MENJEJAK MEMORI : BAB 4


SEORANG wanita lengkap beruniform meninggalkan tempat duduk dan menuju ke tangga bas yang baru berhenti. Elisa segera melabuhkan punggung di tempat yang ditinggalkan wanita itu sebelum disambar orang. Sudah lenguh kakinya berdiri sejak setengah jam yang lalu. Elisa memandang jam di tangan. Mengikut perjanjian, Aliya akan datang menjemputnya sekitar jam 7.30 petang. Bererti dia perlu menunggu sepuluh minit lagi. Sudah dihubungi gadis itu supaya datang menjemputnya segera, tetapi gagal. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Elisa menapak pulang ke asrama yang letaknya sejauh tiga kilometer dari kolej.
            Salah seorang lelaki yang berdiri tidak jauh dari kedudukannya asyik memandangnya. Elisa pura-pura tidak menyedari kelakuan lelaki itu yang cuba menarik perhatiannya. Lelaki itu yang masih berpakaian kerja menunjukkan yang dia bekerja di Kolej Indera Jaya, sebagai tukang cuci. Elisa tidak suka bersendirian. Dirinya sering diganggu kaum Adam. Pesanan abangnya masih kekal dalam ingatan. Abangnya tidak membenarkannya melayan lelaki-lelaki yang mengusiknya. Menurut abangnya, tiada lelaki yang jujur zaman sekarang. Bukan sahaja kaum Adam, kaum Hawa pun sama. Sebab itulah Azrul terlalu mengawal kehidupannya. Dia tidak dibenarkan berkawan dengan sembarangan orang. Kekadang Elisa menangis mengenangkan nasibnya. Azrul terlalu mengongkong kebebasannya.  
            “Tunggu bas ke?” Lelaki itu sudah berani menegurnya.
Elisa pura-pura tidak mendengar.
            “Tinggal kat mana?”
            Elisa pekakkan telinga. Huh, pura-pura tak tahu konon! rungut Elisa. Kad matriks yang tergantung di lehernya menunjukkan yang dia salah seorang penuntut Kolej Indera Jaya yang masyhur itu. Semua penuntut kolej tidak dibenarkan tinggal di luar. Semua penuntut harus tinggal di Pangsapuri Serindik yang mempunyai enam blok bangunan. Dua blok dikhaskan untuk pelajar lelaki dan empat blok pelajar perempuan.
“Semester berapa sekarang?”
Elisa tidak pedulikan pertanyaan lelaki itu. Akhirnya lelaki itu bangun meninggalkan perhentian bas. Mungkin dia malu tak dilayan Elisa yang berwajah masam mencuka. Tiba-tiba lahir perasaan simpati di hatinya kerana bersikap dingin pada lelaki tersebut yang mungkin berniat baik terhadapnya. Teringat dia peristiwa di padang sebentar tadi. Dia dan Rifqi sebenarnya sama saja! Masing-masing menyangka orang yang ingin berkenalan menyimpan niat serong.
Azrul yang mendidiknya supaya berfikiran negatif terhadap semua lelaki!
Argh... Rifqi tak guna! Elisa bengang dengan sikap Rifqi, sebab itulah mukanya kelat semacam. Dia tidak puas hati dengan sikap Rifqi. Belum pernah dia berhadapan lelaki yang bersikap ego seperti Rifqi.
            Matanya tiba-tiba tertancap pada sebuah Produa Viva yang sedang menyusur keluar dari kawasan kolej. Kalau bukan kerana Aliya, dia tidak akan tahu pemilik kereta tersebut. Siapa lagi kalau bukan lelaki paling sombong yang pernah ditemuinya. Dia masih bengang dengan sikap Rifqi tadi. Kalaupun tidak suka dengannya, janganlah sampai menghinanya. Dia sudah bercakap benar, tetapi Rifqi sewenang-wenangnya menuduh dia sedang berbohong. Dia tidak ingin berkawan dengan lelaki sombong. Andai Rifqi seorang lelaki yang baik sekalipun, dia tidak akan sudi menjalin persahabatan. Dia memang tidak suka mempunyai kawan yang lawan sejenis. Mereka suka mengambil kesempatan. Itulah yang sering disebut Azrul.
            “Kalaulah aku jadi girlfriend Rifqi, alangkah indahnya...”
            Elisa menoleh ke kanan. Seorang gadis sedang berangan menjadi teman wanita Rifqi. Dia tiba-tiba jadi simpati pada gadis itu. Malanglah gadis yang bakal menjadi suri hidup lelaki sombong itu...
            “Tak usahlah kau nak bermimpi, Yanti...” bidas seorang gadis yang berdiri di hadapan Yanti.
Elisa yakin dua orang gadis tersebut pelajar baru Kolej Indera Jaya. Ah, mana ada orang lain di sini. Semua yang ada di sini adalah penuntut dan pekerja di Kolej Indera Jaya. Kolej ini terletak jauh dari kesibukan kota. Ianya terletak di kawasan pinggir hutan, memberi ketenangan kepada seluruh penuntutnya dalam menuntut ilmu.
            Bas kolej berhenti untuk menurun dan mengambil penumpang. Bas tersebut hanya berulang-alik dari asrama dan kolej sahaja. Bas untuk ke bandar hanya bergerak pada hari minggu sahaja. Sedikit menyusahkan buat penuntut yang ingin ke bandar terutama yang tidak mempunyai kenderaan sendiri termasuk Elisa. Jika terdesak, terpaksalah menghubungi teksi. Tambang, mahal gila! Ramai menyangka kolej tersebut hanya menempatkan anak-anak orang berada sahaja.
Sebab itulah ramai pelajar yang membawa kenderaan sendiri. Elisa masih belum memiliki lesen memandu. Rata-rata rakan sekuliah yang sebaya dengannya sudah mempunyai lesen memandu. Elisa pernah menyuarakan hasratnya untuk belajar memandu, namun Azrul memintanya supaya menamatkan pelajaran di kolej terlebih dahulu. Selesai belajar dan mendapat diploma, barulah dia dibenarkan belajar memandu.
            Hon dari sebuah kereta yang berhenti di hadapan perhentian bas mengejutkan lamunan Elisa. Aliya sudah tiba dengan Myvinya. Elisa cepat-cepat bangun meninggalkan pondok perhentian bas dan melangkah ke kereta Aliya. Muka Aliya berseri-seri. Aliya mengharapkan khabar baik yang akan dibawanya.
            “Kau dah jadi kawan Rifqi sekarang?” aju Aliya sebelum Elisa sempat melabuhkan punggung di dalam kereta.
            Elisa menghela nafas lalu menggeleng.
            “Apa? Kau belum menjalankan rancangan kita?” soal Aliya.
Air mukanya terus berubah. Dia benar-benar mengharap agar Elisa akan menjadi orang tengah kepadanya dalam memburu cinta Rifqi. 
            “Dia sibuk berlatih tadi. Aku malas nak ganggu.”
Elisa berbohong. Tak sanggup dia hendak beritahu apa sebenarnya yang telah berlaku. Aliya pasti akan menuduhnya sengaja mahu merosakkan rancangan. Dia sememangnya sudah merosakkan rancangan. Dia sudah berterus terang. Mujurlah Rifqi tidak percaya yang dia hanyalah orang tengah. Rifqi percaya dia sendiri sebenarnya yang mahu menghulurkan salam perkenalan. 
            “Kau ni! Kalau dia sedang berlatih, kau tunggu ajelah sampai dia habis. Aku pun tak mahu kau ucap hai pada dia ketika dia sedang sibuk berlatih. Bendul betullah kau ni!” Geleng Aliya yang sememangnya tidak pernah cakap berlapik.
            Elisa pekakkan telinga. Dia sudah biasa mendengar kata-kata pedas dari mulut Aliya. Cuma mulutnya sahaja yang sedikit celopar, tetapi hatinya baik. Elisa mengenali Aliya sejak hari pertama mendaftar di kolej. Sejak hari itu mereka menjadi sahabat baik, tambah-tambah lagi mereka di tempatkan di unit asrama yang sama.
            “Esok, kau kena jayakan rancangan kita semula.”
Aliya tidak senang duduk selagi rancangan belum berjalan. Dia sudah tidak sabar hendak memperkenalkan Rifqi kepada orang tuanya sebagai bakal menantu. Aliya nekad hanya akan berkahwin dengan Rifqi. Lelaki itu pasti akan menjadikannya pengantin paling bahagia pada hari pernikahan. Gadis-gadis lain pasti akan mencemburuinya kerana dia berjaya mencairkan hati Rifqi yang keras itu.
            “Apa?” Mata Elisa bulat memandang Aliya. “Erm Aliya...” Elisa cuba meraih simpati. Cukuplah setakat ini lakonannya. Rancangan harus ditamatkan segera.
            “Kau tak kesiankan aku ke, Elisa? Kau kan tahu keadaan aku sekarang yang hampir gila gara-gara hati aku yang sudah tersangkut pada Rifqi. Kalau aku tak dapat cinta Rifqi, aku yakin aku akan jadi gila. Kau sanggup tengok ke kawan kau ni jadi penghuni Hospital Bahagia? Sanggup?” luah Aliya yang bijak berkata-kata.
            “Tapi...”
            “Elisa... hanya pada kau seorang sahaja aku boleh harapkan sekarang,rayu Aliya.
Kalau Rifqi seorang lelaki yang mudah didampingi, dia tidak akan meminta bantuan Elisa. Dia sudah siasat dari mereka yang arif dengan sikap Rifqi. Lelaki itu ego terutama dengan kaum perempuan. Jangan harap Rifqi hendak memberi muka walau secantik mana pun gadis itu. Aliya yakin tentu ada kisah silam yang melanda hidup Rifqi membuatkan dia bersikap anti perempuan. Mungkin lelaki itu pernah dikecewakan perempuan sebelum ini. Sebab itulah dia mengatur rancangan agar Elisa menjadi kawan baik Rifqi dan akhirnya mengorek rahsia silam lelaki itu. Rahsia tersebut amat berguna buat Aliya yang akan cuba mengubati lara Rifqi andai hati lelaki itu pernah tercalar.
            “Kau tak sudi tolong aku ke?” Berubah suara Aliya.
            “Okeylah... okeylah...”
Elisa sendiri tidak sampai hati hendak menghampakan harapan kawan baiknya itu. Selagi Rifqi belum menjadi kekasih hati Aliya, selagi itulah Aliya tidak akan dapat menumpukan perhatian pada pelajaran. Bibir Aliya pagi, petang, siang, malam asyik menyebut nama Rifqi sehingga Elisa naik muak. Dalam bilik pula penuh dengan gambar curi Rifqi. Sahabatnya itu sudah gila bayang. Sebelum menjadi lebih parah, Elisa kena membantu Aliya segera.
            Elisa nekad membantu Aliya mendapatkan cinta Rifqi. Tentu sukar hendak mendampingi Rifqi. Lelaki itu tentu bengang padanya yang telah meninggikan suara. Elisa terpaksa merendahkan diri meminta maaf dari Rifqi. Demi persahabatan dengan Aliya, Elisa sanggup lakukan apa saja walaupun terpaksa tunduk merayu.


0 ulasan: