MENJEJAK MEMORI : BAB 5


RIFQI menghela nafas. Dia menyandar di kerusi. Peristiwa petang tadi terbayang di ruang ingatan. Sekali lagi dia telah menolak ke tepi salam perkenalan dari kaum Hawa. Bukannya dia mahu bersikap kurang ajar atau jual mahal. Bukan juga terlalu memilih. Dia ingin menikmati indahnya dunia percintaan. Dia ingin melalui saat-saat manis itu. Namun entah mengapa berat benar dia hendak menyerahkan cintanya. Selagi matlamatnya belum tercapai, dia terpaksa menepis cinta yang hadir. Matlamatnya kini adalah mencari di mana Alia berada sekarang.
Lagu Seribu Impian dendangan Casey yang pernah popular satu ketika dulu sedang berkumandang dari komputer ribanya yang masih terpasang di atas meja. Kenangan lalu terus mengusik jiwanya. Persahabatannya dengan kanak-kanak yang disisihkan rakan-rakan lain itu bermula setelah beberapa bulan dia berpindah ke sekolah tersebut. Mulanya dia menyangka yang kanak-kanak itu seorang murid yang sombong kerana tidak pernah senyum apa lagi bercakap dengannya walaupun tempat duduk mereka bersebelahan.
Perlahan-lahan dia cuba mendekati kanak-kanak ‘misteri’ itu dan akhirnya usahanya berjaya. Rifqi suka berkawan dengan kanak-kanak itu kerana dia seorang murid yang bijak dan merendah diri. Kanak-kanak itu yang tidak pernah mengukir senyum mula mengukir senyum dan ketawa bila berkawan dengannya.
Rifqi tersenyum. Indahnya saat itu sukar dilupakan.
“Hoi, berangan ke!” Iqram menjerkah sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bilik.
Rifqi tercengang-cengang! Dia terkulat-kulat memandang Iqram dan kemudian menggeleng-geleng sambil meraup mukanya. Dia sudah terbawa ke dalam kenangan silam hingga memberi peluang kepada Iqram untuk mengenakannya.
Iqram terbahak-bahak. “Daun pintu berkeriut bunyinya pun kau tak sedar. Teruk betul! Angan kau dah sampai ke mana? Bulan? Bintang? Rif... Rif...” Iqram menggeleng kepala.
Dia kemudian mencapai tuala yang disangkut di kepala katil.
“Kau pun sama, tak reti nak bagi salam! Masuk mengejut saja! Tak sempat aku nak keluar dari angan-angan aku tu,dengus Rifqi sambil bangun meninggalkan katil.
Dia menggeliat, membetulkan urat pinggang.
“Kalau aku bagi salam pun, kau bukannya sedar. Terlalu asyik dengan angan-angan kau tu!” sindir Iqram. “Hei, kau berangan apa, hah? Kekasih ke? Kongsilah dengan aku. Aku janji akan pegang rahsia.” Iqram cuba mengampu.
Selama dua bulan mengenali Rifqi, dia tidak pernah mendengar Rifqi berbual tentang teman wanitanya atau berSMS. Mustahil lelaki seperti Rifqi masih bersendirian. Beberapa orang pelajar perempuan cuba mendekati Rifqi, tapi ditolak mentah-mentah. Tentu Rifqi setia pada yang satu.
“Aku bukan beranganlah! Aku... aku... dah menghampakan perasaan orang.” Suara Rifqi mendatar.
Dia teringat peristiwa di padang petang tadi. Selalunya dia langsung tidak berasa bersalah sebaik sahaja menolak perkenalan kaum yang satu itu. Tapi berlainan dengan petang tadi...
“Siapa pulak yang bernasib malang kali ni?” aju Iqram yang kagum dengan Rifqi.
Baru sahaja mendaftar di kolej, dia sudah mengumpul ramai peminat. Rifqi terus berada di tangga teratas senarai jejaka idaman pelajar perempuan. Kelibatnya di padang ketika bermain bola sepak menyebabkan namanya harum serta-merta. Iqram tidak hairan kenapa Rifqi cepat benar dipilih menjadi kapten kerana khabarnya Rifqi memang pemain bola yang hebat sejak di bangku sekolah lagi. Dia pernah mewakili Pasukan Bola Sepak Negeri.
“Tadi, ada sorang pelajar datang pada aku semasa aku sedang berlatih. Aku malas nak layan. Katanya, ada seorang pelajar perempuan nak berkenalan dengan aku. Kononnya, dia orang tengah saja. Aku tak percaya. Aku yakin dia yang nak berkenalan dengan aku. Tapi dia nafi.” Rifqi berharap dia membuat keputusan yang betul supaya perasaan bersalah tidak terlalu menekan jiwanya.
“Cantik tak?”
“Erm... boleh tahan.”
Dia sudah lupa raut wajah gadis itu, tapi lenggoknya... Kenapa susuk tubuh gadis itu dari arah belakang persis gadis yang sering muncul dalam mimpi aku? Adakah mereka orang yang sama? Kalaulah  aku dapat lihat raut wajah gadis di dalam mimpi itu, pasti aku dah dapat jawapannya kini.
“Fuh, ini mesti cantik ni! Aku tak pernah lagi dengar kau puji seseorang. Siapa nama dia?”
Rifqi menjongket bahu. “Entah... kami tak sempat berkenalan,luahnya dalam nada kecewa. Dia berharap akan menemui gadis itu lagi. Kali ini dia tidak akan menolak huluran persahabatan gadis itu.
“Eh, kau tentu kenal budak tu sebab kau dah lama belajar di sini.”
“Gina?” teka Iqram. “Dia kurus, tinggi macam model... kulit putih.” Setahu Iqram, Gina adalah gadis paling cantik di kolej.
“Gina tu aku kenal.”
“Ops, lupa! Kau tolak cinta Gina minggu lepas. Ha... mesti Misha. Kulit putih, hidung mancung, mata bulat. Kacukan Melayu Pakistan. Badan sedikit berisi.”
“Bukan... lain, lain! Badannya kurus. Tapi taklah kurus sangat.”
“Aliya? Badan sederhana tinggi. Rambut...”
“Alia?” pintas Rifqi. Matanya terbuntang luas. “Ada pelajar kolej ni bernama Alia?” Jantungnya terus berdenyut kencang.
“Ada. Budak akaun. Dia tu boleh tahan...”
Rifqi telan liur. “Sebaya dengan kita?”
“Itu aku tak pasti. Dia pelajar baru. Isy, takkan dia terpikat dengan kau. Setahu aku budak tu jual mahal sikit. Orang macam kita ni dia tak pandang. Maklumlah, dia tu budak dari golongan atasan...”
Rifqi terdiam. Lenggok gadis yang datang menemuinya petang tadi menerjah di ingatan. Jelas susuk tubuh gadis itu dari belakang sama seperti gadis yang sering muncul dalam mimpinya. Adakah dia Alia? Adakah dia kanak-kanak yang aku cari selama ini? Tak mungkin! Alia bukan dari golongan atasan. Tapi siapa tahu mungkin dia menjadi anak angkat keluarga atasan?
Rifqi bingkas bangun meninggalkan katil.
“Hei, kau nak ke mana?”
“Aku... aku mesti cari gadis tu! Erk... dia tinggal di blok mana?”
“Blok A. Tapi aku tak tahulah nombor rumahnya. Kenapa dengan kau? Kau kenal dia ke? Tapi kenapa masa di padang kau tak...”
“Aku pergi dulu!”

Rifqi mencapai kunci rumah yang disangkut di balik pintu. Dia terus melangkah keluar.

0 ulasan: