Aku dilanda keresahan. Wajahnya sering terbayang di mataku.
Senyumannya yang menggoda telah memukauku. Aku akui aku telah jatuh cinta
padanya. Bilakah perasaan itu berputik, aku sendiri tidak menyedarinya.
Seringkali bayangan wajahnya menghiasi mimpi-mimpiku. Sedalam mana pun cintaku
kepadanya, aku sedar yang aku hanya bertepuk sebelah tangan. Perasaanku
kepadanya terpendam di lubuk hati. Aku tidak punya kekuatan untuk meluahkan
perasaan ini kepadanya. Aku bimbang dituduh perigi mencari timba.
"Hai Ika, mengelamun ke?" tegur Suzana yang baru tiba di
kelas.
Aku menggeleng kepala, tersipu-sipu malu. Aku langsung tidak
menyedari yang kelas sudah pun dipenuhi para pelajar. Semuanya dengan satu
niat, mahu menyambung pelajaran.
Aku mula mendaftar di kelas malam ini awal tahun. Sebelah siang,
aku bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang elektronik. Sebelah
malam iaitu malam Isnin, Rabu, Khamis dan Sabtu
pula, aku menghadiri
kelas nialam. Itulah rutin hidupku sejak beberapa bulan yang lalu.
Azryl
melangkah masuk. Hatiku mula berdebar-debar bila melihatnya. Ah, inilah yang
dikatakan jatuh cinta agaknya.
"Assalamualaikum,"
ucapnya pada aku dan Suzana. Dia terus melangkah ke tempat duduknya yang
terletak di barisan belakang.
Azryl
kelihatan segak malam ini. Dia memakai baju-T putih dipadankan dengan jaket
hitam. Seluar jeans biru lusuh memang menjadi kegemarannya. Apa-apa
sahaja yang berkaitan dengan dia, segera aku tuliskan di dalam diari, sebagai
memori suatu hari nanti.
"Ika, kau
tulis apa tu?"
Dup! Aku
segera menutup diari lalu menyimpan ke dalam beg galasku. Azryl datang mengejut
dari arah belakang. Aku berdoa agar dia tidak sempat membaca apa yang sedang
aku tulis. Kalau tidak, habislah aku!
"Engkau
ni, banyak berahsialah!" ujar Azryl sambil menarik kerusi kosong yang
berhampiran.
"Sesetengah
perkara memang patut dirahsiakan," sampuk Suzana.
"Betul
tu." Aku menyokong pendapat Suzana. "Serapat mana pun perhubungan
kita dengan seseo-rang, ada sesetengah perkara yang harus dirahsiakan dari
pengetahuannya."
"Walaupun
dengan suami sendiri?" soal Azryl.
Aku terdiam!
Suzana mencebek bibir. Azryl merenungku, mengharapkan jawapan. Sinaran matanya
seolah menyimpan sesuatu. Aku menjungkit
bahu. Lidahku kelu untuk berkata-kata, ter-panah oleh sinaran matanya yang
tajam.
"Wow!" Azryl terpaku melihat seorang pelajar baru yang
sedang melangkah masuk.
Amira menuju ke tempatnya. Azryl leka memerhatinya. Aku cemburu
melihat kelakuannya walaupun aku tidak berhak berperasaan demikian. Azryl masih
solo. Dia berhak memilih gadis yang disukainya.
"Aku nak cuba pikat Amira, tapi aku takutlah," luah
Azryl.
Kata-kata Azryl umpama ledakan bom di dasar hatiku. Dia sudah
menjumpai gadis idamannya. Aku sedaya upaya merawat hati yang sudah terguris.
"Apa yang nak ditakutkan?" soal Suzana.
"Dia pendiam. Tak pernah senyum. Datang kelas
sekali-sekala."
"Dia ada masalah agaknya," balas Suzana.
"Ika, kau tolong aku pikat Mira!"
"Aku?"
Azryl mengangguk.
"Maaf!" balasku sepatah. Kalaulah Azryl dapat membaca
apa yang tertulis di hatiku, tentu dia tidak akan sanggup meminta pertolongan
dariku. Dia telah menghancurkan perasaanku tanpa disedarinya.
Terasa ingin menangis bagi meluahkan perasaan yang terbuku di
hati. Tetapi keadaan tidak meng-izinkan aku untuk berbuat demikian. Tak dapat
aku bayangkan jika Azryl memiliki teman wanita. Tentu dia akan berbahagia
bersama teman wanitanya. Sedangkan aku, tentu akan berendam air mata saban
hari.
***
"Ika, kau ada masalah ke?" soal Liza, teman sekerja dan
juga teman sebilikku di asrama.
Aku menggeleng kepala.
"Akhir-akhir ini, aku nampak kau asyik termenung aje."
"Ye ke?"
"Diri kau, takkan kau tak tahu?"
"Syyyh ... Encik Malik datang," bisikku. Kami kembali
menumpukan perhatian pada kerja, bimbang dimarahi Encik Malik, seorang penyelia
yang garang.
Pertama kali bertentang mata dengan Azryl, aku tidak menyimpan
apa-apa perasaan padanya. Tetapi, dari sehari ke sehari, aku mula terpikat
padanya. Sikapnya yang kelakar dan wajahnya yang tampan melahirkan perasaan
cinta di hatiku.
Aku gagal menumpukan sepenuh perhatian pada apa yang diajar oleh
guru di dalam kelas. Sesekali aku akan menoleh ke belakang untuk mencuri
pan-dang wajahnya yang kacak. Harap-harap dia tidak menyedari tingkah lakuku
ini. Azryl, bagaimanakah harus aku luahkan perasaan ini? Adakah kau sudi
menerimaku sebagai kekasih hatimu?
Satu lagi sebab mengapa aku boleh jatuh cinta padanya ialah kerana
sikapnya yang budiman. Dia sering menemani aku dan Suzana ketika menunggu bas
di perhentian bas setelah tamat kelas malam. Setelah kami menaiki bas
masing-masing, barulah dia akan beredar. Kata Azryl, dia buat begitu kerana
kami ini kawannya. Ya, memang aku dan Suzana adalah kawannya. Hanya kawan!
***
"Jumpa lagi esok." Suzana melangkah menuju ke arah
bas. Tinggallah aku dengan Azryl berdua di situ.
Sebelum ini,
aku tidak merasakan apa-apa bila berdua dengannya. Kini, terasa kekok pula. Aku
diserang perasaan malu, resah dan gelisah tatkala mata kami bertentangan.
"Kau ada
teman lelaki?" soal Azryl tiba-tiba.
Aku terkedu.
Tak sangka pula dia mengajukan pertanyaan itu. Pertanyaan yang sukar dijawab.
Adakah dia sengaja mengujiku? Sekiranya aku menjawab 'tiada', adakah dia akan
mendekatiku? Ah, mustahil! Aku telah memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Aku
menggelengkan kepala.
"Tipulah!
Kau kan cute, mustahil tak ada lelaki yang tersangkut."
Cute? Benarkah?
Benarkah kata-kata itu keluar dari mulutnya? Ah, terasa tebal mukaku ini. Azryl
telah memujiku. Ikhlaskah dia?
Bas berhenti.
Ah, kenapa saat-saat ini bas muncul? Dengan berat hati aku melangkah menuju ke pintu
bas. Aku memilih tempat duduk di sebelah tingkap. Azryl melambaikan tangan
dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
'Kau kan
cute'. Aduh, belum pernah ada yang memuji rupa parasku ini. Wajahku, hanya
biasa sahaja. Tapi Azryl telah memujiku. Ah, entah-entah dia hanya bergurau.
Aku pula yang terlebih perasan! Namun kenangan malam ini, tidak akan aku
lupakan. Mana tahu, mungkin Azryl juga menyimpan perasaan padaku. Sebab itu,
dia mahu mengetahui statusku sebelum dia mendekatiku. Aku tersenyum sendirian
dan mula memasang angan-angan.
Malam itu, aku
ke kelas dengan penuh bersemangat. Azryllah yang telah menyuntik semangat dalam
diriku. Aku berharap kenangan semalam akan berulang lagi.
"Cantik
kau malam ni," puji Suzana sebaik dia tiba di kelas.
"Biasalah,"
balasku.
Pakaianku
'terover' sangatkah hingga Suzana menyedari kelainan pada diriku? Selalunya
aku hanya memakai jeans dan baju-T sahaja. Tetapi malam ini aku ubah
sedikit penampilanku. Aku memakai blouse biru muda dan dipadankan
bersama slack hitam. Memang aku menyimpan niat untuk menarik perhatian
Azryl. Ah, ketara sangatkah aku?'
Seorang lelaki
melangkah masuk ke kelas. Aku tidak pernah nampak lelaki itu sebelum ini.
Pelajar baru agaknya. Dia memandangku! Aku yang leka memerhatinya segera mengalihkan
pandangan. Pelajar baru itu menghampiriku.
"Mana
satu tempat yang masih kosong?" soalnya, serius semacam!
"Sebelah
sana," ujarku. Ada tiga tempat lagi yang masih kosong.
"Terima
kasih." Dia beredar ke salah satu tempat yang masih kosong. Dia memilih
tempat sebaris denganku.
"Boleh
tahan," bisik Suzana.
Aku
mengangguk. Memang betul kata Suzana. Pelajar baru itu memang segak. Namun dia
tentunya tidak dapat menewaskan Azryl. Bagiku, Azryl adalah segala-galanya. Tiada lelaki lain yang mampu menandinginya.
"Kau perasan tak, wajahnya ada iras-iras Azryl?"
"Entah, aku tak perasan pun." Jauh beza wajah pelajar
baru itu dengan Azryl, pandai-pandai pula Suzana menyamakan mereka.
Aku terpaku! Azryl melangkah masuk bersama Amira. Mereka kelihatan
cukup mesra. Azryl tidak memberi salam kepadaku dan Suzana ketika melin-tasi
tempat duduk kami. Pelik! Adakah dia terus melupakan kami, kawannya? Aku tidak
dapat menerima kenyataan ini. Kenyataan yang amat pedih! Aku menoleh ke
belakang. Azryl telah berpindah tempat duduk. Dia memilih tempat duduk
bersebelahan Amira. Mereka rancak berbual, diselangi gelak tawa. Sakit hatiku
mendengarnya. Sesekali aku menoleh ke belakang, mengharapkan mereka tidak akan
bersama lagi. Namun aku kehampaan!
Terasa ada sepasang mata yang sedang memerhati gerak-geriku. Aku
segera menoleh ke arahnya untuk mendapatkan kepastian. Memang sah! Pelajar baru
itu sedang memerhatiku. Dia kemudiannya menoleh ke belakang. Aku mula curiga.
Adakah dia dapat membaca apa yang tersirat di hatiku?
Selesai kelas, aku, Suzana dan Azryl menuju ke perhentian bas
seperti biasa.
"Mira tu, nampak aje pendiam. Tetapi kelakar orangnya."
Azryl memulakan bicara.
Ah, bencinya aku! Tiada topik lain lagikah yang hendak
dibicarakan?
"Kau dan Mira memang secocok," balas Suzana.
Suzana
menyokong perhubungan Azryl dan Amira? Tak patut! Memang tak patut. Perasaan
aku sedang terluka.
"Betul apa
yang orang selalu kata, tak kenal maka tak cinta," luah Azryl.
Sebak hatiku
mendengar bicaranya. Aku bak pungguk rindukan bulan. Tetapi bulan sudah pun
berteman, si bintang kejora.
Aku tahan
teksi!
"Kenapa
tak naik bas?" soal Azryl. Suzana terpinga-pinga.
"Er ...
aku ada hal. Nak cepat." Aku terpaksa berbohong.
Aku tak
sanggup lagi mendengar bicara Azryl. Asyik-asyik Si Mira. Telinga aku yang
sakit bila mendengarnya.
Kenangan indah
semalam yang kuharap akan berulang hanya tinggal kehampaan. Kenapa ianya harus
berakhir begini?
***
"Kenapa
kau nampak muram saja sejak semalam?" soal Liza ketika waktu rehat.
"Tak ada
apa-apalah," balasku.
"Kau
jangan nak tipu aku. Kita berkawan sejak kecil lagi. Macamlah aku tak dapat
teka perasaan kau."
Aku merenung
wajah Liza. Dialah sahabatku kala aku gembira ataupun berduka. Aku memeluknya.
Tanpa disedari air mataku menitis satu persatu.
"Kenapa
Ika? Kau ada masalah ke?" soal Liza, cemas.
Aku cuba
mengawal perasaan.
"Aku
jatuh cintq pada seseorang," luahku setelah perasaanku kian reda.
"Rakan
sekelas kau?"
" Ya."
"Patutlah
kau asyik mengelamun saja akhir-akhir ni. Kau dah luahkan perasaan kau pada dia?"
"Itulah
masalah aku sekarang. Aku takut nak luahkan perasaan aku padanya. Aku takut aku
cuma... bertepuk sebelah tangan."
"Belum
cuba belum tahu Ika."
"Dia dah
ada kekasih."
"Apa?"
"Budak
sekelas aku juga. Aku tak tahu sejauh mana perhubungan mereka. Nampak
mesra."
"Apa-apa
pun kau mesti luahkan perasaan pada Azryl. Itu yang penting. Aku tak mahu kau
menyesal di kemudian hari kerana memendam perasaan. Apa pun keputusan Azryl,
kau haruslah bersedia menerimanya." Liza menggenggam erat jari-jemariku.
Aku mula memikirkan
pendapat Liza. Pendapatnya memang betul. Aku tidak mahu menyesal di kemudian
hari.
***
Aku tiba di kelas
lebih awal dari hari-hari biasa. Hanya ada seorang pelajar sahaja ketika itu.
Dia menghadiahkan senyuman padaku.
"Awal
awak datang?"
Dia hanya
tersenyum. Bila melihat senyumannya, baru aku perasan. Senyumannya seiras
Azryl. Betullah kata Suzana ketika pertama kali kami melihat wajah pelajar baru
tersebut.
"Saya
Jasley." Dia memperkenalkan dirinya,
"Ika," balasku.
"Sejak bila belajar di sini?" soalnya.
"Awal tahun. Awak? Apasal baru daftar?" soalku pula.
"Baru sekarang saya insaf," balasnya selamba, "Er
... lepas kelas kita keluar makan?"
Aku terdiam. Musykil aku dengan pelawaannya. Kami baru sahaja
saling mengenali dan dia sudah mengajak aku keluar. Bolehkah aku mempercayai
lelaki sepertinya?
"Ika janganlah bimbang. Kita pergi ke medan selera yang
dekat-dekat sini saja. Saya akan belanja nanti."
Aku terdiam memikirkan pelawaannya.
"Saya nak kenal Ika lebih dekat," tambah Jasley.
Aku memberi persetujuan akhirnya. Tak salah aku menerima
pelawaannya. Lagipun aku sedang dalam kesepian. Mungkin Jasley dapat mengubati
kesepianku ini.
Suzana melangkah masuk dan dikuti oleh beber-apa orang pelajar
lain. Aku dan Jasley bagai orang asing semula, seolah-olah kami masih belum
berke-nalan.
Jejaka idamanku melangkah masuk. Dia keseorangan! Tidak seperti
minggu lepas, asyik berkepit dengan Amira. Suzana memberi isyarat padaku dengan
jelingannya. Dia juga kehairanan melihat Azryl keseorangan.
"Mana buah hati pengarang jantung kau tu?" sindir Suzana
ketika Azryl melintasi tempat duduknya. Azryl berhenti melangkah. Dia memandang
Suzana, kemudian beralih padaku. Aku sudah tidak sabar menanti jawapan darinya.
"Perempuan macam dia, taubat aku dah tak keluar dah," ujar
Azryl.
Aku dan Suzana berpandangan.
"Kenapa kau cakap macam tu?" soal Suzana. Aku hanya
membisu, menjadi pendengar yang setia.
"Pisau cukur." Azryl berbisik. Aku dan Suzana tergelak.
Padan muka! Itulah, asyik nak berkepit dengan perempuan yang cantik saja!
"Korang bayangkan, siang tadi dia ajak aku keluar. Lepas
tengok wayang, kami ke Sogo. Dia minta aku beli itu ini untuk dia. Dia ingat
aku ni bank ke apa?"
"Mujurlah kau dapat kesan dari awal, perempuan jenis apa
Amira tu," ujar Suzana. Aku mengangguk, bersetuju dengan pendapat Suzana.
"Eh, lepas kelas ni, kita bertiga keluar makan? Dah lama kita
bertiga tak keluar bersama." Azryl memberi cadangan.
"Aku setuju," balas Suzana.
Mereka berdua memandangku. Aku serba salah. Ikutkan hati, memang
aku teringin sangat keluar bersama Suzana dan Azryl. Tapi, aku terlebih dahulu
telah berjanji dengan Jasley, dan aku tidak boleh memungkirinya.
"Er ... maaf. Aku tak boleh ikut." Ah, kenapalah aku
menerima pelawaan Jasley?'
"Janganlah macam ni ... " Azryl kehampaan Begitu juga
dengan Suzana.
"Aku ada hal. Maaf ...." Hanya itu yang mampu kuucapkan.
***
Seorang demi seorang pelajar melangkah keluar. Aku dan Jasley
sengaja melengah-lengahkan kerja. Azryl memandangku, mengharapkan agar aku
dapat mengubah keputusan. Aku menggelengkan kepala. Azryl dan Suzana melangkah
pergi. Tentu seronok kalau aku dapat bersama mereka.
"Sebenarnya, saya nak minta bantuan dari Ika," ujar
Jasley sebaik sahaja kami melangkah keluar dari kelas.
Aku memandangnya dengan perasaan musykil. Takkan baru berkenalan
dah nak minta bantuan? Aku risau memikirkan jenis bantuan yang diperlukannya.
Kalau dari segi kewangan, minta maaflah. Aku bukannya ada duit. Gajiku cukup
untuk bayar yuran belajar dan hantar sedikit buat emak dan ayah di kampung.
"Saya nak Ika berlakon sebagai kekasih saya." Jasley
berterus terang.
Aku kebingungan. Berlakon sebagai kekasih? Bagaimana aku hendak
berlakon kerana aku tiada pengalaman untuk melakonkan watak tersebut. Seumur
hidup, aku belum pernah bercinta dan mempunyai kekasih.
Jasley yang memahami keadaanku segera menceritakan kepadaku kisah
cintanya yang kini sudah tinggal debu. Jasley mempunyai seorang teman wanita.
Tetapi teman wanitanya telah berlaku curang. Setelah Jasley dapat menangkap
kecurangannya, dia menyesal dan ingin kembali ke pangkuan Jasley. Tetapi Jasley
sudah tawar hati untuk menerimanya semula. Gadis itu tetap merayunya. Jasley
terpaksa berbohong bahawa dia sudah mempunyai penggantinya.
Tetapi gadis itu tidak percaya dan mahu bertemu sendiri dengan kekasih haru
Jasley. Dia yakin Jasley masih mencintainya.
Setelah
mendengar penjelasan Jasley, aku memberi persetujuan. Kami menuju ke medan
selera berdekatan. Jasley menghubungi bekas kekasihnya dan meminta gadis itu
segera datang ke tempat yang telah dijanjikan. Apabila gadis itu muncul, aku
mula berlakon sebagi kekasih baru Jasley. Jasley mem-perkenalkan aku sebagai
kekasihnya kepada gadis itu. Dia benar-benar kecewa. Aku turut bersimpati
melihat keadaannya. Timbul perasaan bersalah di hatiku kerana telah menyebabkan
gadis itu menangis.
Malam itu, aku
dapat mengenali Jasley dengan lebih dekat. Dia dapat kuandaikan sebagai seorang
kekasih yang setia pada cinta. Dia juga seorang lelaki yang romantik, iaitu
salah satu ciri lelaki idamanku. Mungkin sebab itulah bekas kekasihnya teramat
kecewa kerana teman lelaki seperti Jasley sukar ditemui.
***
"Kau ada
apa-apa ke dengan Jasley tu?" soal Suzana. "Aku tengok Jasley asyik
curi pandang kau aje," tambahnya.
"Ish,
mana ada!"
"Takkan
dengan aku pun kau nak sembunyikan," usik Suzana.
"Aku
berkawan aje dengan dia. Macam aku berkawan dengan kau dan Azryl."
"Ah, aku
tak percaya!"
"Terpulanglah,"
balasku.
Aku akui, memang sejak akhir-akhir ini aku agak rapat dengan
Jasley. Namun begitu, cintaku masih belum beralih arah. Pada masa hadapan, aku
sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku. Mungkin aku akan tertawan dengan
sikap Jasley. Lagipun, hingga ke saat ini aku masih belum berani untuk
meluahkan perasaan pada Azryl. Aku masih takut untuk menghadapi kenyataan andai
aku hanya bertepuk sebelah tangan.
Jasley mengajak aku keluar lagi. Ini adalah kali kedua aku keluar
bersamanya. Sesuatu yang tidak terduga telah berlaku. Jasley meluahkan
perasaannya kepadaku! Tak sangka, selama hampir sebulan kami mengenali antara
satu sama lain, dia rupa-rupanya dalam diam menaruh hati padaku. Aku meminta
tempoh untuk memberikan kata putus. Aku perlu berfikir semasak-masaknya. Jasley
mengharapkan agar aku tidak memberikan jawapan yang mengece-wakannya. Aku serba
salah untuk menolak kerana Jasley memiliki ciri-ciri lelaki idamanku.