PROMO MENJEJAK MEMORI : BAB 2 DAN 3
Dicatat oleh
Catatan ZZ
on Rabu, Mei 15, 2013
Label:
menjejak memori
/
Comments: (0)
2
“DIA handsome gila! Badannya tough,
tentu selalu pergi gym.” Gadis
berambut perang itu terus memuji lelaki idamannya.
Terasa ingin sahaja Elisa
menekup telinga rakan serumahnya itu. Namun pasti sahabatnya itu akan terasa.
Jika dia bertindak begitu, tak beradab namanya. Tetapi telinganya sudah letih
mendengar puji-pujian yang dilemparkan kepada Kapten
Bola Sepak Kolej. Lelaki itu memang bertuah. Baru sahaja
mendaftar di kolej sejak dua bulan yang lalu, sudah diberi kepercayaan untuk
mengemudi Pasukan Bola
Sepak Kolej Indera Jaya.
“Dia bukan saja hebat dalam
bidang pelajaran, malah juga dalam bidang sukan.
Bayangkan, baru dua bulan dia di sini, dia dah diberi kepercayaan untuk menjadi
kapten bola sepak. Minggu lepas, dia telah mengharumkan nama kolej kita. Dia
berjaya menjaringkan dua gol untuk membantu pasukan memenangi pertandingan bola
sepak antara kolej.”
Cerita yang sama diulang-ulang
lagi. Ingin sahaja Elisa menjerit pada gadis yang tak henti-henti berbicara
tentang kapten bola sepak itu supaya menghentikan saja siaran ulangannya itu.
Telinga Elisa sudah sakit. Telinganya juga sudah jemu mendengar. Sekali dua,
dia tidak kisah. Ini sudah berpuluh kali. Dia juga ada kerja lain, bukan setakat
menjadi pendengar saja. Tugasannya masih bertimbun yang belum siap. Sama juga
dengan Aliya. Bezanya, Aliya ramai kawan. Dia boleh minta tolong atau upah
sesiapa sahaja bagi menyiapkan tugasannya. Terutama kawan-kawan lelakinya. Soal
duit, Aliya tiada masalah. Elisa pula lebih suka bersikap jujur pada diri
sendiri.
“Setahu aku, dia masih single. Peluang aku untuk mendekatinya
masih cerah.”
Aliya menaruh harapan tinggi.
Itulah matlamatnya kini. Hati Rifqi harus dimiliki.
Elisa menggeleng. Aliya sudah
sangkut dengan rupa paras Rifqi, lelaki yang entah bagaimana rupanya. Elisa
tidak pasti sama ada dia pernah bertemu lelaki itu. Mungkin mereka pernah
bertembung. Selama ini dia hanya mendengar nama lelaki itu sahaja dari mulut
Aliya yang sudah gila bayang. Hebat sangatkah Rifqi sehingga membuatkan Aliya
dan para pelajar perempuan tergila-gilakannya? Sana sini orang bercakap pasal
Rifqi. Namanya naik mendadak kerana berjaya membawa pasukan bola sepak kolej ke
mercu kejayaan.
“Eh, Elisa! Kau tolong aku
boleh tak?”
“Tolong? Kau ada apa-apa
masalah ke?” Elisa sedikit tersentak.
“A’ha...
aku ada masalah besar.”
“Masalah besar?”
Berkerut kening Elisa.
Setahunya, Aliya memiliki segalanya. Dan gadis itu tidak pernah ditimpa masalah
besar.
“Kena saman?” duga Elisa.
Aliya selalu kena saman kerana
memandu laju dan melanggar lampu isyarat. Dalam sebulan, sekurang-kurangnya
sekali dia akan melakukan kesalahan jalan raya. Tapi itu bukan satu masalah
buat Aliya kerana dia mampu membayar denda andai dikenakan dua kali ganda
sekalipun. Ibu bapa Aliya bukan orang sembarangan. Bapanya berpangkat Tan Sri.
“Bukan... ni, masalah di
sini.” Aliya meletakkan tangannya di dada.
“Kau...”
Bicara Elisa terhenti apabila
pintu terkuak. Maria dan Laili melangkah masuk. Kedua gadis itu menghadiahkan
senyum hambar lalu melangkah masuk ke dalam bilik utama. Elisa dan Aliya tidak
begitu rapat dengan Maria dan Laili walaupun tinggal serumah. Jurusan yang
berlainan membuatkan mereka tidak rapat. Elisa lebih rapat dengan Aliya
walaupun usia mereka berbeza. Aliya muda dua tahun darinya. Tetapi mereka
berada di semester yang sama, iaitu semester kedua tahun pertama. Elisa lambat
mendaftar kerana dia terpaksa membuat persiapan sebelum bergelar pelajar.
“Kau ada masalah kesihatan?”
Elisa menyambung pertanyaannya.
“Kau ni... lambat benar nak
fahamlah!” rungut Aliya. “Aku dah jatuh cinta pada Rifqi. Setiap malam aku
mesti termimpikannya. Tolonglah aku, Elisa...
sehari kalau tak menatap wajahnya, aku tak boleh
hidup. Aku jadi gila bayang. Tolonglah aku,
Elisa...”
‘Tak guna!’ kutuk Elisa. Jantungnya masih berdegup kencang kerana
menyangka Aliya menghadapi masalah besar.
“Aku tak boleh buat apa-apa
kalau soal tu. Kau sendiri yang kena luahkan pada Rifqi.”
Elisa menolak mentah-mentah
permintaan Aliya. Dia tidak mahu masuk campur soal hati dan perasaan Aliya.
Biarlah Aliya yang uruskan sendiri. Lagipun, apa yang dia boleh buat... dia
bukannya pandai hendak berkomunikasi dengan kaum Adam. Soal itu, Aliya lebih
pakar. Bukankah kawan lelaki Aliya keliling pinggang?
“Kau nak aku dapat malu ke?
Rifqi tu bukan lelaki sembarangan. Dia jenis yang tak beri muka pada perempuan.
Gina pernah luahkan perasaan pada dia, tapi dia
tolak mentah-mentah! Kartika pun terima nasib yang sama. Aku tak nak jadi
seperti mereka. Menangis tak berlagu bila cinta ditolak.”
“Dah tu? Kenapa masih
terhegeh-hegeh lagi? Janganlah buang masa. Lupakanlah dia.”
“Aku dah cuba lupakan dia... tapi gagal. Semakin hari semakin aku sayang pada
Rifqi. Aku bukannya bodoh macam Gina dan Ika
yang terus luahkan perasaan mereka. Aku kena atur strategi. Kau kena tolong aku, Elisa. Mesti!”
Elisa menelan liur. Perit!
ELISA terjaga dari
tidur tengah malam itu. Perutnya memulas-mulas. Jam sudah melewati angka satu.
Dia harus ke tandas segera. Entah kenapa bulu romanya tiba-tiba sahaja
meremang. Terasa seperti ada yang sedang memerhatikannya. Dia segera bangun dan
memetik suis lampu. Cahaya terang benderang. Tiada sesiapa dalam biliknya.
Tetapi entah kenapa perasaan takut menguasai dirinya. Tentu tidak lain dan tidak
bukan dek penangan filem seram yang ditonton sebelum tidur. VCD itu ditontonnya
seorang diri. Dia mengajak Aliya menemaninya, tetapi Aliya sibuk dengan
aktiviti malamnya.
‘Aduhhh...’
Elisa memegang perutnya yang memulas-mulas. Dia harus berani!
Elisa terus melangkah keluar
dari bilik. Dia berhenti seketika. Menarik nafas. Gelap. Untuk memetik suis
lampu dapur, dia harus berjalan empat lima langkah. Matanya merawang sekitar
dapur. Akhirnya, mata Elisa tertancap ke bilik Aliya di sebelah biliknya. Kelihatan
cahaya terpancar dari celah bawah pintu. Dia menarik nafas lega. Pasti Aliya
sedang mengulang kaji pelajaran atau melayari Internet. Perasaan takut terus hilang menyedari Aliya
masih belum tidur.
Elisa memetik suis lampu bilik
air. Dia menolak daun pintu. Teringat dia cerita yang dibawa Laili. Menurut
Laili, dia ternampak kelibat lembaga hitam berdiri di tepi bilik air sekitar
jam 2.00 pagi. Ketika kejadian tersebut, Laili baru pulang selepas mengulang
kaji pelajaran bersama rakan-rakannya di aras lima. Namun sebaik sahaja
Laili memasang lampu, kelibat lembaga hitam terus hilang dari pandangan. Terus
sahaja Laili menyusup masuk ke dalam bilik kerana tiba-tiba sahaja dia berasa seram sejuk.
Sepuluh minit kemudian Elisa
melangkah keluar. Perutnya masih terasa sakit dan memulas-mulas. Tengah hari
tadi dia telah membeli nasi di gerai tepi jalan. ‘Argh...
inilah akibatnya!’ Elisa menggosok-gosok
perutnya.
Tiba-tiba telinganya menangkap
bunyi air yang sedang mengalir. Matanya terus tertancap ke arah singki dapur. Paip terbuka. Air sedang mengalir. Terus
meremang bulu romanya. Siapa yang membuka paip air???
Matanya merawang lagi. Nun di
balik pintu menuju balkoni dapur, dia ternampak kelibat seseorang.
“Siapa? Laili ke?” Dia beranikan diri menyapa kelibat seseorang di balik
pintu.
Diam. Tiada balasan.
“Maria?”
Senyap.
“Aliya? Aliya ke tu?”
Diam. Lemah lutut Elisa kerana
sapaannya tiada balasan.
“Hoi! Kau bercakap dengan
siapa?”
“Makkk!!!” Elisa menjerit
kuat.
Aliya ketawa terkekek-kekek.
Dia terjengul di muka pintu biliknya.
‘Kus semangat, aku.’ Elisa mengurut dada.
“Aku ingatkan kau kat belakang
pintu tu.”
“Laili?”
Elisa menjongket bahu. “Diam aje bila aku tanya.”
Aliya
terus menapak menuju ke balkoni dapur. Dia menolak daun pintu. Tiada sesiapa
yang kelihatan di situ.
“Tak de sesiapapun.”
Elisa telan liur! Bulu romanya
terus meremang.
3
ELISA menghampiri
padang bola dengan seribu satu macam perasaan. Takut, segan dan geram silih berganti mengambil
tempat di hatinya. Namun, demi sebuah persahabatan dia teruskan langkah. Dia
kuatkan semangat. Dia ketepikan fikiran negatif. Yang penting tugas harus
dijalankan sebaik mungkin. Tugas berat yang mungkin akan berjaya dan mungkin
juga tidak.
Dua
orang lelaki berpakaian sukan dengan muka berpeluh dalam raut keletihan
melangkah meninggalkan padang tempat latihan. Terus pandangan mereka tertumpu
ke arahnya yang sedang berdiri di garaj keseorangan. Elisa yakin mereka bukan
lelaki yang dicarinya. Wajah mereka biasa-biasa sahaja. Sedangkan Rifqi seorang
lelaki kacak seperti mana yang sering didengar dari mulut Aliya. Sekali
terpandang wajah Rifqi, pasti ingin menoleh kali kedua. ‘Hmm... ada-ada saja!’
“Rifqi masih berlatih?” aju
Elisa dengan penuh debar.
“Erm...
ye...” balas salah seorang lelaki tersebut. “Kenapa?”
“Ada hal nak jumpa dia. Yang
mana satu Rifqi?” aju Elisa sambil mata jatuh ke tengah
padang.
“Awak tak kenal lelaki yang
awak nak jumpa?” soal lelaki itu kembali dengan dahi berkerut.
Elisa geleng kepala. Dia bukan
nak tunjuk berlagak, tapi dia memang tidak mengenali Rifqi.
“Tu, sana!” Lelaki tersebut memuncungkan
mulut ke tengah padang.
“Baju-T hijau?”
“Hitam kuning.”
Mata Elisa terus tertumpu ke
arah lelaki yang memakai baju-T
berwarna hitam dan kuning. Ketinggian lelaki itu melebihi pemain-pemain yang
lain.
“Terima kasih,” ucap Elisa
dengan harapan kedua lelaki tersebut akan beredar segera. Elisa mahu bercakap
sendirian dengan Rifqi tanpa ada sesiapa.
“Awak ada urusan dengan dia?”
Elisa mengangguk.
“Urusan apa?”
“Kalau setakat nak berkenalan
dengan dia, baik lupakan saja. Dia takkan layan. Buang masa saja,” pesan lelaki yang
sedang melambung-lambung kunci kereta. Sejak tadi dia hanya berdiam diri.
Nampak seperti lelaki sombong.
“Saya bukan nak berkenalan
dengan dia. Saya ada urusan lain.”
Elisa menggigit bibir. Belum
apa-apa lagi kedua lelaki tersebut sudah tahu niat di dalam hatinya.
“You ada urusan apa dengan
dia?”
“Adalah.” Rimas Elisa kerana
kedua lelaki tersebut enggan berganjak. Mereka tentu sahabat-sahabat Rifqi.
“You pelajar baru ke?”
Elisa menggeleng. “Dah masuk
tahun akhir.”
Selamba Elisa berbohong. Kedua lelaki tersebut yang
tentu menyimpan niat hendak membulinya andai dia mengaku sebagai pelajar baru.
Para senior tak pernah beri muka dengan pelajar tahun pertama.
“Ye ke? Kenapa tak pernah nampak
you pun sebelum ni?”
“Betullah. I pun tak pernah
nampak you sebelum ni. Betul ke you dah lama belajar di kolej ni?” aju lelaki
yang berwajah sombong.
Dahi Elisa berkerut. Macam
mana dia mahu menyelesaikan tugas andai dia terus disakat kedua lelaki tersebut?
“Jom minum.”
Elisa menggeleng. Dia terus
beredar dari kawasan tersebut. Sebelum tembelangnya pecah, lebih baik dia
beredar terlebih dulu.
“Intan payung, tunggu!”
Elisa tidak mengendahkan
panggilan kedua lelaki tersebut. Dia terus melangkah meninggalkan kawasan
padang. Di kafeteria, dia menghabiskan masa. Sesekali dia memanjangkan leher
memandang ke bawah. Rifqi masih berlatih di bawah panas terik mentari petang.
Kedua lelaki yang menyakatnya tadi sudah tidak kelihatan di kawasan parkir tepi
padang.
Setengah jam kemudian barulah
kelibat Rifqi kelihatan meninggalkan padang. Elisa bergegas meninggalkan
kafeteria. Tugasnya sudah bermula. Dia berharap tiada halangan lagi untuk dia
mendekati Rifqi yang digilai Aliya itu. Dia tidak akan membantu Aliya andai
Aliya tidak jatuh sakit. Begitu teruk sekali penangan yang diterima Aliya
kerana terlalu mencintai Rifqi. Sampai demam!
Dari jauh Elisa melihat Rifqi sedang mengelap lehernya dengan tuala di
bawah sepohon pokok rendang di tepi padang. Elisa beranikan diri menapak, selangkah demi
langkah menghampiri lelaki itu. Bukan mudah untuk menghadapi lelaki ego itu.
Sebab itulah Elisa telah membuat beberapa persediaan. Dia berharap
persediaannya itu mencukupi untuk berhadapan dengan lelaki itu.
Kalau
bukan kerana Aliya, dia tidak akan berada di situ sekarang! Dia tentu berada di perpustakaan, menelaah pelajaran.
Aliya terus mendesak dan mendesak. Dia terpaksa akur akhirnya dengan permintaan
sahabat baiknya itu. Aliya ingin berkawan dan seterusnya bercinta dengan Rifqi.
Sudah lama Aliya memendam perasaannya itu. Sejak hari pertama Rifqi melangkah
kaki ke Kolej Indera Jaya, Aliya sudah jatuh hati pada Rifqi. Rupa paras Rifqi
telah berjaya menawan hatinya. Tapi Aliya tidak berani meluahkan perasaannya
apabila terdengar banyak cerita negatif mengenai lelaki itu. Dia bimbang
menerima nasib yang sama dengan gadis-gadis lain.
Lalu, rancangan pun diatur.
Aliya meminta supaya Elisa mendekati Rifqi terlebih dahulu. Elisa harus menjadi
kawan Rifqi. Setelah berkawan, Elisa harus memainkan peranan dengan memuji
Aliya di depan Rifqi sehingga Rifqi akhirnya akan tertarik untuk mengenali
Aliya lebih dekat. Rancangan itu tidak disetujui
oleh Elisa. Elisa sedar setakat mana bakat lakonannya. Namun Aliya terus
merayu. Elisa tidak sampai hati menghampakan permintaan Aliya apabila Aliya
jatuh sakit.
Elisa
yakin Rifqi menyedari kehadirannya. Rifqi sengaja pura-pura tidak melihat
kelibatnya. Sikap ego yang ada dalam diri lelaki itulah yang membuatkan lelaki
itu enggan berpaling atau menegurnya. Elisa meniup kekuatan dalam diri. Debaran
masih terus melanda dirinya. Dia bimbang penerimaan Rifqi ke atasnya. Sudikah
lelaki itu menjadi sahabatnya? Mungkinkah Rifqi akan menolak tali persahabatan
yang ingin dihulurkannya? Jika begitu, Elisa yang akan menerima tamparan malu. ‘Ah, aku dan Rifqi sahaja yang tahu, bukannya
seluruh warga kolej.’ Elisa memberanikan diri.
Resah
terus melanda Elisa. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan.
Walaupun kata-kata sudah disusun, namun sebaik sahaja berhadapan dengan Rifqi,
terus hilang segala kata-kata yang disusun itu. Patutlah Aliya tak dapat tidur
malam gara-gara angaukan Si Rifqi. Lelaki itu
memang kacak.
“Ehem!”
Elisa pura-pura batuk supaya Rifqi menoleh ke arahnya seperti yang sering
ditonton di kaca televisyen. Malangnya, lakonannya itu tidak berjaya. Rifqi
langsung tidak menoleh ke arahnya. Lelaki itu sibuk mengikat tali kasut yang
dipakainya. Elisa terasa diri bak patung tak bernyawa. Mustahil Rifqi tidak
menyedari kehadirannya. Hanya mereka berdua sahaja di bawah pokok rendang
ketika itu.
‘Pandanglah aku,
Rifqi agar aku boleh memulakan bicara. Takkanlah kau tak perasan kehadiran aku.
Aku bukannya semut kecil. Mustahil kau tak perasan kehadiran aku.’
“Dah
habis berlatih untuk hari ni?” Percubaan kedua Elisa diharapkan berjaya. Dia
mahu selesaikan segera rancangannya bersama Aliya. Hari sudah merangkak senja.
Namun, Elisa sedar bukan mudah hendak menjayakan rancangan tersebut. Sebab
itulah dia awal-awal lagi sudah menolak, tetapi
Aliya enggan mengalah dan terus mendesaknya.
Rifqi
menghela nafas. Dia mencabut kemuncup yang melekat pada kaki seluar sukannya.
Dia enggan mempedulikan kehadiran gadis tersebut kerana yakin gadis tersebut
tentu ingin menjalin persahabatan yang tidak ikhlas dengannya, sama seperti
dengan gadis-gadis yang ditemuinya sebelum ini. Sudah acap
kali dia berhadapan dengan gadis yang menghulurkan persahabatan dengan
niat lain. Cintanya yang ingin dimiliki gadis-gadis tersebut sebenarnya,
bukannya sebuah tali persahabatan yang jujur dan ikhlas.
“Maaflah,
saya tak ada mood nak berkenalan
sekarang,” ujar
Rifqi, bingkas berdiri setelah selesai mencabut kemuncup.
Rifqi mencapai tuala yang
tersangkut pada dahan pokok lalu disumbatkan ke dalam beg sukannya.
“Saya
bukan nak berkenalan!” pintas Elisa walaupun itulah rancangannya yang sebenar.
Demi mendengar kata-kata Rifqi
yang berbaur sombong dan menyakitkan hati, dia rasa tercabar. Elisa terus
menafikan niatnya yang ingin berkenalan dengan Rifqi. Niat ingin berkenalan
demi menjayakan rancangan Aliya terus terpadam.
Rifqi
terpana! “Kalau bukan nak berkenalan, dah tu apa? Kita ada sebarang urusan ke?”
aju Rifqi dengan nada tinggi sambil otak ligat berfikir jika dia pernah menemui
gadis itu sebelum ini.
Tidak, dia tidak pernah
bertemu dengan gadis itu sebelum ini. Jadi, dia tiada apa-apa urusan dengan
gadis itu.
Elisa
menggeleng. Hatinya terhiris dengan nada suara Rifqi. Mukanya terasa tebal. Dia
malu sangat saat itu dengan layanan Rifqi ke atasnya. Lelaki itu melayannya
seolah-olah dia adalah musuh. Sedangkan mereka saling tidak mengenali sebelum
ini. Dia sepatutnya sudah menjangkakan sikap Rifqi yang sombong itu. ‘Kalau tak suka pun, cakaplah elok-elok.’
“Jadi?”
Langsung tiada garis senyuman di bibir Rifqi.
“Kawan
saya yang nak berkenalan dengan awak.”
Elisa berterus terang. Tak
kuasa dia hendak meneruskan rancangan Aliya. Lebih baik dia berterus terang
agar Rifqi tidak menghinanya lagi. ‘Ah, aku pun
tak ingin berkenalan dengan kau! Perasan!’
“Kawan
awak nak berkenalan dengan saya?” ajuk Rifqi
kembali.
Sebentar kemudian dia
tersenyum sinis. Elisa bengang dengan sikap Rifqi yang menyakitkan hati itu.
“Tak
payahlah nak berlakon. Berterus terang saja...
awak sebenarnya yang mahu berkenalan dengan saya. Kan senang! Tak payahlah nak
kaitkan kawan awak pulak.”
Sindir Rifqi yang pernah
menghadapi situasi tersebut sebelum ini. Ada seorang gadis datang menemuinya.
Konon mahu menjadi orang tengah kepada kawannya. Alih-alih sebulan kemudian,
gadis itu terus meluahkan perasaannya. Rifqi pantang dengan gadis yang suka
menipu dan tak berani hendak berterus terang.
“Saya
nak berkenalan dengan awak? Tolonglah... saya pun tak ingin ada kawan yang ego
tak bertempat macam awak! Perasan!” bentak Elisa di luar kesedarannya.
Dia terus mengayun langkah meninggalkan gelanggang tersebut
dengan api kemarahan yang sedang marak membakar seluruh tubuhnya.
Rifqi
terpana dengan bicara dari mulut mungil gadis itu! Dia tidak pernah menerima
tempelak dari seorang gadis sebelum ini. Rifqi toleh kiri dan kanan. Dia
menarik nafas lega kerana menyedari yang hanya dia sahaja yang berada di
kawasan tersebut. ‘Sial!’
Dia menggenggam penumbuk.
Gadis
kurang ajar itu sudah melangkah pergi. Lenggok gadis tersebut tiba-tiba
mengingatkan Rifqi pada seseorang. Dada Rifqi berombak keras. Dia tergamam
seketika. Itulah gadis yang sering menghantui mimpinya.
“Hei,
awak!” jerit Rifqi.
Namun
gadis itu yang sudah berada jauh terus berlalu tanpa mempedulikan panggilannya.
Rifqi terus mengejar gadis
yang sedang membelok ke bangunan pentadbiran itu. Sebaik sahaja tiba di hadapan
bangunan pentadbiran, kelibat gadis itu sudah hilang!
Rifqi meraup mukanya. Mimpikah
aku? Dia mendongak ke barat. Matahari sudah hampir terbenam.
*Novel MM boleh dibeli terus dari saya atau dapatkannya di KarnaDya
PROMO MENJEJAK MEMORI - PROLOG & BAB 1
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
menjejak memori
/
Comments: (0)
PROMO MENJEJAK MEMORI - PROLOG & BAB 1
PROLOG RIFQI memasukkan biji getah yang dikutip bersama Azizul dan Rahmat ke dalam balang. Mulutnya kumat-kamit mengira biji getah. 1...
PROLOG RIFQI memasukkan biji getah yang dikutip bersama Azizul dan Rahmat ke dalam balang. Mulutnya kumat-kamit mengira biji getah. 1...
ALIA & MENJEJAK MEMORI
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
alia,
menjejak memori
/
Comments: (0)
Journal Of My Life: ALIA & MENJEJAK MEMORI
Apa kaitan novel kanak-kanak Alia dengan novel dewasa Menjejak Memori? Sebenarnya, Menjejak Memori yang diterbitkan pada tahun 2009 ada...
Apa kaitan novel kanak-kanak Alia dengan novel dewasa Menjejak Memori? Sebenarnya, Menjejak Memori yang diterbitkan pada tahun 2009 ada...
PROMO KALUNG : BAB 2 & 3
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
Kalung
/
BAB 2
“Nah tetap tak setuju!”
“Takkanlah abang nak halau mereka Nah. Ke mana mereka
nak pergi lagi kalau abang halau mereka?”
“Ke rumah mak bapak merekalah! Mereka bukannya anak yatim piatu. Mereka
masih ada orang tua!”
“Kan Nia dah bagitahu yang Yah mintak mereka ke sini.
Yah dan suaminya akan menyusul kemudian.”
“Mula-mula dua orang datang. Lepas ni dua orang lagi.
Jenuhlah kalau macam ni bang. Rumah kita bukannya besar. Dah le nak makan pun
tak cukup! Nah tak kira, abang kena suruh budak dua orang tu keluar segera esok
pagi dari rumah kita ni.”
“Nah… nak keluar dari sini bukannya mudah.”
“Macam mana mereka nak keluar dari sini tu masalah
mereka bang. Bukan masalah kita. Tapi sebaliknya kalau mereka terus tinggal
sini, itulah masalahnya. Selama ni kita bertiga pun tak cukup, ini nak tambah
dua lagi! Teruklah kalau macam ni!”
“Mereka duduk sini sementara saja Nah. Bila Yah dengan
suaminya menyusul nanti mereka akan pergi. Nah kena bersabar. Mereka tu bukan
orang lain. Anak saudara kita juga.”
“Anak saudara abang sorang saja tau! Bukan anak saudara
Nah! Nah tak nak bertanggungjawab kalau sesuatu berlaku pada mereka!”
Malam itu aku terdengar perbalahan mulut antara Pak Long
dan isterinya dari bilik sebelah. Kehadiran aku dengan Irfan yang tak diundang
rupa-rupanya tidak disenangi oleh Mak Long. Kalaulah aku tidak berjanji pada
ibu untuk menunggu kehadirannya, pasti saat ini juga aku mengajak Irfan untuk
meninggalkan rumah Pak Long segera. Aku tidak mahu perbalahan Pak Long dan Mak
Long berlanjutan.
Irfan sudah dibuai mimpi saat aku terdengar perbalahan
Pak Long dan Mak Long. Irfan asyik merungut sejak tiba di rumah Pak Long.
Televisyen tak ada, radio pun tak ada. Bilik air pula di luar. Aku hanya mampu
meminta Irfan supaya bersabar untuk sedikit hari lagi. Bila ibu sudah datang,
kami akan kembali ke bandar.
Setelah tidak terdengar lagi perbalahan dari bilik
sebelah, aku lantas menarik bantal yang diserahkan Pak Long kepadaku sebelum
aku masuk bilik. Bantal tersebut tidak bersarung. Bau hapak menusuk ke hidung. Aku
menepuk-nepuk bantal tersebut untuk membuang habuk yang melekat. Aku tidur di
tengah-tengah antara Irfan dan nenek.
Nenek sedang terbaring lena. Mukanya berkedut seribu.
Aku tidak menyangka dapat berkenalan dengan nenek. Ibu juga tidak pernah
menyebut tentang nenek sehingga aku menyangkakan yang aku tidak mempunyai nenek
sebelah ibu. Sayangnya ingatan nenek sudah pudar. Banyak yang nenek sudah tidak
ingat. Penglihatannya juga lemah.
Kesejukan mencengkam sehingga ke tulang. Aku membuka beg
pakaian lalu mengeluarkan kain batik untuk dijadikan selimut. Malam itu aku
tidur dengan lena kerana terlalu letih.
* * * * * *
Pertengahan Februari….
“Kak!”
Aku terpinga!
Segera aku toleh ke belakang. Irfan tersengih-sengih, menayang dua batang gigi
kapaknya yang baru tumbuh.
“Fan nak kakak mati
ke?” kus semangatku diterjah Irfan dari belakang. Sudahlah aku waktu itu sedang
asyik melayan perasaan sambil mengamati banglo biru di puncak bukit dengan
khayalan yang pelbagai memenuhi ruang kotak imaginasiku.
“Kakak janganlah
cakap macam tu… Fan tak nak duduk sorang….”
Muka Irfan berubah muram. Irfan baru balik dari sekolah
kerana menghadiri aktiviti kokurikulum. Setelah seminggu berada di kampung,
akhirnya aku mendaftar nama Irfan di sekolah rendah berhampiran. Itulah pesanan
ibu, supaya aku mendaftar Irfan di sekolah berhampiran sebaik sahaja tiba di
kampung. Seminggu berlalu barulah aku mendaftar nama Irfan. Aku sengaja tunggu
kedatangan ibu dan abah yang berjanji hendak menyusul. Setelah seminggu, ibu
dan abah masih tidak kelihatan batang hidup mereka. Aku terpaksa mendaftar
Irfan di sekolah rendah berhampiran. Kelas Irfan hanya ada 12 orang pelajar
sahaja.
“Lain kali jangan
kejutkan kakak macam tu lagi.” Aku memberi peringatan. Aku memang tidak suka
dikejutkan dari arah belakang. Semangatku lemah.
“Maafkan Fan….
Kakak termenung apa tadi sampai Fan datang pun kakak tak sedar? Kakak
teringatkan ibu dengan abah ke?” aju Irfan. “Fan pun selalu ingatkan mereka.
Bila ibu dengan abah nak datang kak? Fan dah penat menunggu. Dah lebih sebulan
kita di sini… tapi ibu dengan abah tak muncul-muncul juga.” Rungut Irfan.
Orang tuaku masih
belum muncul seperti yang dijanjikan mereka. Setiap detik aku teringatkan
mereka. Namun aku enggan luahkan pada Irfan. Aku tidak mahu fikiran Irfan
terganggu. Aku sendiri sebenarnya tidak dapat memberi jawapan kepada Irfan.
Walaupun kepalaku hampir pecah memikirkan mengapa aku dan Irfan dipaksa pulang
ke kampung, jawapan munasabah masih belum juga ditemui.
Tak mungkin ibu dan
abah tidak sanggup lagi menjaga aku dan Irfan… Kalau ibu dan abah tak sanggup
memikul tanggungjawab, tentu sejak kecil lagi aku, Irfan dan kakak telah
dibuang. Tetapi kami dibelai dan dijaga sehingga besar. Kalau ibu dan abah tak
sanggup memikul beban, tentu aku dipaksa berhenti belajar dan mencari kerja
bagi meringankan beban mereka. Namun sebaliknya pula yang berlaku. Selepas
tamat STPM, aku mahu mencari kerja tetapi ibu berkeras menghalang. Aku dipujuk
ibu meneruskan pelajaran di kolej kerana gagal menempatkan diri di universiti
seperti teman-temanku yang lain. Kakak bersetuju dengan pendapat ibu. Kakak
berjanji hendak menyaraku.
“Kak… Fan rindu
ibu… abah…..”
“Kakak teringin nak pergi ke banglo besar atas bukit
tu.” Aku menukar tajuk perbualan, bimbang air mata menitis. Mataku tertancap
pada sebuah banglo yang dicat warna biru. Banglo tersebut dibina di atas salah
sebuah bukit yang mengelilingi Kampung Jerai Tua. Tiada rumah lain yang
kelihatan berhampiran banglo tersebut. Siapakah pemilik banglo tersebut?
Tentunya dia bukan calang-calang orang. Tentunya dia seorang yang berpengaruh
di kampung ini. Kediamannya jauh beza dengan kediaman Pak Long dan penduduk
Kampung Jerai Tua yang lain.
“Jangan kak!”
halang Irfan. “Mael cakap banglo tu berhantu! Tak ada sesiapa yang berani ke sana . Kalau kita ke sana , kita tak akan
kembali ke kampung lagi.” Tukas Irfan bersungguh-sungguh. “Jojo pulak pernah
beritahu Fan yang ayahnya terserempak dengan jembalang berbulu tebal kat situ.”
Berhantu? Aku
tersenyum dan menggeleng. Terasa lucu mendengar bicara Irfan. “Mana ada hantu
zaman sekarang… Fan.” Aku tidak mahu Irfan terpengaruh dengan cerita karut dari
teman sekolahnya. Bukan setakat budak-budak, penduduk kampung pun ramai yang
masih percaya dengan cerita tahyul. Sejak menjejakkan kaki ke kampung tersebut,
aku sudah dapat merasa sikap sebahagian penduduk kampung yang agak pelik.
Mereka terlalu percayakan cerita karut-marut. Sentiasa ada hantu syaitan
melingkari hidup mereka. Jadi, apa yang hendak dilakukan mereka harus ada jampi
serapah atau memakai tangkal pendinding.
Aku yakin banglo
tersebut berpenghuni. Lampu sentiasa menyinari banglo tersebut pada malam hari.
Bererti banglo tersebut memang berpenghuni. Siapakah pemilik banglo tersebut?
Kenapa banglo tersebut dikatakan berhantu sedangkan ada penghuni yang tinggal
di dalamnya? Jika berhantu tentu tidak ada yang berani tinggal di situ. Aku
teringin ke situ untuk melihat banglo tersebut dari jarak dekat namun aku tidak
tahu jalan manakah yang harus kulalui. Nampak seperti tiada jalan ke banglo
tersebut!
Ingin kuajukan
misteri banglo tersebut kepada seseorang, tapi tidak tahu siapa yang harus
diajukan pertanyaan tersebut. Aku masih belum mengenali lebih rapat penduduk
kampung itu. Yang aku kenal hanyalah dua tiga orang jiran Pak Long. Jika aku
membuka mulut mengenai banglo tersebut, air muka orang yang diaju pertanyaan
akan berubah. Jelas tergambar kebencian di wajah mereka.
Nak ajukan pertanyaan pada Mak Long, jangan harap! Mak
Long tak ingin berbual denganku apatah lagi tentang topik tersebut. Mak Long
memang tak suka padaku dan juga Irfan. Mak Long hanya tahu mengarahkan aku buat
itu ini sahaja. Nak ukir senyum pun susah! Marah benar Mak Long kerana suaminya
bersetuju untuk membenarkan kami menetap sementara di rumahnya. Kalau aku sahaja
yang menjadi sasaran kemarahan Mak Long, aku tak peduli sangat. Malangnya,
Irfan yang belum mengerti apa-apa juga dihentam Mak Long.
“Fan… kenapa tak
balik lagi?” tegurku apabila melihat Irfan masih tak berganjak. Irfan sedang
leka merenung arus sungai. Asyik sekali! Di bandar, tiada sungai sejernih air
sungai di sini. Sungai di bandar sudah tercemar. Ia menjadi tempat pengumpulan
sampah sarap sehingga airnya bertukar keruh dan berbau hanyir.
Sejak tinggal di sini, setiap hari Irfan pasti akan
mandi di sungai terutamanya selepas balik sekolah. Air sungai masih belum
tercemar. Ikan-ikan yang berenang boleh dilihat dengan jelas. Betapa jernihnya
air di sini. Satu sikap orang kampung yang harus dipuji adalah mereka tidak
sanggup hendak mencemarkan sungai di kampung mereka dengan sampah sarap. Selain
menjadi tempat kanak-kanak bermandi-manda, sungai tersebut juga menjadi tempat
orang kampung mencuci pakaian.
Irfan menggeleng.
“Fan nak balik dengan kakak,” ujarnya tanpa memandang wajahku. Benarkah Irfan
sedang menikmati keindahan sungai? Atau Irfan sebenarnya sedang terkenangkan
ibu dan abah?
“Kakak nak duduk
lama sikit, Fan.” Aku mahu mencari ketenangan di situ. Biarpun ketenangan
sementara…. Badanku letih membuat kerja rumah sejak awal pagi. Setelah selesai melipat
kain, barulah aku melangkah keluar dari rumah. Ketika aku meninggalkan rumah,
Mak Long yang sentiasa mengawal gerak-geriku tiada di rumah. Aku juga perlukan
rehat secukupnya. Jika asyik didera dengan membuat macam-macam kerja mungkin
lama-kelamaan aku akan jatuh sakit. Jika aku jatuh sakit, tak ada sesiapa lagi
yang akan menjaga Irfan. Sebab itu aku curi-curi keluar untuk menghirup udara
segar.
Aku sudah maklum jadual harian Mak Long. Dia bangun pagi
selepas angka sembilan. Selepas mencuci muka, dia akan mengisi perut. Jika ada
yang tidak kena dengan sarapan yang aku buat, mulalah dia mengomel. Dituduhnya
orang bandar seperti aku langsung tak pandai memasak. Masinlah, tawarlah dan
macam-macam lagi komen yang diberinya. Yang peliknya, kuih atau jemput-jemput
yang aku hidangkan padanya tak pernah tak habis walaupun tak sedap!
Selepas perut kenyang, Mak Long akan keluar. Ke mana,
aku belum pasti. Yang pasti, dia bukan keluar bekerja. Tengah hari Mak Long
akan balik untuk makan. Seperti biasa, ketika sedang menjamu selera, dia akan
komen itu ini akan masakan yang aku sediakan. Kemudian Mak Long akan tidur.
Sebelah petang Mak Long akan keluar lagi sehingga waktu Maghrib. Entah ke
manalah Mak Long menghabiskan masanya.
“Kalau macam tu, Fan akan temankan kakak.”
“Fan dah siapkan
kerja sekolah?” aku tidak mahu Irfan lama-lama di situ. Nanti semua kerja
sekolah tak sempat disiapkannya. Aku mahu dia menyiapkan semua kerja sekolahnya
sebelum hari gelap. Irfan tentu tidak selesa andai terpaksa menyiapkan kerja sekolahnya
di sebelah malam dengan cahaya dari pelita ayan. Lagi pula, pelita ayan hanya
ada tiga biji sahaja. Mak Long akan merepek sakan andai Irfan menggunakan
pelita ayan untuk menyiapkan kerja sekolah.
Irfan menggeleng.
Keras betul hatinya.
“Fan?” aku tidak
mahu Irfan menjadi pemalas. Hanya pelajaran sahaja yang dapat mengubah
kehidupannya suatu hari nanti. Nak harapkan harta warisan orang tua, tak
usahlah bermimpi. Ibu dan abah tak punya harta walau seutas rantai emas pun.
“Fan tak tahan kak.
Mak Long asyik membebel aje. Itu tak kena! Ini tak kena!” luah Irfan setelah
terdiam seketika. Tergambar kebencian di wajahnya ketika menyebut nama Mak
Long.
“Mak Long tak ada
di rumah sekarang. Kan
kakak dah pesan, pedulikan apa yang Mak Long cakap.” Aku hanya mampu memberi
nasihat kepada Irfan. Untuk bertindak menghalang Mak Long, kudratku lemah. Aku
tidak mampu. Aku dan Irfan hanya menumpang di rumahnya. Segala kelakuan harus
dijaga supaya Mak Long tidak menghalau kami. Walaupun Pak Long pemilik rumah
tersebut, namun Mak Long yang lebih berkuasa. Silap haribulan aku dan Irfan
mungkin dihalau Mak Long. Pak Long tak akan dapat menghalang keputusan
isterinya. Dia seorang suami yang patuh pada kata-kata isteri.
Entah ke manalah aku dan Irfan hendak melangkah pergi.
Hendak pulang ke bandar, aku sudah tidak punya duit. Dan jika mahu keluar dari
kampung juga, bukannya mudah. Perlu minta orang kampung untuk menghantar ke
pekan. Itu pun jika ada orang kampung yang sudi membantu. Sudah sampai ke
pekan, aku harus menumpang teksi pula untuk ke Pekan Manggis. Hanya di Pekan
Manggis, perkhidmatan bas ekspres disediakan. Jaraknya bukan dekat dan
tambangnya juga bukan murah.
“Telinga Fan
bukannya pekak, kakak. Fan tak tahan lagi tinggal di rumah Mak Long.”
“Dah, dah....” Aku
membelai mesra Irfan. Aku simpati padanya. Dalam usia semuda itu, Irfan telah
melalui pelbagai dugaan. Paling aku bimbang, mampukah Irfan menempuhi segala
dugaan tersebut. Aku sendiri pun hampir mengalah apa lagi Irfan. Telingaku juga
panas setiap kali mendengar cacian Mak Long. Ingin melawan, bimbang aku dan
Irfan dihalau. Mak Long memperlakukan aku seperti hamba abdi. Sedangkan dia
hanya goyang kaki. Dia sengaja mengambil kesempatan ke atasku. Dipaksanya aku
buat kerja itu ini kerana menumpang di rumahnya secara percuma.
“Kita balik ke
bandar kak. Fan tak suka tinggal di sini.” Luah Irfan. “Fan rindukan abah dan
ibu. Fan juga rindukan teman-teman sekolah lama. Mereka semua baik. Tak seperti
teman sekolah di sini. Mereka hanya tahu membuli Irfan kalau Irfan tak mengikut
cakap mereka.”
“Fan, Fan lupa ke
pesan abah dengan ibu? Abah dengan ibu yang suruh kita ke sini. Tentu ada
sebabnya mereka minta kita ke sini, kan ?”
sebab yang aku sendiri masih belum dapat pastikan.
“Ibu janji nak datang dengan abah. Kenapa tak
datang-datang lagi? Fan dah bosan tinggal sini. Fan nak balik. Fan tak suka
tinggal di sini, kak….” Rengek Irfan.
“Ibu dengan abah dah janji. Pasti ibu dan abah akan
datang. Fan jangan bimbang. Kita tunggu saja.” Aku cuba meyakini Irfan walaupun aku
sendiri sudah tidak yakin lagi. Harapan ibu dan abah akan menyusul seperti yang
dijanjikan kian menipis saban hari. Kalau ibu dan abah mahu menyusul, tentu
mereka akan menyusul awal-awal lagi. Ini tidak. Terasa sudah berkurun di situ…
di Kampung Jerai Tua, kampung kelahiran ibu…. Hari sudah berganti minggu dan
minggu berganti bulan namun kelibat ibu dan abah masih belum kelihatan….
Ibu tidak pernah menceritakan tentang kampung
halamannya. Ini membuatkan aku menyangka yang ibu orang bandar yang tidak berkeluarga.
Dan aku sangkakan kisah hidup ibu sama seperti abah. Abah dari tanah seberang,
datang ke Malaysia
untuk mencari rezeki. Kenapa sehingga usiaku mencecah 20 tahun lebih, baru ibu
membongkarkan kampung kelahirannya, aku tiada jawapan. Mungkin ibu malu dengan
kampung halamannya yang masih belum menerima arus pemodenan…
BAB 3
Awal Mac….
Aku
melangkah anak tangga kayu satu demi satu. Anak tangga kayu itu yang hampir
reput menuntut aku untuk lebih berhati-hati. Mahu minta Pak Long gantikan kayu
tersebut, bimbang nanti dituduh mengada-ngada pula.
“Abang
oi, kita nak makan apa malam ni? Beras dah habis.”
Baru
sebelah kakiku melangkah ke beranda, terdengar laungan lantang Mak Long dari
arah dapur. Pak Long yang sedang menggulung rokok daun di beranda bingkas
bangun. Rokok diselit celah bibir. Pemetik api dihidupkan lalu diacukan ke
hujung rokok daun. Muka Pak Long tampak tak bermaya. Aku bimbang akan
kesihatannya yang mungkis terjejas kerana terpaksa bekerja lebih keras sejak
kedatangan aku dan Irfan.
“Abang
ni tak dengar ke apa Nah cakap?” tengking Mak Long yang sudah tercegat di muka
pintu. Dia bercekak pinggang, bergaya seperti seorang boss.
“Abang
dengar... abang nak pergi beli ni,” jawab Pak Long malas sambil menggulung kain
pelikat yang hampir londeh.
“Ayam
belakang rumah tu siapa nak bagi makan? Dah nak masuk Maghrib ni, ayam tak bagi
makan lagi!” rungut Mak Long sambil menjeling ke arahku.
“Biar
Nia pergi beli beras.” Aku mempelawa diri. Memang itulah tujuan sebenar Mak
Long, mahu menyuruh aku ke kedai untuk membeli beras. Mak Long memang tak suka
kalau melihat aku dalam keadaan tidak bekerja. Setiap minit kena ada kerja yang
aku lakukan. Mak Long menganggap aku dan Irfan seperti bala yang datang untuk
menambahkan kesengsaraan keluarganya yang dihimpit kemiskinan.
Pak
Long membuka beg tembakaunya lalu mengeluarkan not sepuluh ringgit. “Beli tiga kilo beras.” Pak Long menghulurkan
duit kepadaku.
Aku
mengambil duit yang dihulurkan Pak Long. Duit yang lembap dan berbau tembakau
itu menusuk hidungku. Aromanya menyesak nafasku.
“Dulu,
tiga kilo cukup untuk seminggu. Sekarang ni hanya dua tiga hari je. Jenuh le
kalau macam ni setiap hari!” sindir Mak Long.
Aku
terus melangkah menuruni anak tangga. Apa yang dicakapkan Mak Long memang
betul. Kedatangan aku dan Irfan hanya membebankan keluargnya. Pendapatan Pak
Long tidak seberapa. Pak Long penoreh getah. Jadi, pendapatan Pak Long ikut
keadaan cuaca. Jika kemarau, banyaklah sikit pendapatannya. Namun terpaksa
dibahagi dua dengan majikan kerana kebun getah bukan milik Pak Long. Pak Long
hanya kuli. Mak Long pula tidak bekerja.
“Kakak
nak pergi mana?” Irfan tercegat di kaki tangga dalam keadaan resah. Dia memang
tidak suka jika aku keluar. Irfan merasakan yang keselamatannya tidak terjamin.
“Kedai...
nak beli beras.” Aku menyarung selipar buruk. Aku harus segera berangkat ke
kedai kerana jam sudah menghampiri angka tujuh.
“Nak
ikut!” muka Irfan penuh mengharap.
“Tak
boleh Fan. Dah nak Maghrib ni. Fan pergi mandi lepas tu solat.” Aku tidak mahu
Irfan kehabisan tenaga berjalan jauh. Bukannya dekat kedai runcit Pak Malik.
Aku bimbang tenaga Irfan habis di tengah jalan. Hendak ke kedai Pak Malik, aku
terpaksa menyeberang sungai dan mengikut jalan tanah merah. Kedainya terletak
di sebelah hulu sungai.
“Tak
nak! Fan nak ikut kakak.” Irfan separuh merengek, mengharap agar lakonannya itu
berjaya memujukku.
“Jauh
Fan. Nanti Fan penat. Kerja sekolah tak sempat nak siapkan nanti.” Aku tetap
takkan membenarkan Irfan mengekoriku. Aku bukannya hendak berlama-lama di
kedai, tetapi sekadar untuk membeli beras.
Irfan
menarik muka masam. Aku terus menapak agar segera sampai ke kedai sebelum malam
menjengah. Aku terpaksa berjalan hampir dua puluh minit, melalui denai,
jambatan kayu dan ke jalan besar tanah merah. Untuk ke kedai runcit, aku harus
berjalan jauh ke hulu. Itulah salah satu kedai runcit paling besar yang
terdapat di Kampung Jerai Tua. Malangnya tak semua barang ada di kedai Pak
Malik. Kalau hendak membeli lima jenis barang, pasti sekurang-kurangnya satu
telah kehabisan.
Otakku
ligat memikir cara untuk mendapatkan pendapatan. Sedikit pun jadilah asalkan
dapat meringankan beban Pak Long. Ibu dan abah belum tentu datang. Aku tidak
mahu mengharap lagi. Aku dan Irfan sengaja dilemparkan ke kampung tersebut kerana
ibu dan abah tidak sanggup lagi menanggung kami berdua... sekurang-kurangnya
itulah yang bermain di mindaku saat itu. Aku tak dapat memikirkan sebab lain
lagi!
Aku tidak boleh bergantung
hidup pada rezeki Pak Long semata-mata. Sudah hampir dua bulan aku dan Irfan
tinggal di rumah Pak Long. Sesen pun aku masih belum hulurkan pada Pak Long.
Wang yang diberi ibu memang tidak cukup. Aku terpaksa berhutang dengan Pak Long
untuk membayar yuran persekolahan Irfan. Aku berjanji akan menjelaskannya
apabila ibu dan abah datang. Mujurlah Pak Long jenis lelaki yang tidak kisah.
Hanya Mak Long yang kurang senang apabila aku meminjam wang suaminya. Dia
mendesak aku supaya membayar segera.
Selain Mak Long, Pak Long
terpaksa menanggung nenek. Nenek sudah nyanyuk. Kencing dan berak merata-rata.
Tidur tak tentu waktu. Sejak ketibaanku ke rumah Pak Long, akulah yang
mengambil alih tugas Mak Long menjaga nenek. Kerja yang tidak pernah terfikir
akan kulalui. Pertama kali melihat nenek, aku terkejut. Ibu tidak pernah menyebut
langsung tentang Nek Esah, sedangkan wanita itulah yang telah membesarkan ibu.
Tak seharusnya ibu melupakan nenek begitu saja....
Ketika
sedang mengelamun itulah, tiba-tiba sebuah pacuan empat roda bergerak terus ke
arahku. Aku sedang melintas jalan pada masa itu. Kerana terlalu kaget, aku
terus kaku di tengah jalan. Lututku menggeletar. Pacuan empat roda berhenti
betul-betul di hadapanku! Berdecit bunyi tayar menekan tanah merah yang berbatu
kerikil itu. Aku nyaris dilanggar. Jantung berdegup kencang. Pemandu Pajero
dengan wajah serius merenung tajam ke arahku seolah-olah mahu menelan. Aku
bergerak ke tepi menyedari yang aku sedang menghalang perjalanannya.
“Maaf!”
Hanya perkataan maaf yang keluar dari bibirku. Memang aku yang bersalah. Aku
tidak menoleh kiri dan kanan terlebih dulu sebelum melintas kerana pada
anggapanku, jalan tersebut tidak sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang. Peluh di dahi aku kesat dengan lengan baju.
Mujurlah pemandu tersebut tidak turun dan memarahiku. Dia hanya merenungku tajam
dari dalam kereta. Sebentar kemudian, pacuan empat roda terus meluncur laju,
menerbangkan debu sepanjang jalan. Aku segera menekup muka, menghalang debu
mengotori muka. Laju benar Pajero itu dipandu.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana
aku tidak mengalami sebarang kecederaan. Aku mengurut dada kelegaan. Persoalan
menerjah ke fikiranku tentang pemilik pacuan empat roda tersebut. Setahuku,
majoriti penduduk kampung tersebut hanya bekerja sebagai penoreh getah.
Selebihnya berniaga kedai runcit, kedai kopi, tukang rumah dan membuka kedai
memungut getah. Tak mungkin mereka mampu menggunakan pacuan empat roda walaupun
hanya kereta tersebutlah yang paling sesuai digunakan di jalan kampung yang
tidak bertar dan berbukit-bukau itu.
Aku
melangkah ke kedai runcit Pak Malik yang terletak di depan mata dengan
persoalan yang masih berlegar di kepala. ‘Siapakah lelaki yang memandu Pajero
itu?’
“Tak
apa-apa ke?” soal Pak Malik yang turut menyaksikan kejadian yang hampir
menimpaku di hadapan kedainya itu.
“Tak,
saya okey. Er... siapa pemandu Pajero tu?” aku terus ajukan persoalan yang
bermain di fikiran. Yang ada dalam fikiranku saat itu, lelaki tersebut adalah
orang luar. Pak Malik mungkin mengenali
lelaki tersebut.
Pak
Malik memandang sekeliling. “Itulah pembunuh sakit jiwa,” bisik Pak Malik
setelah yakin tiada sesiapa yang mencuri dengan kata-katanya itu.
“Pembunuh?”
aku melopong. Jantungku kembali berdegup kencang. Aku amati wajah Pak Malik,
mengharapkan penjelasan.
Pak
Malik memberi isyarat agar aku memperlahankan suara.
“Baru
keluar penjara?” aku hairan kerana lelaki itu tampak masih muda. Kalau sudah
dijatuhi hukuman kerana membunuh, tentu dia dikenakan hukuman mati mandatori
atau sekurang-kurangnya meringkuk dalam penjara seumur hidup. Atau... adakah
dia bersembunyi di sini supaya tidak dikesan pihak polis? Tempat ini memang
sesuai dijadikan kawasan persembunyian.
Pak
Malik menggeleng. Nampak seperti dia gusar dengan pertanyaanku itu. “Kenapa dia....”
“Nak
beli apa?” Pak Malik memintas pertanyaanku tiba-tiba.
“Beras...
3 kilo.” Pak Malik keberatan untuk menceritakan kepadaku lebih lanjut mengenai
pembunuh sakit jiwa yang hampir melanggarku sebentar tadi. Aku agak hampa.
Cerita tentang pembunuh sakit jiwa tersebut menarik perhatianku.
Seorang
lelaki yang hampir sebaya dengan Pak Malik melangkah masuk. “Aku nak beli
barang-barang ni.” Dia menghulurkan cebisan kertas kepada Pak Malik. Matanya
tiba-tiba merenung ke arahku. Aku hadiahkan senyuman namun tak dibalas lelaki
berjambang tebal itu. Aku tarik balik senyuman. Mukanya sentiasa bengis.
Akhirnya aku mengalah. Aku tidak berani hendak bertentang mata dengannya lagi.
Lelaki itu seperti kurang senang denganku.
“Nah.”
Pak Malik menghulurkan beras yang sudah ditimbang. Aku menghulurkan wang.
Sambil menunggu Pak Malik menyerahkan baki wang, aku perhati gerak-geri lelaki
berjambang putih itu yang sedikit mencurigakan. Aku tak pernah melihat atau
terserempak dengannya sebelum ini. Setiap hari, pasti aku akan berjumpa dengan
muka-muka baru di kampung. Ada yang dapat menerima kehadiranku di kampung
mereka. Tak kurang juga yang memandang serong padaku. Entah apa yang tak kena
pada diriku.
“Balik
cepat. Dah nak Maghrib ni.” Pesan Pak Malik sambil menghulurkan baki wang.
Matanya melirik ke arah lelaki berjambang putih itu. Pak Malik seolah sedang
memberi isyarat padaku yang lelaki tersebut berbahaya.
Aku terpaksa beredar walaupun
hatiku melonjak ingin tahu lebih lanjut mengenai pembunuh sakit jiwa dari mulut
Pak Malik. Senja kian menghampiri. Jalan tanah merah itu aku redah. Hanya pokok
getah dan semak-samun di kiri dan kanan jalan. Selama ini aku hanya melihat di
kaca televisyen sahaja tentang kampung yang masih mundur dan ketinggalan dalam
arus kemajuan. Kini aku menjadi sebahagian penghuni kampung tersebut.
Pembunuh
sakit jiwa masih menghantui kepalaku. Aku menoleh kiri, kanan dan belakang.
Jantungku terus berdegup kencang. Ayunan langkah aku percepatkan. Sesekali aku
menoleh ke belakang untuk memastikan yang aku tak diekori. Manalah tahu jika
pembunuh tersebut mahu membalas dendam kepadaku!
untuk mendapatkan novel KALUNG
PROMO KALUNG : BAB 1
Dicatat oleh
Catatan ZZ
on Ahad, Mei 12, 2013
Label:
Kalung
/
Journal Of My Life: PROMO KALUNG : BAB 1
BAB 1
Ketika kabus tebal masih menyelubungi alam, dan sang mentari belum bersedia untuk menampakkan diri, aku menjejakkan ka...
BAB 1
Ketika kabus tebal masih menyelubungi alam, dan sang mentari belum bersedia untuk menampakkan diri, aku menjejakkan ka...
PROMO KALUNG : PROLOG
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
Kalung
/
Journal Of My Life: PROMO KALUNG : PROLOG:
PROLOG Kosong! Mataku terus terbuka luas. Sah, kerusi rotan itu kosong. Dia sudah pergi. Dia tiada lagi di situ. Aku menarik jam loceng ...
PROLOG Kosong! Mataku terus terbuka luas. Sah, kerusi rotan itu kosong. Dia sudah pergi. Dia tiada lagi di situ. Aku menarik jam loceng ...
Journal Of My Life: Kalung Novel Istimewa - Review oleh Berita Harian ...
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
Kalung
/
Journal Of My Life: Kalung Novel Istimewa - Review oleh Berita Harian ...
KALUNG, novel thriller pertama karya pengarang muda berbakat, Zahidah Zarkasi, menampilkan kisah dendam tidak berkesudahan yang mengakibat...
KALUNG, novel thriller pertama karya pengarang muda berbakat, Zahidah Zarkasi, menampilkan kisah dendam tidak berkesudahan yang mengakibat...
Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 7 & 8
Dicatat oleh
Catatan ZZ
on Jumaat, Mei 10, 2013
Label:
Mak Datin Isteri Cikgu
/
Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 7 & 8
BAB 7
Tiba sahaja di bawah, Dean sudah tercegat di luar pagar blok asrama perempuan.
“Aku mesej Dean, ajak dia...
BAB 7
Tiba sahaja di bawah, Dean sudah tercegat di luar pagar blok asrama perempuan.
“Aku mesej Dean, ajak dia...
Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 5 DAN BAB 6
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
Mak Datin Isteri Cikgu
/
Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 5 DAN BAB 6
BAB 5
“Baik kau berterus terang dengan aku. Sebenarnya, apa perasaan kau pada Dean?” tanya Suhaila yang baru selesai makan nasi lemak ya...
BAB 5
“Baik kau berterus terang dengan aku. Sebenarnya, apa perasaan kau pada Dean?” tanya Suhaila yang baru selesai makan nasi lemak ya...
Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 4
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
Mak Datin Isteri Cikgu
/
Journal Of My Life: PROMO MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 4
BAB 4
‘TALAM DUA MUKA!’
Terus Ayra padam mesej yang kesemuanya ditulis dengan huruf besar. Sama seperti komen...
BAB 4
‘TALAM DUA MUKA!’
Terus Ayra padam mesej yang kesemuanya ditulis dengan huruf besar. Sama seperti komen...
Journal Of My Life: PROMO NOVEL MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 3
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
Mak Datin Isteri Cikgu
/
Journal Of My Life: PROMO NOVEL MAK DATIN ISTERI CIKGU : BAB 3
BAB 3
Kasihan pula Ayra dengan Nadira. Bukan dia tak sudi ke majlis perkahwinan kakak Nadira. Masalahnya, dia tiada kawan. S...
BAB 3
Kasihan pula Ayra dengan Nadira. Bukan dia tak sudi ke majlis perkahwinan kakak Nadira. Masalahnya, dia tiada kawan. S...
Journal Of My Life: Promo MDIC : BAB 2
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
Mak Datin Isteri Cikgu
/
Journal Of My Life: Promo MDIC : BAB 2
BAB 2
“Kenapa dengan kau ni? Macam tak sihat aje,” tegur Suhaila.
“Muka aku macam orang tak sihat ke?” A...
BAB 2
“Kenapa dengan kau ni? Macam tak sihat aje,” tegur Suhaila.
“Muka aku macam orang tak sihat ke?” A...
Journal Of My Life: Promo MDIC : BAB 1
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
Mak Datin Isteri Cikgu
/
Journal Of My Life: Promo MDIC : BAB 1
KOMPUTER riba dari dalam beg dikeluarkan. Komputer riba berjenama Acer itu segera dibuka. Sudah tiga bulan komputer riba itu menjadi mil...
KOMPUTER riba dari dalam beg dikeluarkan. Komputer riba berjenama Acer itu segera dibuka. Sudah tiga bulan komputer riba itu menjadi mil...
MAK DATIN ISTERI CIKGU
Dicatat oleh
Catatan ZZ
Label:
Mak Datin Isteri Cikgu
/
Penerbit : Buku Prima
Tahun : December 2012
Harga : RM19.90
Sinopsis
Ayra, seorang gadis yang ceria mula berubah sikap dengan kehadiran SMS daripada seseorang yang tidak dikenali. SMS yang diterimanya itu jelas menunjukkan bahawa si pengirim itu mengetahui kisah silamnya yang cuba dilenyapkan dari kotak ingatan. Dia bukan pembunuh! Itu hanyalah satu kemalangan! Dia tidak akan membiarkan lelaki itu berlumuran darah dan menanggung kesakitan jika lelaki itu tidak melayannya bak seorang tawanan. Segalanya sudah terlambat. Jalan penyelesaiannya ialah dengan melarikan diri dan cuba membina hidup baru di perantauan. Kehadiran seorang lelaki seiras wajah insan yang paling dibencinya suatu ketika dulu mengeruhkan lagi keadaan. Sudikah Ayra menerima Shahin Adiy kembali setelah segala kekusutan dileraikan? Sanggupkah dia melukakan hati Nadira, teman yang telah banyak membantunya?
P/S : Novel Kedua bersama Buku Prima selepas novel Hanya PadaMu yang diterbitkan pada tahun 2008.