Mawar Cinta : Bab 1

Aku dilanda keresahan. Wajahnya sering terbayang di mataku. Senyumannya yang menggoda telah memukauku. Aku akui aku telah jatuh cinta padanya. Bilakah perasaan itu berputik, aku sendiri tidak menyedarinya. Seringkali bayangan wajahnya menghiasi mimpi-mimpiku. Sedalam mana pun cintaku kepadanya, aku sedar yang aku hanya bertepuk sebelah tangan. Perasaanku kepadanya terpendam di lubuk hati. Aku tidak punya kekuatan untuk meluahkan perasaan ini kepadanya. Aku bimbang dituduh perigi mencari timba.
"Hai Ika, mengelamun ke?" tegur Suzana yang baru tiba di kelas.
Aku menggeleng kepala, tersipu-sipu malu. Aku langsung tidak menyedari yang kelas sudah pun dipenuhi para pelajar. Semuanya dengan satu niat, mahu menyambung pelajaran.
Aku mula mendaftar di kelas malam ini awal tahun. Sebelah siang, aku bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang elektronik. Sebelah malam iaitu malam Isnin, Rabu, Khamis dan Sabtu
pula, aku menghadiri kelas nialam. Itulah rutin hidupku sejak beberapa bulan yang lalu.
Azryl melangkah masuk. Hatiku mula berdebar-debar bila melihatnya. Ah, inilah yang dikatakan jatuh cinta agaknya.
"Assalamualaikum," ucapnya pada aku dan Suzana. Dia terus melangkah ke tempat duduknya yang terletak di barisan belakang.
Azryl kelihatan segak malam ini. Dia memakai baju-T putih dipadankan dengan jaket hitam. Seluar jeans biru lusuh memang menjadi kegemarannya. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan dia, segera aku tuliskan di dalam diari, sebagai memori suatu hari nanti.
"Ika, kau tulis apa tu?"
Dup! Aku segera menutup diari lalu menyimpan ke dalam beg galasku. Azryl datang mengejut dari arah belakang. Aku berdoa agar dia tidak sempat membaca apa yang sedang aku tulis. Kalau tidak, habislah aku!
"Engkau ni, banyak berahsialah!" ujar Azryl sambil menarik kerusi kosong yang berhampiran.
"Sesetengah perkara memang patut dirahsiakan," sampuk Suzana.
"Betul tu." Aku menyokong pendapat Suzana. "Serapat mana pun perhubungan kita dengan seseo-rang, ada sesetengah perkara yang harus dirahsiakan dari pengetahuannya."
"Walaupun dengan suami sendiri?" soal Azryl.
Aku terdiam! Suzana mencebek bibir. Azryl merenungku, mengharapkan jawapan. Sinaran matanya seolah menyimpan sesuatu. Aku menjungkit bahu. Lidahku kelu untuk berkata-kata, ter-panah oleh sinaran matanya yang tajam.
"Wow!" Azryl terpaku melihat seorang pelajar baru yang sedang melangkah masuk.
Amira menuju ke tempatnya. Azryl leka memerhatinya. Aku cemburu melihat kelakuannya walaupun aku tidak berhak berperasaan demikian. Azryl masih solo. Dia berhak memilih gadis yang disukainya.
"Aku nak cuba pikat Amira, tapi aku takutlah," luah Azryl.
Kata-kata Azryl umpama ledakan bom di dasar hatiku. Dia sudah menjumpai gadis idamannya. Aku sedaya upaya merawat hati yang sudah terguris.
"Apa yang nak ditakutkan?" soal Suzana.
"Dia pendiam. Tak pernah senyum. Datang kelas sekali-sekala."
"Dia ada masalah agaknya," balas Suzana.
"Ika, kau tolong aku pikat Mira!"
"Aku?"
Azryl mengangguk.
"Maaf!" balasku sepatah. Kalaulah Azryl dapat membaca apa yang tertulis di hatiku, tentu dia tidak akan sanggup meminta pertolongan dariku. Dia telah menghancurkan perasaanku tanpa disedarinya.
Terasa ingin menangis bagi meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Tetapi keadaan tidak meng-izinkan aku untuk berbuat demikian. Tak dapat aku bayangkan jika Azryl memiliki teman wanita. Tentu dia akan berbahagia bersama teman wanitanya. Sedangkan aku, tentu akan berendam air mata saban hari.
***
"Ika, kau ada masalah ke?" soal Liza, teman sekerja dan juga teman sebilikku di asrama.
Aku menggeleng kepala.
"Akhir-akhir ini, aku nampak kau asyik termenung aje."
"Ye ke?"
"Diri kau, takkan kau tak tahu?"
"Syyyh ... Encik Malik datang," bisikku. Kami kembali menumpukan perhatian pada kerja, bimbang dimarahi Encik Malik, seorang penyelia yang garang.
Pertama kali bertentang mata dengan Azryl, aku tidak menyimpan apa-apa perasaan padanya. Tetapi, dari sehari ke sehari, aku mula terpikat padanya. Sikapnya yang kelakar dan wajahnya yang tampan melahirkan perasaan cinta di hatiku.
Aku gagal menumpukan sepenuh perhatian pada apa yang diajar oleh guru di dalam kelas. Sesekali aku akan menoleh ke belakang untuk mencuri pan-dang wajahnya yang kacak. Harap-harap dia tidak menyedari tingkah lakuku ini. Azryl, bagaimanakah harus aku luahkan perasaan ini? Adakah kau sudi menerimaku sebagai kekasih hatimu?
Satu lagi sebab mengapa aku boleh jatuh cinta padanya ialah kerana sikapnya yang budiman. Dia sering menemani aku dan Suzana ketika menunggu bas di perhentian bas setelah tamat kelas malam. Setelah kami menaiki bas masing-masing, barulah dia akan beredar. Kata Azryl, dia buat begitu kerana kami ini kawannya. Ya, memang aku dan Suzana adalah kawannya. Hanya kawan!
***
"Jumpa lagi esok." Suzana melangkah menuju ke arah bas. Tinggallah aku dengan Azryl berdua di situ.
Sebelum ini, aku tidak merasakan apa-apa bila berdua dengannya. Kini, terasa kekok pula. Aku diserang perasaan malu, resah dan gelisah tatkala mata kami bertentangan.
"Kau ada teman lelaki?" soal Azryl tiba-tiba.
Aku terkedu. Tak sangka pula dia mengajukan pertanyaan itu. Pertanyaan yang sukar dijawab. Adakah dia sengaja mengujiku? Sekiranya aku menjawab 'tiada', adakah dia akan mendekatiku? Ah, mustahil! Aku telah memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Aku menggelengkan kepala.
"Tipulah! Kau kan cute, mustahil tak ada lelaki yang tersangkut."
Cute? Benarkah? Benarkah kata-kata itu keluar dari mulutnya? Ah, terasa tebal mukaku ini. Azryl telah memujiku. Ikhlaskah dia?
Bas berhenti. Ah, kenapa saat-saat ini bas muncul? Dengan berat hati aku melangkah menuju ke pintu bas. Aku memilih tempat duduk di sebelah tingkap. Azryl melambaikan tangan dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
'Kau kan cute'. Aduh, belum pernah ada yang memuji rupa parasku ini. Wajahku, hanya biasa sahaja. Tapi Azryl telah memujiku. Ah, entah-entah dia hanya bergurau. Aku pula yang terlebih perasan! Namun kenangan malam ini, tidak akan aku lupakan. Mana tahu, mungkin Azryl juga menyimpan perasaan padaku. Sebab itu, dia mahu mengetahui statusku sebelum dia mendekatiku. Aku tersenyum sendirian dan mula memasang angan-angan.
Malam itu, aku ke kelas dengan penuh bersemangat. Azryllah yang telah menyuntik semangat dalam diriku. Aku berharap kenangan semalam akan berulang lagi.
"Cantik kau malam ni," puji Suzana sebaik dia tiba di kelas.
"Biasalah," balasku.
Pakaianku 'terover' sangatkah hingga Suzana menyedari kelainan pada diriku? Selalunya aku hanya memakai jeans dan baju-T sahaja. Tetapi malam ini aku ubah sedikit penampilanku. Aku memakai blouse biru muda dan dipadankan bersama slack hitam. Memang aku menyimpan niat untuk menarik perhatian Azryl. Ah, ketara sangatkah aku?'
Seorang lelaki melangkah masuk ke kelas. Aku tidak pernah nampak lelaki itu sebelum ini. Pelajar baru agaknya. Dia memandangku! Aku yang leka memerhatinya segera mengalihkan pandangan. Pelajar baru itu menghampiriku.
"Mana satu tempat yang masih kosong?" soalnya, serius semacam!
"Sebelah sana," ujarku. Ada tiga tempat lagi yang masih kosong.
"Terima kasih." Dia beredar ke salah satu tempat yang masih kosong. Dia memilih tempat sebaris denganku.
"Boleh tahan," bisik Suzana.
Aku mengangguk. Memang betul kata Suzana. Pelajar baru itu memang segak. Namun dia tentunya tidak dapat menewaskan Azryl. Bagiku, Azryl adalah segala-galanya. Tiada lelaki lain yang mampu menandinginya.
"Kau perasan tak, wajahnya ada iras-iras Azryl?"
"Entah, aku tak perasan pun." Jauh beza wajah pelajar baru itu dengan Azryl, pandai-pandai pula Suzana menyamakan mereka.
Aku terpaku! Azryl melangkah masuk bersama Amira. Mereka kelihatan cukup mesra. Azryl tidak memberi salam kepadaku dan Suzana ketika melin-tasi tempat duduk kami. Pelik! Adakah dia terus melupakan kami, kawannya? Aku tidak dapat menerima kenyataan ini. Kenyataan yang amat pedih! Aku menoleh ke belakang. Azryl telah berpindah tempat duduk. Dia memilih tempat duduk bersebelahan Amira. Mereka rancak berbual, diselangi gelak tawa. Sakit hatiku mendengarnya. Sesekali aku menoleh ke belakang, mengharapkan mereka tidak akan bersama lagi. Namun aku kehampaan!
Terasa ada sepasang mata yang sedang memerhati gerak-geriku. Aku segera menoleh ke arahnya untuk mendapatkan kepastian. Memang sah! Pelajar baru itu sedang memerhatiku. Dia kemudiannya menoleh ke belakang. Aku mula curiga. Adakah dia dapat membaca apa yang tersirat di hatiku?
Selesai kelas, aku, Suzana dan Azryl menuju ke perhentian bas seperti biasa.
"Mira tu, nampak aje pendiam. Tetapi kelakar orangnya." Azryl memulakan bicara.
Ah, bencinya aku! Tiada topik lain lagikah yang hendak dibicarakan?
"Kau dan Mira memang secocok," balas Suzana.
Suzana menyokong perhubungan Azryl dan Amira? Tak patut! Memang tak patut. Perasaan aku sedang terluka.
"Betul apa yang orang selalu kata, tak kenal maka tak cinta," luah Azryl.
Sebak hatiku mendengar bicaranya. Aku bak pungguk rindukan bulan. Tetapi bulan sudah pun berteman, si bintang kejora.
Aku tahan teksi!
"Kenapa tak naik bas?" soal Azryl. Suzana terpinga-pinga.
"Er ... aku ada hal. Nak cepat." Aku terpaksa berbohong.
Aku tak sanggup lagi mendengar bicara Azryl. Asyik-asyik Si Mira. Telinga aku yang sakit bila mendengarnya.
Kenangan indah semalam yang kuharap akan berulang hanya tinggal kehampaan. Kenapa ianya harus berakhir begini?
***
"Kenapa kau nampak muram saja sejak semalam?" soal Liza ketika waktu rehat.
"Tak ada apa-apalah," balasku.
"Kau jangan nak tipu aku. Kita berkawan sejak kecil lagi. Macamlah aku tak dapat teka perasaan kau."
Aku merenung wajah Liza. Dialah sahabatku kala aku gembira ataupun berduka. Aku memeluknya. Tanpa disedari air mataku menitis satu persatu.
"Kenapa Ika? Kau ada masalah ke?" soal Liza, cemas.
Aku cuba mengawal perasaan.
"Aku jatuh cintq pada seseorang," luahku setelah perasaanku kian reda.
"Rakan sekelas kau?"
" Ya."
"Patutlah kau asyik mengelamun saja akhir-akhir ni. Kau dah luahkan perasaan kau pada dia?"
"Itulah masalah aku sekarang. Aku takut nak luahkan perasaan aku padanya. Aku takut aku cuma... bertepuk sebelah tangan."
"Belum cuba belum tahu Ika."
"Dia dah ada kekasih."
"Apa?"
"Budak sekelas aku juga. Aku tak tahu sejauh mana perhubungan mereka. Nampak mesra."
"Apa-apa pun kau mesti luahkan perasaan pada Azryl. Itu yang penting. Aku tak mahu kau menyesal di kemudian hari kerana memendam perasaan. Apa pun keputusan Azryl, kau haruslah bersedia menerimanya." Liza menggenggam erat jari-jemariku.
Aku mula memikirkan pendapat Liza. Pendapatnya memang betul. Aku tidak mahu menyesal di kemudian hari.
***
Aku tiba di kelas lebih awal dari hari-hari biasa. Hanya ada seorang pelajar sahaja ketika itu. Dia menghadiahkan senyuman padaku.
"Awal awak datang?"
Dia hanya tersenyum. Bila melihat senyumannya, baru aku perasan. Senyumannya seiras Azryl. Betullah kata Suzana ketika pertama kali kami melihat wajah pelajar baru tersebut.
"Saya Jasley." Dia memperkenalkan dirinya,

"Ika," balasku.
"Sejak bila belajar di sini?" soalnya.
"Awal tahun. Awak? Apasal baru daftar?" soalku pula.
"Baru sekarang saya insaf," balasnya selamba, "Er ... lepas kelas kita keluar makan?"
Aku terdiam. Musykil aku dengan pelawaannya. Kami baru sahaja saling mengenali dan dia sudah mengajak aku keluar. Bolehkah aku mempercayai lelaki sepertinya?
"Ika janganlah bimbang. Kita pergi ke medan selera yang dekat-dekat sini saja. Saya akan belanja nanti."
Aku terdiam memikirkan pelawaannya.
"Saya nak kenal Ika lebih dekat," tambah Jasley.
Aku memberi persetujuan akhirnya. Tak salah aku menerima pelawaannya. Lagipun aku sedang dalam kesepian. Mungkin Jasley dapat mengubati kesepianku ini.
Suzana melangkah masuk dan dikuti oleh beber-apa orang pelajar lain. Aku dan Jasley bagai orang asing semula, seolah-olah kami masih belum berke-nalan.
Jejaka idamanku melangkah masuk. Dia keseorangan! Tidak seperti minggu lepas, asyik berkepit dengan Amira. Suzana memberi isyarat padaku dengan jelingannya. Dia juga kehairanan melihat Azryl keseorangan.
"Mana buah hati pengarang jantung kau tu?" sindir Suzana ketika Azryl melintasi tempat duduknya. Azryl berhenti melangkah. Dia memandang Suzana, kemudian beralih padaku. Aku sudah tidak sabar menanti jawapan darinya.
"Perempuan macam dia, taubat aku dah tak keluar dah," ujar Azryl.
Aku dan Suzana berpandangan.
"Kenapa kau cakap macam tu?" soal Suzana. Aku hanya membisu, menjadi pendengar yang setia.
"Pisau cukur." Azryl berbisik. Aku dan Suzana tergelak. Padan muka! Itulah, asyik nak berkepit dengan perempuan yang cantik saja!
"Korang bayangkan, siang tadi dia ajak aku keluar. Lepas tengok wayang, kami ke Sogo. Dia minta aku beli itu ini untuk dia. Dia ingat aku ni bank ke apa?"
"Mujurlah kau dapat kesan dari awal, perempuan jenis apa Amira tu," ujar Suzana. Aku mengangguk, bersetuju dengan pendapat Suzana.
"Eh, lepas kelas ni, kita bertiga keluar makan? Dah lama kita bertiga tak keluar bersama." Azryl memberi cadangan.
"Aku setuju," balas Suzana.
Mereka berdua memandangku. Aku serba salah. Ikutkan hati, memang aku teringin sangat keluar bersama Suzana dan Azryl. Tapi, aku terlebih dahulu telah berjanji dengan Jasley, dan aku tidak boleh memungkirinya.
"Er ... maaf. Aku tak boleh ikut." Ah, kenapalah aku menerima pelawaan Jasley?'
"Janganlah macam ni ... " Azryl kehampaan Begitu juga dengan Suzana.
"Aku ada hal. Maaf ...." Hanya itu yang mampu kuucapkan.
***
Seorang demi seorang pelajar melangkah keluar. Aku dan Jasley sengaja melengah-lengahkan kerja. Azryl memandangku, mengharapkan agar aku dapat mengubah keputusan. Aku menggelengkan kepala. Azryl dan Suzana melangkah pergi. Tentu seronok kalau aku dapat bersama mereka.
"Sebenarnya, saya nak minta bantuan dari Ika," ujar Jasley sebaik sahaja kami melangkah keluar dari kelas.
Aku memandangnya dengan perasaan musykil. Takkan baru berkenalan dah nak minta bantuan? Aku risau memikirkan jenis bantuan yang diperlukannya. Kalau dari segi kewangan, minta maaflah. Aku bukannya ada duit. Gajiku cukup untuk bayar yuran belajar dan hantar sedikit buat emak dan ayah di kampung.
"Saya nak Ika berlakon sebagai kekasih saya." Jasley berterus terang.
Aku kebingungan. Berlakon sebagai kekasih? Bagaimana aku hendak berlakon kerana aku tiada pengalaman untuk melakonkan watak tersebut. Seumur hidup, aku belum pernah bercinta dan mempunyai kekasih.
Jasley yang memahami keadaanku segera menceritakan kepadaku kisah cintanya yang kini sudah tinggal debu. Jasley mempunyai seorang teman wanita. Tetapi teman wanitanya telah berlaku curang. Setelah Jasley dapat menangkap kecurangannya, dia menyesal dan ingin kembali ke pangkuan Jasley. Tetapi Jasley sudah tawar hati untuk menerimanya semula. Gadis itu tetap merayunya. Jasley terpaksa berbohong bahawa dia sudah mempunyai penggantinya. Tetapi gadis itu tidak percaya dan mahu bertemu sendiri dengan kekasih haru Jasley. Dia yakin Jasley masih mencintainya.
Setelah mendengar penjelasan Jasley, aku memberi persetujuan. Kami menuju ke medan selera berdekatan. Jasley menghubungi bekas kekasihnya dan meminta gadis itu segera datang ke tempat yang telah dijanjikan. Apabila gadis itu muncul, aku mula berlakon sebagi kekasih baru Jasley. Jasley mem-perkenalkan aku sebagai kekasihnya kepada gadis itu. Dia benar-benar kecewa. Aku turut bersimpati melihat keadaannya. Timbul perasaan bersalah di hatiku kerana telah menyebabkan gadis itu menangis.
Malam itu, aku dapat mengenali Jasley dengan lebih dekat. Dia dapat kuandaikan sebagai seorang kekasih yang setia pada cinta. Dia juga seorang lelaki yang romantik, iaitu salah satu ciri lelaki idamanku. Mungkin sebab itulah bekas kekasihnya teramat kecewa kerana teman lelaki seperti Jasley sukar ditemui.
***
"Kau ada apa-apa ke dengan Jasley tu?" soal Suzana. "Aku tengok Jasley asyik curi pandang kau aje," tambahnya.
"Ish, mana ada!"
"Takkan dengan aku pun kau nak sembunyikan," usik Suzana.
"Aku berkawan aje dengan dia. Macam aku berkawan dengan kau dan Azryl."
"Ah, aku tak percaya!"
"Terpulanglah," balasku.
Aku akui, memang sejak akhir-akhir ini aku agak rapat dengan Jasley. Namun begitu, cintaku masih belum beralih arah. Pada masa hadapan, aku sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku. Mungkin aku akan tertawan dengan sikap Jasley. Lagipun, hingga ke saat ini aku masih belum berani untuk meluahkan perasaan pada Azryl. Aku masih takut untuk menghadapi kenyataan andai aku hanya bertepuk sebelah tangan.
Jasley mengajak aku keluar lagi. Ini adalah kali kedua aku keluar bersamanya. Sesuatu yang tidak terduga telah berlaku. Jasley meluahkan perasaannya kepadaku! Tak sangka, selama hampir sebulan kami mengenali antara satu sama lain, dia rupa-rupanya dalam diam menaruh hati padaku. Aku meminta tempoh untuk memberikan kata putus. Aku perlu berfikir semasak-masaknya. Jasley mengharapkan agar aku tidak memberikan jawapan yang mengece-wakannya. Aku serba salah untuk menolak kerana Jasley memiliki ciri-ciri lelaki idamanku.



0 ulasan: