, Rifqi agar aku boleh memulakan bicara. Takkanlah kau tak perasan kehadiran aku. Aku bukannya semut kecil. Mustahil kau tak perasan kehadiran aku.
            “Dah habis berlatih untuk hari ni?” Percubaan kedua Elisa diharapkan berjaya. Dia mahu selesaikan segera rancangannya bersama Aliya. Hari sudah merangkak senja. Namun, Elisa sedar bukan mudah hendak menjayakan rancangan tersebut. Sebab itulah dia awal-awal lagi sudah menolak, tetapi Aliya enggan mengalah dan terus mendesaknya.
            Rifqi menghela nafas. Dia mencabut kemuncup yang melekat pada kaki seluar sukannya. Dia enggan mempedulikan kehadiran gadis tersebut kerana yakin gadis tersebut tentu ingin menjalin persahabatan yang tidak ikhlas dengannya, sama seperti dengan gadis-gadis yang ditemuinya sebelum ini. Sudah acap kali dia berhadapan dengan gadis yang menghulurkan persahabatan dengan niat lain. Cintanya yang ingin dimiliki gadis-gadis tersebut sebenarnya, bukannya sebuah tali persahabatan yang jujur dan ikhlas.
            “Maaflah, saya tak ada mood nak berkenalan sekarang,” ujar Rifqi, bingkas berdiri setelah selesai mencabut kemuncup.
Rifqi mencapai tuala yang tersangkut pada dahan pokok lalu disumbatkan ke dalam beg sukannya.
            “Saya bukan nak berkenalan!” pintas Elisa walaupun itulah rancangannya yang sebenar.
Demi mendengar kata-kata Rifqi yang berbaur sombong dan menyakitkan hati, dia rasa tercabar. Elisa terus menafikan niatnya yang ingin berkenalan dengan Rifqi. Niat ingin berkenalan demi menjayakan rancangan Aliya terus terpadam.
            Rifqi terpana! “Kalau bukan nak berkenalan, dah tu apa? Kita ada sebarang urusan ke?” aju Rifqi dengan nada tinggi sambil otak ligat berfikir jika dia pernah menemui gadis itu sebelum ini.
Tidak, dia tidak pernah bertemu dengan gadis itu sebelum ini. Jadi, dia tiada apa-apa urusan dengan gadis itu.
            Elisa menggeleng. Hatinya terhiris dengan nada suara Rifqi. Mukanya terasa tebal. Dia malu sangat saat itu dengan layanan Rifqi ke atasnya. Lelaki itu melayannya seolah-olah dia adalah musuh. Sedangkan mereka saling tidak mengenali sebelum ini. Dia sepatutnya sudah menjangkakan sikap Rifqi yang sombong itu. Kalau tak suka pun, cakaplah elok-elok.
            “Jadi?” Langsung tiada garis senyuman di bibir Rifqi.
            “Kawan saya yang nak berkenalan dengan awak.”
Elisa berterus terang. Tak kuasa dia hendak meneruskan rancangan Aliya. Lebih baik dia berterus terang agar Rifqi tidak menghinanya lagi. Ah, aku pun tak ingin berkenalan dengan kau! Perasan!
            “Kawan awak nak berkenalan dengan saya?” ajuk Rifqi kembali.
Sebentar kemudian dia tersenyum sinis. Elisa bengang dengan sikap Rifqi yang menyakitkan hati itu.
            “Tak payahlah nak berlakon. Berterus terang saja... awak sebenarnya yang mahu berkenalan dengan saya. Kan senang! Tak payahlah nak kaitkan kawan awak pulak.”
Sindir Rifqi yang pernah menghadapi situasi tersebut sebelum ini. Ada seorang gadis datang menemuinya. Konon mahu menjadi orang tengah kepada kawannya. Alih-alih sebulan kemudian, gadis itu terus meluahkan perasaannya. Rifqi pantang dengan gadis yang suka menipu dan tak berani hendak berterus terang.
            “Saya nak berkenalan dengan awak? Tolonglah... saya pun tak ingin ada kawan yang ego tak bertempat macam awak! Perasan!” bentak Elisa di luar kesedarannya.
Dia terus mengayun langkah meninggalkan gelanggang tersebut dengan api kemarahan yang sedang marak membakar seluruh tubuhnya.
            Rifqi terpana dengan bicara dari mulut mungil gadis itu! Dia tidak pernah menerima tempelak dari seorang gadis sebelum ini. Rifqi toleh kiri dan kanan. Dia menarik nafas lega kerana menyedari yang hanya dia sahaja yang berada di kawasan tersebut. Sial! Dia menggenggam penumbuk.
            Gadis kurang ajar itu sudah melangkah pergi. Lenggok gadis tersebut tiba-tiba mengingatkan Rifqi pada seseorang. Dada Rifqi berombak keras. Dia tergamam seketika. Itulah gadis yang sering menghantui mimpinya.
            “Hei, awak!” jerit Rifqi.
            Namun gadis itu yang sudah berada jauh terus berlalu tanpa mempedulikan panggilannya.             Rifqi terus mengejar gadis yang sedang membelok ke bangunan pentadbiran itu. Sebaik sahaja tiba di hadapan bangunan pentadbiran, kelibat gadis itu sudah hilang!
Rifqi meraup mukanya. Mimpikah aku? Dia mendongak ke barat. Matahari sudah hampir terbenam.

*Novel MM boleh dibeli terus dari saya atau dapatkannya di KarnaDya


0 ulasan: