“TAHUN ini, sekolah kita telah dipilih menjadi tuan rumah karnival bahasa.
Pelbagai program telah diatur semasa hari karnival nanti.
Antaranya ialah pertandingan bercerita Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk
tahap satu dan dua, pertandingan mendeklamasikan sajak, action songs serta choral speaking,” terang Cikgu Munirah yang baru
sahaja selesai menghadiri mesyuarat di Pejabat Pendidikan Daerah. Mesyuarat
tersebut diadakan bagi membincangkan mengenai
karnival bahasa yang menjadi agenda setiap tahun. Setiap sekolah akan
menghantar wakil dalam setiap pertandingan. Pemenang akan mewakili zon dan jika
menang, mereka akan mewakili daerah. Seterusnya mereka akan bertanding di
peringkat negeri dan kebangsaan.
Seorang kanak-kanak teruja mendengar
penerangan Cikgu Munirah. Inilah saat yang dinantikan saban tahun. Dia
mengangkat tangan kerana persoalan yang bermain di fikirannya.
“Ya, Nurina?”
“Kami boleh sertai tak acara
tersebut?” soal Nurina yang sedikit waswas. Biasanya, murid tahun enam yang akan diberi
peluang untuk menyertai sebarang acara. Murid-murid tahun lima biasanya
disisihkan, maklumlah mereka masih mempunyai setahun lagi untuk menunjukkan
bakat.
“Sudah tentu. Sesiapa yang berminat
untuk menyertai acara yang dipertandingkan, sila datang hari Khamis untuk uji bakat. Kita akan buat pemilihan. Murid
terpilih akan mewakili sekolah.” Jelas Cikgu
Munirah yang tidak peduli soal umur. Yang penting adalah bakat. Sebab itu dia
mencadangkan uji bakat diadakan bagi memilih yang terbaik. Cadangannya diterima oleh
guru besar dan guru-guru lain.
“Esok ke cikgu?” soal Nurina lagi, berdebar-debar. Jika esok uji bakat
diadakan, bererti dia tidak boleh tidur malam ini. Dia mahu mengadakan latihan
segera. Bermula daripada mencari buku cerita menarik sehinggalah selesai
menghafalnya berserta dengan gaya sekali.
“Khamis minggu depan. Kalau esok,
manalah sempat kamu nak menghafal.” Cikgu Munirah tersenyum sambil menggeleng
kepala.
Nurina
menarik nafas lega. ‘Sempatlah aku ke perpustakaan untuk pinjam buku cerita,’
bisik hatinya yang melonjak gembira. Sebenarnya, sejak tahun lepas lagi dia
menantikan karnival bahasa. Impiannya adalah untuk mewakili sekolah dalam
pertandingan bercerita Bahasa Melayu.
“Bila karnival bahasa akan diadakan, cikgu?” Khalif, ketua kelas tahun 5 Amanah mengajukan pertanyaan.
“Hujung bulan depan. Jadi peserta
yang terpilih mempunyai banyak masa untuk berlatih. Kena berlatih
bersungguh-sungguh. Tahun lepas, tentu kamu masih ingat juara pertandingan
bercerita tahap dua iaitu Nur Farahin. Selain itu, sekolah kita juga menjuarai
pertandingan choral
speaking sehingga berjaya ke peringkat
negeri. Badri pula mendapat tempat kedua pertandingan mendeklamasikan sajak.”
Di tempat duduk bahagian tengah,
ingatan seorang murid yang bertocang satu itu sudah terbang melayang. Syifa
tidak dapat melupakan kenangan indah ketika menyertai choral speaking
peringkat negeri yang diadakan di Pulau Pangkor tahun lepas. Mereka mendapat
tempat ketiga. Sijil yang diterima masih elok berada dalam simpanannya. Piala pula
diletakkan di sekolah. Lebih membanggakan Syifa kerana dia salah seorang murid
tahun empat yang terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan tersebut.
Hanya dia dan Khalif sahaja murid tahun empat yang terpilih. Selebihnya adalah
murid tahun lima dan enam.
“Cikgu, murid tahun enam boleh
menyertai atau tidak pertandingan yang diadakan untuk tahap dua?” aju Syifa.
“Eh, mestilah boleh. Selain murid
tahun lima, murid tahun enam dan tahun empat juga akan turut menyertai pertandingan
andai mereka berbakat,” ujar
Cikgu Munirah sambil melihat jam di tangan. “Sesiapa nak menyertai uji bakat, sila berikan nama pada cikgu
selewat-lewatnya esok.”
Cikgu Munirah meninggalkan kelas.